TUHAN MENURUNKAN HUJAN KEPADA MEREKA YANG BAIK MAHUPUN JAHAT…

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Gambar 1 : Upacara menaikan bendera Malaysia dan Sabah

Keningau, KSFX-Msgr.Gilbert Lasius menyeru kepada umat agar menghormati kebebasan setiap individu tanpa perlu untuk menghakimi dan menghukum mereka. Seruan ini disampaikan melalui homili pada Misa Kudus Sempena Hari Malaysia pada 16 Sept 2023, di Katedral St.Francis Xavier, Keningau.

“Salah satu perkara dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan. Meskipun kita, rakyat Malaysia berbeza kepercayaan dan anutan agama, namun kepercayaan kepada Tuhan itu sentiasa mengarahkan kita untuk saling bertoleransi, bersatu dan mengutamakan kedamaian,” seru Msgr.Gilbert. Sambung klerus itu lagi, sebagai umat Katolik yang mempunyai prinsip saling mengasihi, mengutamakan kesatuan, toleransi dan keharmonian seharusnya tidaklah asing bagi kita.

Gambar 2: Msgr.Gilbert Lasius menyampaikan homili

“Namun kadangkala, gereja kita juga harus berpegang teguh untuk menentang ideologi-ideologi yang jelas bertentangan dengan prinsip gereja Katolik.Contohnya, isu LGBT, kita jelas menentang perkara ini, namun tidaklah sehingga kita harus menghakimi dan menghukum mereka. Ini kerana Tuhan juga menurunkan hujan mahupun cahaya Matahari samaada kepada mereka yang baik mahupun jahat, kita juga harus bersikap menghormati kebebasan mereka untuk memilih,” jelas klerus itu lagi.

“Oleh itu penting bagi kita, agar sentiasa memohon Roh Kebijaksanaan agar dapat menggunakan kebebasan untuk memilih dengan penuh tanggunjawab, terutama yang menghalakan kita kepada kebenaran,”tutup klerus itu. Sekitar 300 orang umat menghadiri Misa Kudus pada hari tersebut, dengan sebahagian mereka memakai pakaian tradisional. Selepas misa kudus, diadakan upacara menaikan bendera Malaysia dan Sabah sambil diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan dan juga negeri.

PELBAGAI DOMINASI KRISTIAN KUALA PENYU BERJALAN BERSAMA UNTUK YESUS DEMI KEHARMONIAN

Artikel oleh : Stella Eming

Gambar 1: Para peserta bergambar bersama sebelum memulakan perjalanan
Gambar 2: Kelihatan Fr.David Mamat(Gereja Kristian Katolik) turut berjalan bersama peserta yang hadir.

Kuala Penyu – 27 Ogos 2023, bertemakan Kekitaan dan Kesejahteraan, umat Kristian dari pelbagai dominasi di daerah Kuala Penyu telah membuktikan bahawa walaupun dengan pelbagai variasi  peyembahan kepada Tuhan, umat Kristian di daerah ini boleh bekerjasama dan sehati sejiwa bagi memastikan keharmonian kepelbagaian anutan umat Kristian tetap terpelihara.

Kejayaan Program Berjalan Untuk Yesus  anjuran Majlis Gabugan Gereja-gereja Kuala Penyu (MGGKP) yang disertai lebih daripada 300 umat itu telah berjalan bersama sejauh 3km di sekitar pekan tersebut, bermula dan berakhir di Dewan Terbuka Kebudayaan Kuala Penyu.

Sebelum acara berjalan pada petang itu dimulakan, terdahulu taklimat aktiviti perjalanan disampaikan oleh Sdra. Carol Sylvester, Pengerusi MPP bagi Gereja Katolik juga selaku Marshal  barisan hadapan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan perjalanan semua umat terkawal. Doa pembukaan acara didoakan oleh Sdra. Johnny T (Kalvari) seterusnya pujian penyembahan yang diketuai oleh Sdra Jackson Juin (RC).

