KBK6 AJAK BELIA MENGENAL KEPERIBADIAN YESUS

Artikel oleh: Melissa Floly

MEMBAKUT: Khemah Belia Keuskupan kali ke 6(KBK6) telah bermula hari ini di St. Patrick Membakut dan dihadiri seramai 803 orang peserta dari setiap paroki dan mission di Keuskupan Keningau.

KBK6 yang merupakan anjuran Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau ini dijalankan selama 4 tahun sekali dan hari ini KBK6 secara rasminya dimulakan dengan Misa Pembukaan oleh Monsignor Gilbert Lasius, dibantu oleh Rev. Fr Benedict Runsab, Fr Rudolf Joannes,  Fr Appolonius Yakis, Fr Bede Morti dan turut kelihatan Bapa Uskup Cornelius Piong hadir untuk menyokong belia.

Msgr Gilbert dalam homilinya mengatakan program seperti ini memberi peluang kepada para belia lebih mengenali keperibadian Yesus Kristus, dan KBK6 ini juga salah satu cara belia dalam memenuhi tuntutan gereja sinodal, dengan 3 misi utama, mengenal Yesus, melayani sesama dan mengasihi sesama.

Seterusnya, program Welcoming Night yang dikendalikan oleh tuan rumah, St Patrick Membakut telah membawa peserta dalam lagu puji-pujian dan mereka disajikan dengan sebuah sketsa menceritakan perkembangan kehidupan umat Katolik di St Patrick Membakut dari dulu sehingga ke hari ini.

Bangkitlah belia jangan takut!

Mari melangkah, berjalan bersama

Nah… sudah sampai di Membakut

Shallom dan Hai untuk semua!

KBK-6 SERU BELIA BANGKIT MENGGALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI NABI, IMAM DAN RAJA

Artikel oleh: Melissa Floly

KBK6 bakal kembali lagi pada tahun ini dengan tema, Maria bangkit dan bergegas pergi (Lukas 1:39). Oleh itu,  satu persiapan rohani KBK-6  telah diadakan di Gereja St. Patrick Membakut pada 14-16 Julai yang lalu. Program ini dihadiri oleh para perwakilan dari setiap paroki dan mission serta para penganjur utama KBK6 yang bertujuan untuk mempersiapkan para pemimpin belia dari seluruh keuskupan Keningau dalam menuju Khemah Belia Keuskupan Keningau kali ke-6 yang bakal diadakan di Paroki Membakut  pada 27-31 Ogos 2023 nanti.

            Program ini dimulakan dengan misa pembukaan oleh Rev. Father Ronnie Luni. Membawakan sesi pertama dalam homili, iaitu misi Yesus sebagai Nabi, Imam dan Raja, Fr Ronnie menyatakan Yesus datang ke dunia sebagai nabi yang mewartakan kebenaran, sebagai Imam Agung yang menyerahkan diri-Nya sebagai korban di kayu salib demi keselamatan manusia dan Yesus juga datang sebagai raja dalam kerajaan Syurga dan merajai dalam hati setiap umat manusia.”  

            Justeru, pembimbing rohani belia Keuskupan Keningau itu menyeru kepada semua pemimpin belia untuk kembali bangkit dan membawa misi dan semangat Yesus dalam melayani para belia di KBK6 kelak. Fr. Ronnie juga  berpesan bahawa, para pemimpin belia perlu selalu menjalin relasi yang erat dengan Yesus dan berusaha menjadi saluran kasih dan sukacita Yesus kepada rakan-rakan belia di luar sana.

            Antara pengisian persiapan rohani KBK6 termasuklah katekesis, perkongsian dan aktiviti doa bersama di samping memupuk kerjasama dan persahabatan antara sesama belia di kesukupan Keningau. Penayangan logo rasmi KBK6 dan lagu tema juga dilancarkan dan boleh digunakan oleh semua paroki untuk persiapan mereka di paroki masing-masing. Adalah diharapkan agar melalui persiapan rohani kali ini, para belia semakin bersemangat dan siap untuk dibaharui secara rohani, mental dan fizikal untuk menyertai KBK6 pada hujung bulan Ogos nanti.

