Tamu Solidariti KSFX yang ke-18

Artikel oleh: Sr.Maria Thomas, FSIC

Keningau- Tamu Solidariti bagi peringkat Paroki Katedral St. Francis Xavier (KSFX) kali yang ke-18 telah diadakan pada 30 Oktober 2022 (Ahad), di Dataran Keuskupan Keningau dan juga turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Diocese of Keningau. Ini merupakan tamu solidariti yang julung kalinya diadakan selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.


En. Dominic Liew selaku pengerusi Tim Pelaksana di dalam ucapan beliau menerangkan tujuan utama penganjuran tamu ini adalah untuk pencarian dana bagi membantu tabung MPP, Mission dan seminarian.
Didalam ucapan perasmian pula, YM Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong, menjelaskan bahawa penganjuran Tamu Solidariti ini juga adalah untuk memupuk semangat solidariti dan kekitaan dikalangan umat di Keuskupan Keningau dan khususnya umat disekitar Katedral St. Francis Xavier. Tamu Solidariti ini juga diserikan lagi dengan kehadiran para religious, Betania, Katekis, Pengerusi MPP dan tim pelaksana.


Tetamu jemputan dikalangan ahli-ahli politik antaranya ialah YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Datuk Kitingan, YB Datuk Arthur Kurup dan ramai lagi yang turut memberi sokongan pada hari tersebut.
Sambutan Tamu Soliariti kali yang ke-18 dimeriahkan lagi dengan hiburan yang mantap dari beberapa orang artis tempatan seperti Rosario, Lyron, Kudi dan Ernie. Juga kemunculan khas dari Johan dan Naib Johan Pertandingan Koir Belia 2022 & Pasisimpungan Koir Veteran di peringkat keuskupan yang dianjurkan baru-baru ini.


Tidak dinafikan bahawa sambutan Tamu solidariti kali ini mendapat sambutan yang sungguh luar biasa dan sangat memberangsangkan. Sesungguhnya semua umat yang mengambil peranan dalam penganjuran kali ini sangat bermurah hati di dalam jualan masing-masing.
Semoga Tamu Solidariti ini akan terus diadakan dimasa-masa mendatang dan menjadi wadah untuk umat untuk bermurah hati, dan bersatu demi pembangunan gereja.

HARI KELUARGA KATEKIS PAROKI KENINGAU 2022

artikel oleh: Juanis bin Marcus

KENINGAU: Dipenuhi dengan sukacita! Itulah gambaran yang dapat diungkapkan apabila Komiti Katekis Paroki Keningau(KOMKAT), berjaya mengadakan Hari Keluarga Katekis bagi tahun ini. Setelah tertangguh lebih dari 2 tahun, akhirnya tarikh 24 September 2022, menjadi hari yang dinanti-nantikan, apabila seramai 103 orang katekis berhimpun di KUK Gereja St.Blasius, Magatang bagi meraikan hari besar tersebut.

Para Katekis yang hadir mengabdikan gambar kenangan
Sdra.Kamusius ekui yang dilantik menjadi Katekis Pemimpin Ibadat Sabda
Sdra. Heldy Galiwas,Bernie Vellanueva dan Binius ubin yang dilantik menjadi Katekis Pelayan Komuni

Hari Keluarga dimulakan dengan Misa Kudus. Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong yang menjadi selebran misa memaklumkan bahawa tema pada kali ini adalah “Kristus sumber kesatuan, kesetiaan dan kebahagiaan keluarga”. Prelatus itu juga menjelaskan bahawa, bahawa tema ini adalah sangat penting kerana dari Surat Apostolik, Sri Paus Santo Yohanes II, menerangkan bahawa keluarga adalah tempat pertama manusia mengenal baik dan buruk, tempat pertama juga mengenal sifat dan sikap manusia itu. “Betapa pentingnya keluarga itu, termasuklah kita, Ibu bapa sebagai Katekis yang pertama,” ulas prelatus itu lagi.

Uskup Cornelius juga menyeru, agar para katekis untuk menggalakkan umat agar lebih berdisplin dalam penyembahan mereka kepada Yesus. “Contohnya, galakkan umat untuk datang awal ke misa kudus, dan penuhi ruangan depan terlebih dahulu kerana penyembahan yang benar dalam misa kudus apabila kita mampu mendengar, melihat dan menyentuhNya(Yesus)”, tegas prelatus itu.

Dalam misa kudus itu juga, Uskup Cornelius berkenan melantik Sdra.Kamusius Ekui, sebagai Katekis Pemimpin Ibadat Sabda, dan 3 yang lain iaitu, Sdra.Heldy Galiwas, Bernie Vellanueva dan Binius Ubin sebagai Katekis Pelayan Komuni.

Semasa sesi ucapan pula, Katekis Joseph Koson, selaku pengerusi penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan hari katekis walaupun pada mulanya beliau merasa takut untuk memikul tugas tersebut. 