Pengerusi MGGKP, Sdra. Fredoline Babia (Anglikan) di dalam penyampaian Firman Tuhan dan ucapan beliau juga menekankan tentang Kesatuan dan Kesejahteraan.  Beliau mengharapkan agar kesatuan dalam Tuhan tetap dikekalkan dengan cara saling membantu, saling mendorong dan saling mengenali antara satu sama lain walaupun kepelbagaian aliran.  Pengerusi MGGKP itu juga mengisytiharkan Kesejahteraan Kuala Penyu yang cemerlang.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kuala Penyu (PPM), Sdra Jepinus Kimuin, merangkap wakil Datuk Limus Juri, dalam ucapan beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua aliran gereja yang terlibat sama dalam menjayakan program ini.  Beliau menyatakan bahawa, program ini amat bertepatan untuk semua gereja dan harap dapat dilaksanakan setiap tahun kerana dengan program seperti inilah misi Kesatuan dan Kesejahteraan dapat dipenuhi.  Beliau juga menyampaikan pesan agar mendidik anak-anak dengan memberikan pendidikan yang baik kerana anak-anak adalah penerus kejayaan, kemajuan dan peningkatan ekonomi masyarakat di daerah, negeri maupun negara ini.

Acara Berjalan Untuk Jesus yang dilancarkan dan diisytiharkan oleh Sdra. Fredoline Babia pada petang itu lebih bermakna pada tahun ini yang mana umat berjalan sambil mengutip sampah sebagai tanda bahwa umat juga mau menjaga keharmonian dan keindahan alam sekitar.  Berdoa bersama untuk kesejahteraan daerah diadakan di kawasan pasar lama dan di tapak tamu di pekan tersebut sebagai simbolik kepada sertakanlah doa dalam perjalanan hidup kita.

Program tersebut berakhir pada jam 6.35 petang yang diakhiri oleh pujian syukur (RC) dan doa penutup oleh Sdra. Joseph Mailin (Pastor-SIB).

KBK6 AJAK BELIA MENGENAL KEPERIBADIAN YESUS

Artikel oleh: Melissa Floly

MEMBAKUT: Khemah Belia Keuskupan kali ke 6(KBK6) telah bermula hari ini di St. Patrick Membakut dan dihadiri seramai 803 orang peserta dari setiap paroki dan mission di Keuskupan Keningau.

KBK6 yang merupakan anjuran Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau ini dijalankan selama 4 tahun sekali dan hari ini KBK6 secara rasminya dimulakan dengan Misa Pembukaan oleh Monsignor Gilbert Lasius, dibantu oleh Rev. Fr Benedict Runsab, Fr Rudolf Joannes,  Fr Appolonius Yakis, Fr Bede Morti dan turut kelihatan Bapa Uskup Cornelius Piong hadir untuk menyokong belia.

Msgr Gilbert dalam homilinya mengatakan program seperti ini memberi peluang kepada para belia lebih mengenali keperibadian Yesus Kristus, dan KBK6 ini juga salah satu cara belia dalam memenuhi tuntutan gereja sinodal, dengan 3 misi utama, mengenal Yesus, melayani sesama dan mengasihi sesama.

Seterusnya, program Welcoming Night yang dikendalikan oleh tuan rumah, St Patrick Membakut telah membawa peserta dalam lagu puji-pujian dan mereka disajikan dengan sebuah sketsa menceritakan perkembangan kehidupan umat Katolik di St Patrick Membakut dari dulu sehingga ke hari ini.

Bangkitlah belia jangan takut!

Mari melangkah, berjalan bersama

Nah… sudah sampai di Membakut

Shallom dan Hai untuk semua!

KEPADA ORANG MUDA:KESILAPAN TIDAK MEMBUATKAN TUHAN MENGHAKIMI SELURUH KEHIDUPAN KITA

Terjemahan oleh : Juanis bin Marcus

Bapa Suci Francis memeluk seorang anak muda dari Argentina (Pic:Media Vatican)

“Tuhan selalu berjalan bersama kita, meskipun kita orang yang berdosa, Dia datang ke arah kita untuk mengangkat kita keluar dari dosa,” jawab Bapa Suci Francis setelah mendengar cerita seorang anak muda yang bernama Giona.

Respon tersebut ditayangkan pada episode kedua  Popecast yang diterbitkan oleh Vaticannews pada 25 Julai yang lalu.  Pada episode kali ini beberapa belia dijemput untuk mengongsikan kisah kehidupan mereka dan salah seorangnya adalah Giona.

Giona atau dalam Bahasa Italinya adalah Yunus adalah seorang transgender,homoseksual dan mempunyai kecacatan pada tubuhnya. Giona menceritakan bagaimana iman Katolik membantunya menerima peribadinya dengan seutuhnya.

Bapa suci Francis juga turut mendengar perkongsian daripada 2 orang anak muda yang pada mulanya terlibat dalam jenayah dan keganasan sebagai tindak balas kepada masalah kehidupan mereka. Kedua-dua anak muda telah pun menerima hukuman mereka, namun kerana iman katolik, mereka kini beralih untuk terlibat dalam satu pertubuhan katolik yang membantu mereka yang memerlukan di Kota Milan.