PERAYAAN 3 DALAM 1 ZON BULU SILOU

Artikel oleh : Melissa Floly

Gambar 1: Bapa Uskup Cornelius Piong, bersama Puan Nancy(PMPP) dan Fr.David Gasikol bergambar dengan Logo Pukat dan MPC.

Keningau: Pada 29 Jun lalu,Kuk Bonda Maria Ratu Perdamaian, Bariawa Tengah yang berada dalam naungan Zon Bulu Silou telah menyambut perayaan 3 dalam 1 iaitu UTK-30, Pesta Kaamatan dan kesyukuran pelayan pembimbing rohani Katekis Stanislaus Podtung. Sambutan dimulakan dengan Misa Kudus oleh Bapa Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Rev. Father David Gasikol.

Uskup Cornelius dalam homilinya berkata, selain dari peningkatan kuantiti umat yang bertambah dari tahun ke tahun, kualiti iman kita sebagai umat Katolik perlu diutamakan. Ambil masa untuk mengenali Yesus secara peribadi melalui pengalaman iman kita bersama dalam hidup berkomuniti. Dengan mengenal dan mengasihi Dia kita akan melayani Tuhan dengan lebih sungguh.

Gambar 2 : Tarian Sambut Tamu oleh belia Kuk Zon Bulu Silou

Pengerusi MPP, Puan Nancy Nelly mengucapkan tahniah kepada Kuk Bariawa Tengah yang telah  siap membina sebuah dewan terbuka yang terletak bersebelahan dengan gereja dan berharap agar fasiliti ini akan digunakan sebagai wadah membangun dan memantapkan pertumbuhan iman umat di kuk ini. Beliau juga mengucapkan syabas kepada tim pelaksana sambutan 3 dalam 1 ini dan juga kepada Katekis Stanislaus Podtung yang turut diraikan dalam sambutan ini.

Katekis Stanislaus Podtung dalam ucapannya berasa terharu atas penghargaan umat zon Bulu Silou dan berterima kasih atas kerjasama yang jitu sepanjang beliau melayani sebagai pemimpin ibadat sabda di zon ini. Katekis yang berasal dari Kg. Tigot, Keningau ini juga berterima kasih kepada Uskup Cornelius yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk melayani di Zon ini sejak 4 tahun yang lalu. Beliau juga menerangkan bahawa komiti pendoa iatu Legion Of Mary (LOM) juga baru sahaja ditubuhkan dan sudah mula berdevosi kepada Bonda Maria dan beliau menyatakan kesyukuran atas perkembangan itu.

Uskup Cornelius juga menyatakan dalam ucapannya, untuk memastikan perkembangan iman umat yang berkesan, umat perlu setia dalam doa dan penyembahan, dan turut serta dalam program pembentukan iman yang berterusan lebih-lebih lagi pada masa kini, sumber rohani boleh diperoleh dengan mudah dan juga bergiat dalam tanggungjawab sosial sebagai umat Katolik. Jadikan gereja kita, sebuah gereja yang terbuka kepada umat, mesra alam dan apostolik, agar bukan bangunan sahaja yang tersergam indah tetapi juga umat kita akan semakin bertumbuh. Jamuan kesyukuran diadakan di dewan terbuka seusai misa kudus dan para tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan dari umat Zon Bulu Silou.

ULANG TAHUN KE30 KEUSKUPAN KENINGAU (UTK30) PERINGKAT PAROKI ST. ANTHONY TENOM

Artikel oleh: Flora

Sambutan Perayaan 4 dalam 1, iaitu Ulang Tahun Keuskupan Keningau yang ke-30, Ulang Tahun Pentahbisan Uskup Cornelius Piong, Hari Santo Penaung St.Anthony dari Padua dan Pesta Kaamatan Peringkat Paroki Tenom telah diadakan pada 17 Jun 2023 bertempat di KUK Gereja St.Martha Lagud.

Sambutan dimulakan dengan Misa Kudus pada jam 10.00am yang diselebrankan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong.

Dalam ucapannya, Bapa Uskup Cornelius mengajak semua umat untuk meneruskan perjalanan bersama sebagai sebuah Gereja Sinodal dan harus berbangga dengan identiti kekitaan, di samping selalu peka terhadap kebajikan sesama, keluarga, gereja dan masyarakat serta seluruh Alam Ciptaan Tuhan.

