APA MATLAMAT PELAYANAN KITA? BAGAIMANA KITA MAMPU MENCAPAINYA?

Artikel oleh: Juanis bin Marcus

Para katekis bergambar dihadapan Gereja Bonda Maria Ratu Lourdes bersama dengan Fr.Appolonius Yakis(SD KOMKAT)

Agudon, Keningau– Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong mengingatkan para katekis tentang apa sebenarnya matlamat dalam pelayanan mereka dan bagaimana untuk melakukannya. Pesan tersebut disampaikan semasa memberikan Homili sempena Misa Kudus Hari Keluarga Katekis(KOMKAT) peringkat Paroki Katedral St.Francis Xavier, Keningau.

Hari Keluarga Katekis pada kali ini diadakan pada 6 Oktober 2023, dengan Gereja Bonda Maria Ratu Lourdes, Kuk Agudon menjadi penganjur sekaligus venue penganjuran.

“Apa sebenarnya matlamat dalam setiap aktiviti dan program yang kita adakan di Keuskupan Keningau? Iaitu, membentuk komuniti umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya, dan seharusnya ini juga menjadi matlamat pelayanan bagi para katekis,” seru Bapa Uskup Cornelius. “Namun, apakah cara yang terbaik agar kita oleh mencapai matlamat itu?” sambung prelatus itu.

Para katekis berarak sebelum memulakan misa kudus.

Bapa Uskup Cornelius mengulas perkara tersebut dengan mengatakan bahawa matlamat itu boleh dicapai dengan melakukan apa yang dikatakan oleh Yesus dalam Injil Lukas 6: 47-48 iaitu, sesiapa yang datang kepada Yesus , mendengar dan melakukan apa yang dikatakan-Nya, ia adalah umpama membina rumah dengan dasar yang kukuh dan tidak tergoncangkan.

“Secara peribadi  ini juga yang saya amalkan, maka kepada kita semua, ambil masa, bukan tunggu bila ada masa untuk datang kepada Yesus.Kita dapat datang             kepada-Nya melalui aktiviti mahupun seminar, doa , renungan dan membaca Sabda Tuhan. Harus beringat juga, apabila datang kepada Yesus mesti dengan penuh kerendahan hati, agar matlamat pelayanan kita tidak terpesong,” jelas prelatus itu lagi.

“Sudah 30 tahun kita berjalan bersama sebagai satu keuskupan, dalam pelayanan pasti ada suka dan duka, oleh itu penting dalam pelayanan ini kita berjalan bersama”, tutup prelatus itu.

Kat.Gilbert Timun, selaku pengerusi KOMKAT dan Pengerusi MPP KSFX, Puan Nancy Nelly Joneh, senada untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua katekis yang telah berusaha untuk menjayakan hari keluarga katekis kali ini.

Semasa Misa Kudus, turut diadakan pembaharuan janji komitmen bagi semua para katekis, seterusnya fellowship bersama di perkarangan gereja lama, Kuk Agudon. Turut diumumkan adalah Tuan Rumah Hari Keluarga Katekis pada tahun hadapan adalah Zon Senagang _ Juanis bin Marcus

Sharing is caring!