“Kadangkala kita menghadapi komuniti masyarakat yang kejam, yang menghakimi kita kerana satu kesilapan dalam kehidupan kita,”jawab Bapa Suci Francis. “Namun anda tidak berseorang dalam perjalanan kehidupan anda, mungkin anda melakukan banyak kesalahan, tetapi Tuhan sentiasa menghulurkan tanganNya untuk membawa anda keluar,” sambung Bapa Suci itu lagi.

Bapa Suci Francis itu juga mendengar perkongsian daripada seorang wanita yang bernama Arianna. Ariana merupakan petugas kesihatan yang mengalami depressi dan pernah  dalam dilema diantara keinginan untuk membunuh diri atau mengalami rasa sukacita yang luarbiasa.

Bapa Suci Francis menanggapi perkongsian Arianna, bahawa keadaan dilema adalah perkara terburuk yang boleh terjadi dalam kehidupan seseorang. Keadaan itu kadangkala tidak memberi kita jalan keluar yang lebih baik. “Oleh itu penting untuk kita sentiasa melihat  ke hadapan iaitu Tuhan kita, jangan pernah lari dari pandangan itu, kerena ia pasti akan membantu kita untuk keluar dari dilema,” jawab Bapa Suci Francis.

Bapa Suci Francis juga turut menyantuni seorang anak kecil, Alesandro 9 tahun, yang menyampaikan pesan melalui pesanan audio yang berbunyi, “agar dapat diadakan Hari Kanak-Kanak Sedunia.”

“Itu satu cadangan yang baik, kita akan usulkan kepada datuk-nenek untuk menganjurkannya, dan lihat bagaimana ia harus diadakan,” jawab Bapa Suci Francis.

Sumber : https://www.ucanews.com/news/open-yourself-to-god-pope-tells-youth-ahead-of-wyd/102081

KBK-6 SERU BELIA BANGKIT MENGGALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI NABI, IMAM DAN RAJA

Artikel oleh: Melissa Floly

KBK6 bakal kembali lagi pada tahun ini dengan tema, Maria bangkit dan bergegas pergi (Lukas 1:39). Oleh itu,  satu persiapan rohani KBK-6  telah diadakan di Gereja St. Patrick Membakut pada 14-16 Julai yang lalu. Program ini dihadiri oleh para perwakilan dari setiap paroki dan mission serta para penganjur utama KBK6 yang bertujuan untuk mempersiapkan para pemimpin belia dari seluruh keuskupan Keningau dalam menuju Khemah Belia Keuskupan Keningau kali ke-6 yang bakal diadakan di Paroki Membakut  pada 27-31 Ogos 2023 nanti.

            Program ini dimulakan dengan misa pembukaan oleh Rev. Father Ronnie Luni. Membawakan sesi pertama dalam homili, iaitu misi Yesus sebagai Nabi, Imam dan Raja, Fr Ronnie menyatakan Yesus datang ke dunia sebagai nabi yang mewartakan kebenaran, sebagai Imam Agung yang menyerahkan diri-Nya sebagai korban di kayu salib demi keselamatan manusia dan Yesus juga datang sebagai raja dalam kerajaan Syurga dan merajai dalam hati setiap umat manusia.”  

            Justeru, pembimbing rohani belia Keuskupan Keningau itu menyeru kepada semua pemimpin belia untuk kembali bangkit dan membawa misi dan semangat Yesus dalam melayani para belia di KBK6 kelak. Fr. Ronnie juga  berpesan bahawa, para pemimpin belia perlu selalu menjalin relasi yang erat dengan Yesus dan berusaha menjadi saluran kasih dan sukacita Yesus kepada rakan-rakan belia di luar sana.

            Antara pengisian persiapan rohani KBK6 termasuklah katekesis, perkongsian dan aktiviti doa bersama di samping memupuk kerjasama dan persahabatan antara sesama belia di kesukupan Keningau. Penayangan logo rasmi KBK6 dan lagu tema juga dilancarkan dan boleh digunakan oleh semua paroki untuk persiapan mereka di paroki masing-masing. Adalah diharapkan agar melalui persiapan rohani kali ini, para belia semakin bersemangat dan siap untuk dibaharui secara rohani, mental dan fizikal untuk menyertai KBK6 pada hujung bulan Ogos nanti.