Katekis Micheal Mindong pula, yang turut diraikan persaraannya sebagai katekis pada hari tersebut, menegaskan walaupun tidak lagi bergelar katekis , namun akan terus membantu dalam pelayanan.

Katekis Micheal Mindong

Katekis Gilbert Timun, selaku timb.pengerusi KOMKAT menyeru agar semua yang hadir pada hari keluarga ini agar dapat menggunakan sepenuhnya untuk bersyukur dan bersukacita. Selesai misa, fellowship bersama pula diadakan di Dewan Bonda Maria dari Lourdes, KUK Magatang. Dalam fellowship tersebut, para katekis diperkenalkan dan pemberian saguhati dari pengerusi-pengerusi kuk masing-masing. Akhirnya acara selingan, seperti persembahan-persembahan dan cabutan nama bertuah turut diadakan. Doa penutup pada jam 6.00pm.

SUKANEKA DAN HARI KELUARGA YANG MEMBAWA KESATUAN

-oleh Praysia Pettronellah Pedrus

Keningau– Kerasulan Wanita Katolik(KWK) Kuk Magatang(naungan Paroki Keningau) telah mengambil Tema “ Kebahagiaan Keluarga Berjalan Bersama Dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Dalam Yesus Kristus” sempena penganjuran Sukaneka KWK dan Hari Keluarga Kuk Magatang yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos yang lalu.

Sukaneka diadakan terlebih dahulu pada petang 12 Ogos 2022 yang disertai lebih kurang 65 kwk yang berumur lingkungan 30 tahun hingga 60 tahun ke atas. Dalam sukaneka ini peserta dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori kwk berumur 54 tahun kebawah dan kategori 55 tahun ke atas. Kedua-dua kategori ini dibahagikan keapda 10 kumpulan dan mempunyai 7 orang peserta pada setiap kumpulan.

Sukaneka ini dimulai dengan Doa pembukaan kemudian pemanasan badan iaitu Tarian Zumba yang diketuai oleh Puan Jovinia Justin pengerusi KWK Kuk Magatang. Antara sukaneka bagi kategori 54 tahun ke bawah ialah Lari gorilla, First Kiss, tikar terbang, lorong tikus, isi air dalam botol dan bendera terpanjang.  Aktiviti sukaneka bagi kategori 55 tahun ke atas pula  ialah cucuk benang dalam jarum, pancing botol, baling kelapa, telefon rosak dan sulaman kasih.

Dalam sekitar jam 5.00petang sukaneka ini telahpun selesai dan diteruskan dengan penyampaian hadiah oleh Katekis Matius Doon kepada semua peserta disusuli dengan doa penutup.

Pada hari berikutnya, program KWK diteruskan dengan Majlis Hari Keluarga Kuk Magatang, Majlis ini dimulai dengan Misa Kudus pembukaan oleh Fr Albreto Irenius David. Dalam homilinya, Fr Albetro menerangkan mengenai tema yang diambil untuk penganjuran kali ini.Menurutnya, klerus itu  kebahagiaan keluarga berlaku apabila ahli keluarga memberikan masa kepada ahli keluarga tanpa gadget, duduk makan bersama, bercerita bersama, berdoa bersama, saling menolong diantara satu sama yang lain dan duduk bersama ketika menghadiri ibadat sabda/misa kudus.

Melalui semua itu keluarga itu dapat merasakan kesatuan, kesetiaan dan kekudusan dalam ahli keluarga.Dalam misa kudus ini juga, Fr Albetro telah mendoakan doa perdamaian keluarga dan memberikan peluang kepada ahli keluarga untuk sesi perdamaian.

Selepas Misa Kudus, semua hadirin dijemput ke Dewan terbuka Bonda Maria Dari Loudres untuk sama-sama untuk meneruskan perayaan Hari Keluarga itu. Fr.Albreto Irenius telah menyempurnakan Gimik Perasmian dan seterusnya bersama Pengerusi Penganjur, Pengerusi Kuk dan Datin Stella Boklin membuat pemotongan kek. Majlis juga diserikan dengan pelbagai persembahan, acara tukar-tukar hadiah dan akhirnya games terbuka untuk semua umat. Jelas, kedua-dua aktiviti ini bukan sahaja membawa keluarga khususnya di Kuk Magatang untuk bersukaria tetapi juga berjalan bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus.

Sambutan Hari Keluarga Kuk Magatang
Sukaneka oleh KWK Kuk Magatang

3 Perkara Mengapa kita perlu menghormati Maria dan 3 Perkara yang kita ketahui melalui pengangkatannya ke surga

Artikel ini ditulis berdasarkan Homili Rev.Fr Bonaventure Unting semasa Misa Kudus Pengangkatan Maria ke Surga di Katedral St.Francis Xavier Keningau pada 15 Ogos 2022

Mengutip pembacaan Injil Lukas 1: 39-59 yang menceritakan bagaimana anak dalam kandungan Elisabet itu melonjak sehingga Elisabet menyapa Bonda Maria, “Siapakah aku ini sampai  Ibu Tuhanku datang mengunjungi aku? Persoalan seperti ini mungkin saja pernah muncul di dalam benak hati kita, namun mungkin lebih berbunyi seperti berikut, “Siapakah Bonda Maria ini, sehingga saya/kami perlu menghormatinya?”.

