“INI AKU UTUSLAH AKU” YESAYA 6:8

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Keningau : Mungkin ayat dari Yesaya 6:8  “Ini aku utuslah aku sering kita dengar” saban tahun apatah menjelang ulang tahun keuskupan ataupun ulang tahun pentahbisan uskup di Keuskupan Keningau. Namun, istimewanya pada tahun ini, kita mendengarnya secara rasmi sekali lagi apabila, Sem.Nakudah Kilin juga mengambil tema yang sama untuk pentahbisannya menjadi dikon.

Upacara Misa Kudus Pentahbisan Sem.Nakudah menjadi Dikon telah berlangsung di Dataran Keuskupan Keningau, pada 26 November 2023 yang disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong. Lebih mengujakan Pentahbisan ini diadakan serentak pada Hari Raya Kristus Raja.

Misa bermula pada jam 4.00pm, juga turut dihadiri oleh para paderi Keuskupan Keningau, religious, keluarga Sem.Nakudah dan umat yang membanjiri Dataran Keuskupan Keningau. Upacara Pentahbisan yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong dan  dibantu oleh Msgr.Gilbert Lasius berjalan dengan lancar. Sem.Nakudah rasmi menjadi dikon kira-kira jam 5.30pm apabila selesai mengenakan dalmatik dan menerima Kitab Suci dari Uskup Cornelius.

Bapa Uskup Cornelius Piong dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Dikon Nakudah, dan turut berterima kasih kepada keluarganya, terutama kedua-dua ibu-bapa yang merelakan dan menyokong Dikon.Nakudah untuk menyahut panggilan ini.

“Pesan kepada  Dikon Nakudah, agar terus mengamalkan pelayanan seperti kawanan domba, yang sering berjalan bersama dan setia kepada sang gembala,” pesan prelatus itu menutup ucapannya.

Dikon Nakudah pula dalam ucapannya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Bapa Uskup Cornelius Piong, Fr. Charles Chiew, para paderi, religious dan Tim Pelaksana diatas bimbingan dan sokongan sehinggalah upacara pentahbisan ini berjalan dengan lancar. “Panggilan ini berasal dari Allah Tritunggal, namun berjayanya saya mengharungi panggilan ini adalah kerana sokongan dan doa anda semua,”tutup Dikon Nakudah.

Sedikit biodata mengenai Dikon.Nakudah adalah, beliau dilahirkan pada 11 Ogos 1981, dan berasal dari Kg. Kepayan Lama, Apin-Apin. Pernah menuntut di Sekolah Rendah Kepayan Baru, Sekolah Menengah Apin-Apin dan Akademi Mahir Sabah(Donggongon). Pengalaman bekerja pula seperti  di Shangri-La Hotel , Tanjung Aru, Akademi Mahir Sabah & Pusat Bahasa Kota Kinabalu.

Dikon Nakudah memulakan pembentukannya di Catholic Diocesan Centre, KK pada tahun 2014, Tahun Inisiasi tahun berikutnya, kemudian  pada tahun 2016-2018 di College General Major Seminary, Penang dan pada tahun 2019-2023, di St.Peter’s Major Seminary, Kuching, Sarawak. Dikon Nakudah melakukan pastoralnya di Katedral St.Francis Xavier, Keningau sebelum ditahbis menjadi Dikon. Kita ucapakan tahniah kepada Dikon Nakudah Kilin semoga terus setia dalam panggilannya bagi menuju pula ke Tahbisan Imamat.

MELINDUNGI BUMI BERMAKNA MELINDUNGI KEHIDUPAN KITA JUGA

Artikel oleh : Stella Eming

Gambar 1: Fr.Clement Abel, Pengerusi MPP St.Peter Bundu, Kuala Penyu & Pengerusi KACT, Sdri Lissa bergambar sempena Penutupan Musim Penciptaan Peringkat Keuskupan Keningau dan  Pelancaran Kempen Protec peringkat Paroki St. Peter Bundu, KP sempena Pesta St. Francis dari Assisi.
Gambar 2 : Fr.Clement Abel memberkati haiwan-haiwan peliharaan dan anak-anak pokok yang dibawa oleh umat.