Prelatus itu juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada tuan rumah perayaan,  KUK Gereja St. Martha, Lagud di dalam usaha dan tenaga yang dilakukan sehingga perayaan ini berjaya dilaksanakan. Bapa uskup turut berterima kasih dan mengucapkan syabas kepada Rektor paroki, Fr. Ronnie Luni dan  pembantu paderi, Fr.Anthony Mikat serta semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan kesyukuran UTK30 kali ini.

Fr.Ronnie dalam ucapannya pula,  berterima kasih kepada Tuhan kerana telah memilih dan mengutus seorang anak jati Keuskupan Keningau, Bapa Uskup Cornelius Piong untuk menjadi Paderi dan Uskup  yang telah mengembalakan keuskupan dengan penuh kerendahan hati dan komitmen yang tinggi.Klerus itu juga turut mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Pentahbisan kepada Bapa Uskup Cornelius.

Fr.Ronnie  juga turut berterima kasih  kepada semua yang terlibat, kepada para dermawan, ahli MPP, KUK dan juga umat setempat kerana berusaha dan berganding bahu dalam menjayakan perayaan ini. Klerus itu juga  berharap agar para dermawan sentiasa bersama-sama umat di Paroki St. Anthony dalam merealisasikan pembangunan kerohanian umat khususnya di  Paroki St. Anthony.

Sambutan perayaan diteruskan dengan pelbagai acara seperti Cabutan Tiket Bertuah, Tajaan Lagu bagi Dana Paroki 2.0 dan Kutipan Kasih yang Berjaya mengumpulkan wang tunai rm2000, sebelum ditutup dengan doa pada jam 6.00pm.

PESAN BAPA USKUP CORNELIUS PIONG KEPADA AHLI KOMSOS

“Anda adalah nabi-nabi zaman sekarang”

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Tatal, Keningau-“Nabi-nabi yang dipilih dan diutus oleh Allah, mempunyai peranan untuk berbicara kepada umat manusia, menyampaikan Sabda Allah, pesan-pesan Allah, begitulah juga tanggungjawab kita sebagai manusia, terlebih lagi kepada ahli komsos,”ucap Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong ketika memberi homili dalam Misa Kudus Pembukaan Rekoleksi Keuskupan Keningau.

Misa Kudus tersebut diadakan pada 16 Jun, di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Kg.Tuarid Taud, Tatal, yang mana Bapa Uskup Cornelius menjadi selebran dan Fr.Clement Abel, selaku Spiritual Director menjadi co-selebran. Sekitar 50 ahli komsos yang hadir, terdiri daripada komsos dari paroki-paroki, para DJ Kekitaanfm dan juga Krew Komsos Keuskupan Keningau.

Bapa Uskup Cornelius menegaskan bahawa menyampaikan pesan-pesan Allah adalah peranan khusus bagi para ahli komsos. “Pesan-pesan Allah itu berupa Sabda Allah, nasihat, teguran mungkin juga sebuah pengharapan. Memang selepas dibaptis kita mempunyai kewajipan untuk mengongsikan semua ini, namun bagi ahli komsos ia adalah sebuah panggilan khusus, dan ia harus dibanggakan oleh anda semua,” tegas prelatus itu.

Prelatus itu juga menjelaskan bahawa Allah itu juga bersifat KOMUNIKASI. “Dalam kisah penciptaan dunia ini, Allah mengatakan ‘Marilah kita menjadikan manusia’ adalah tanda bahawa Allah itu mempunyai sifat berkomunikasi,”jelas prelatus itu lagi. Menutup homilinya, Bapa Uskup Cornelius memberi kata semangat kepada ahli komsos agar tidak risau dalam menghadapi cabaran pelayanan komsos kerana kita juga mempunyai Allah yang peka kepada keperluan umat-Nya.

Selesai Misa Pembukaan, turut diadakan pada hari tersebut adalah pembentangan oleh pengerusi-pengerusi komsos setiap paroki mengenai masalah dan cabaran dalam pelayanan mereka. Rekoleksi akan diteruskan pada 17-18 Jun dengan Misa Pengutusan dan Pembaharuan Janji Komiten oleh ahli komsos sebagai penutup rekoleksi.