Yang pertama, bagaimana pun cara kita menghormati Bonda Maria, ia tidak akan pernah dapat menandingi bagaimana Allah menghormati Maria itu. Ini kerana Allah sendirilah yang memilih Maria untuk mengandung Putera TunggalNya, Yesus Kristus, Maria juga dipilih untuk menjadi Ibu kepada Tuhan kita.

Yang kedua, Maria terlibat secara langsung di dalam Sejarah penebusan dan penyelamatan kita. Apabila Maria menyahut, “terjadilah padaku menurut perkataan-Mu,” dia merelakan dirinya dengan penuh rendah hati dan cinta akan Allah dan bersedia untuk mengharungi apapun cabaran agar tercapailah tujuan rencana itu.

Yang ketiga, Maria telahpun diangkat ke surga, dekat dengan Tuhan kita Yesus Kristus. Maria mengenal siapa Yesus Kristus itu bukan sahaja semasa membesarkan Yesus di dunia  tetapi juga apabila bersama denganNya di surga. Bonda Maria juga orang yang pertama mengusulkan muijizat yang pertama yang dilakukan oleh Yesus kepada tuan rumah yang kehabisan anggur tersebut. Ini beerti, Maria bukan sahaja dekat dengan PuteraNya tetapi dekat dengan kita, dan tentulah  kita juga  boleh memohon bantuan Bonda Maria, untuk bagaimana datang kepada Yesus.

Ada 3 perkara juga yang kita ketahui melalui pengangkatan Bonda Maria ini. Yang pertama Kematian bukanlah kehendak Allah. Kematian ada kerana adanya Dosa. Namun seterusnya, yang kedua, melalui peristiwa ini, kita mengetahui bahawa kematian bukan akhir hidup kita.

Bonda Maria yang diangkat tubuh dan jiwa ini telah memberi kita pengetahuan tentang bahawa yang ketiga, kita semua akan dibangkitkan dan tinggal bersama dengan Allah. Kematian bukanlah yang akhir, namun kehidupan kekal adalah pasti_Juanis bin Marcus

Statue Bonda Maria diiring masuk ke dalam gereja
Para Legionaries meletakkan bunga dihadapan Statue Bonda Maria
Rev. Fr Bonaventure mengambil gambar bersama pengiring-pengiring cilik

JADI KATOLIK HINGGA AKHIR HAYAT

KENINGAU: “Jadilah Katolik Hingga Akhir Hayat” demikialah inipati homili yang disampaikan oleh Rev Fr. Lazarous Uhin semasa Misa Kudus sempena penerimaan Sakramen Pembaptisan dewasa dan kanak-kanak yang telah diadakan di Gereja St. Petrus KUK Panagatan pada 12 Ogos 2022. Dalam upacara tersebut seramai 10 orang dewasa dan 41 kanak-kanak dari seluruh Zon Magatang telah menerima Sakramen Pembaptisan.

Menyampaikan homili, Rev. Fr Lazarous Uhin menekankan betapa penting peranan ibu bapa dalam memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Selain daripada itu, klerus itu  juga mengingatkan bahawa menjadi Katolik adalah bukan satu paksaan tetapi kerelaan dan keikhlasan seseorang menerimannya

Salah seorang calon pembaptisan dewasa dari KUK Ambual iaitu Garius Pukin (59) telah memilih nama pembaptisannya Gabriel menyatakan bahawa keinginnya mengikuti ajaran Katolik terbuka sejak 30 tahun yang lalu namum ada saja masalah yang menghalang beliau untuk meneruskan niat tersebut. Walau bagaimanapun, beliau sangat bersyukur kepada Kristus kerana menerimanya diusia 59 tahun. Beliau turut berpesan kepada rakan-rakan di luar sana yang masih belum mengikuti Kristus agar berhubung dengan mana-mana Paderi atau Katekis untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan nasihat agar terbuka hati menjadi pengikut Kristus.

Gabriel Garius & Jason Jamri
Fr.Lazarous bergambar bersama Katekis dan penerima Sakramen pada hari tersebut

Turut berkongsi pengalaman  adalah Jamiri Jaimis @ Donysius (46) dari KUK Panagatan yang mana beliau telah memilih nama pembaptisannya Jason. Beliau terbuka hati untuk memilih Katolik adalah atas kerelaannya dan percaya bahawa Yesus Kristus lah satu-satunya penolong bagi umat yang percaya. _ANDREAS MINJUN