Kuala Penyu – Pada 8 Oktober 2023, Paroki St. Peter Bundu, Kuala Penyu telah mengadakan dua acara serentak iaitu Penutupan Musim Penciptaan Peringkat Keuskupan Keningau dan  Pelancaran Kempen Protec peringkat Paroki St. Peter Bundu, KP sempena Pesta St. Francis dari Assisi.

Simbolik acara penutupan dan pelancaran dilakukan dengan pembukaan banner dan penyampaian sijil penghargaan E-waste dan anak pokok kepada beberapa pemimpin Gereja Outstasi yang telah disempurnakan oleh Paderi Paroki, Rev. Fr. Clement Abel, bersama dengan Pengerusi Komisi KKACT Keuskupan Keningau Sdri. Lissa Johannes.

Pengerusi KKACT Sdri. Lissa Johannes menerangkan tentang Kempen Protec (Lindungi Bumi Kita, lindungi anak-anak kita) yang melalui kempen ini, alam ciptaan Tuhan haruslah dijaga kerana alam yang ada sekarang ini akan diwariskan kepada generasi pasa masa akan datang.  Kempen tahun yang keempat ini bertemakan “Kurangkan penggunaan bahan bakar” yang mana mengajak umat untuk menggunakan kenderaan awam, berkongsi kereta dan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengurangkan pencemaran udara dan pelepasan karbon monoksida ke udara bagi melindungi laipsan ozon Bumi.

Sdri Lissa juga menjelaskan tentang kempen E-waste yang berakhir dalam minggu tersebut.  Sisa elektrik atau elektronik mengandungi bahan kimia yang berbahaya kepada alam sekitar jika tidak dilupuskan dengan cara yang betul.  Membakar  atau membiarkan peralatan-peralatan tersebut terdedah kepada hujan dan matahari boleh menyebabkan pencemaran tanah, pencemaran udara dan pencemaran sumber air yang berbahaya kepada kesihatan tubuh manusia sehingga boleh membawa maut.

Pengerusi KKACT juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong usaha kempen E-waste dan mengharapkan agar umat mengambil tanggunjawab bersama  untuk bertindak melakukan sesuatu dalam menghidupkan salah satu tema keuskupan iaitu memelihara Bumi sebagai rumah kita bersama.

Rev. Fr. Clement Abel juga menerangkan bahawa apa yang dilakukan oleh Komiti Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan ini adalah sebagai respon kepada dokumen gereja Laudato Si  yang telah dlancar dan disyitiharkan  untuk menjaga Bumi sebagai ‘Rumah’ tempat tinggal semua benda hidup selain manusia.  Jelas beliau lagi, keharmonian alam ciptaan Tuhan.bermaksud supaya semua alam ciptaan Tuhan dijaga dan hidup berharmoni

Peliharalah habitat yang sedia ada supaya ekosistem dalam rantaian makanan tidak terganggu.  Manusia tidak mengancam kehidupan mahluk hidup yang lain dan begitu juga sebaliknya.  Ambil peduli dan sokonglah semua usaha-usaha Komisi Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan.

Acara tersebut berakhir dengan pemberkatan haiwan-haiwan peliharaan dan anak-anak pokok yang dibawa oleh umat.

APA MATLAMAT PELAYANAN KITA? BAGAIMANA KITA MAMPU MENCAPAINYA?

Artikel oleh: Juanis bin Marcus

Para katekis bergambar dihadapan Gereja Bonda Maria Ratu Lourdes bersama dengan Fr.Appolonius Yakis(SD KOMKAT)

Agudon, Keningau– Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong mengingatkan para katekis tentang apa sebenarnya matlamat dalam pelayanan mereka dan bagaimana untuk melakukannya. Pesan tersebut disampaikan semasa memberikan Homili sempena Misa Kudus Hari Keluarga Katekis(KOMKAT) peringkat Paroki Katedral St.Francis Xavier, Keningau.

Hari Keluarga Katekis pada kali ini diadakan pada 6 Oktober 2023, dengan Gereja Bonda Maria Ratu Lourdes, Kuk Agudon menjadi penganjur sekaligus venue penganjuran.

“Apa sebenarnya matlamat dalam setiap aktiviti dan program yang kita adakan di Keuskupan Keningau? Iaitu, membentuk komuniti umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya, dan seharusnya ini juga menjadi matlamat pelayanan bagi para katekis,” seru Bapa Uskup Cornelius. “Namun, apakah cara yang terbaik agar kita oleh mencapai matlamat itu?” sambung prelatus itu.

Para katekis berarak sebelum memulakan misa kudus.

Bapa Uskup Cornelius mengulas perkara tersebut dengan mengatakan bahawa matlamat itu boleh dicapai dengan melakukan apa yang dikatakan oleh Yesus dalam Injil Lukas 6: 47-48 iaitu, sesiapa yang datang kepada Yesus , mendengar dan melakukan apa yang dikatakan-Nya, ia adalah umpama membina rumah dengan dasar yang kukuh dan tidak tergoncangkan.

“Secara peribadi  ini juga yang saya amalkan, maka kepada kita semua, ambil masa, bukan tunggu bila ada masa untuk datang kepada Yesus.Kita dapat datang             kepada-Nya melalui aktiviti mahupun seminar, doa , renungan dan membaca Sabda Tuhan. Harus beringat juga, apabila datang kepada Yesus mesti dengan penuh kerendahan hati, agar matlamat pelayanan kita tidak terpesong,” jelas prelatus itu lagi.

“Sudah 30 tahun kita berjalan bersama sebagai satu keuskupan, dalam pelayanan pasti ada suka dan duka, oleh itu penting dalam pelayanan ini kita berjalan bersama”, tutup prelatus itu.

Kat.Gilbert Timun, selaku pengerusi KOMKAT dan Pengerusi MPP KSFX, Puan Nancy Nelly Joneh, senada untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua katekis yang telah berusaha untuk menjayakan hari keluarga katekis kali ini.

Semasa Misa Kudus, turut diadakan pembaharuan janji komitmen bagi semua para katekis, seterusnya fellowship bersama di perkarangan gereja lama, Kuk Agudon. Turut diumumkan adalah Tuan Rumah Hari Keluarga Katekis pada tahun hadapan adalah Zon Senagang _ Juanis bin Marcus

TUHAN MENURUNKAN HUJAN KEPADA MEREKA YANG BAIK MAHUPUN JAHAT…

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Gambar 1 : Upacara menaikan bendera Malaysia dan Sabah

Keningau, KSFX-Msgr.Gilbert Lasius menyeru kepada umat agar menghormati kebebasan setiap individu tanpa perlu untuk menghakimi dan menghukum mereka. Seruan ini disampaikan melalui homili pada Misa Kudus Sempena Hari Malaysia pada 16 Sept 2023, di Katedral St.Francis Xavier, Keningau.

“Salah satu perkara dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan. Meskipun kita, rakyat Malaysia berbeza kepercayaan dan anutan agama, namun kepercayaan kepada Tuhan itu sentiasa mengarahkan kita untuk saling bertoleransi, bersatu dan mengutamakan kedamaian,” seru Msgr.Gilbert. Sambung klerus itu lagi, sebagai umat Katolik yang mempunyai prinsip saling mengasihi, mengutamakan kesatuan, toleransi dan keharmonian seharusnya tidaklah asing bagi kita.

Gambar 2: Msgr.Gilbert Lasius menyampaikan homili

“Namun kadangkala, gereja kita juga harus berpegang teguh untuk menentang ideologi-ideologi yang jelas bertentangan dengan prinsip gereja Katolik.Contohnya, isu LGBT, kita jelas menentang perkara ini, namun tidaklah sehingga kita harus menghakimi dan menghukum mereka. Ini kerana Tuhan juga menurunkan hujan mahupun cahaya Matahari samaada kepada mereka yang baik mahupun jahat, kita juga harus bersikap menghormati kebebasan mereka untuk memilih,” jelas klerus itu lagi.

“Oleh itu penting bagi kita, agar sentiasa memohon Roh Kebijaksanaan agar dapat menggunakan kebebasan untuk memilih dengan penuh tanggunjawab, terutama yang menghalakan kita kepada kebenaran,”tutup klerus itu. Sekitar 300 orang umat menghadiri Misa Kudus pada hari tersebut, dengan sebahagian mereka memakai pakaian tradisional. Selepas misa kudus, diadakan upacara menaikan bendera Malaysia dan Sabah sambil diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan dan juga negeri.

PELBAGAI DOMINASI KRISTIAN KUALA PENYU BERJALAN BERSAMA UNTUK YESUS DEMI KEHARMONIAN

Artikel oleh : Stella Eming

Gambar 1: Para peserta bergambar bersama sebelum memulakan perjalanan
Gambar 2: Kelihatan Fr.David Mamat(Gereja Kristian Katolik) turut berjalan bersama peserta yang hadir.

Kuala Penyu – 27 Ogos 2023, bertemakan Kekitaan dan Kesejahteraan, umat Kristian dari pelbagai dominasi di daerah Kuala Penyu telah membuktikan bahawa walaupun dengan pelbagai variasi  peyembahan kepada Tuhan, umat Kristian di daerah ini boleh bekerjasama dan sehati sejiwa bagi memastikan keharmonian kepelbagaian anutan umat Kristian tetap terpelihara.

Kejayaan Program Berjalan Untuk Yesus  anjuran Majlis Gabugan Gereja-gereja Kuala Penyu (MGGKP) yang disertai lebih daripada 300 umat itu telah berjalan bersama sejauh 3km di sekitar pekan tersebut, bermula dan berakhir di Dewan Terbuka Kebudayaan Kuala Penyu.

Sebelum acara berjalan pada petang itu dimulakan, terdahulu taklimat aktiviti perjalanan disampaikan oleh Sdra. Carol Sylvester, Pengerusi MPP bagi Gereja Katolik juga selaku Marshal  barisan hadapan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan perjalanan semua umat terkawal. Doa pembukaan acara didoakan oleh Sdra. Johnny T (Kalvari) seterusnya pujian penyembahan yang diketuai oleh Sdra Jackson Juin (RC).

Pengerusi MGGKP, Sdra. Fredoline Babia (Anglikan) di dalam penyampaian Firman Tuhan dan ucapan beliau juga menekankan tentang Kesatuan dan Kesejahteraan.  Beliau mengharapkan agar kesatuan dalam Tuhan tetap dikekalkan dengan cara saling membantu, saling mendorong dan saling mengenali antara satu sama lain walaupun kepelbagaian aliran.  Pengerusi MGGKP itu juga mengisytiharkan Kesejahteraan Kuala Penyu yang cemerlang.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kuala Penyu (PPM), Sdra Jepinus Kimuin, merangkap wakil Datuk Limus Juri, dalam ucapan beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua aliran gereja yang terlibat sama dalam menjayakan program ini.  Beliau menyatakan bahawa, program ini amat bertepatan untuk semua gereja dan harap dapat dilaksanakan setiap tahun kerana dengan program seperti inilah misi Kesatuan dan Kesejahteraan dapat dipenuhi.  Beliau juga menyampaikan pesan agar mendidik anak-anak dengan memberikan pendidikan yang baik kerana anak-anak adalah penerus kejayaan, kemajuan dan peningkatan ekonomi masyarakat di daerah, negeri maupun negara ini.

Acara Berjalan Untuk Jesus yang dilancarkan dan diisytiharkan oleh Sdra. Fredoline Babia pada petang itu lebih bermakna pada tahun ini yang mana umat berjalan sambil mengutip sampah sebagai tanda bahwa umat juga mau menjaga keharmonian dan keindahan alam sekitar.  Berdoa bersama untuk kesejahteraan daerah diadakan di kawasan pasar lama dan di tapak tamu di pekan tersebut sebagai simbolik kepada sertakanlah doa dalam perjalanan hidup kita.

Program tersebut berakhir pada jam 6.35 petang yang diakhiri oleh pujian syukur (RC) dan doa penutup oleh Sdra. Joseph Mailin (Pastor-SIB).