KOMUNITI SEKULAR BETANIA

PENGENALAN TENTANG INSTITUISI SEKULAR KOMUNITI BETANIA(ISKB)

SANTO FRANCIS XAVIER, SANTO PENAUNG ISKB
YANG MULIA BAPA USKUP CORNELIUS PIONG, PENGASAS ISKB
REV.FR GIOVANNI CHRYSOSTOM SUGAU CSE, PADERI PENDAMPING ROHANI ISKB
SAUDARI MARY TUNSIN, MODERATOR ISKB
LOGO KOMUNITI SEKULAR BETANIA

BULATAN HIJAU

Melambangkan dunia dan kesatuan komuniti yang sentiasa segar dan berkembang dalam cintakasih Kristus.

WARNA BIRU DAN PUTIH

Melambangkan keharuman dan kemurnian iman, harapan dan kasih Bonda Maria kepada Tuhan yang menjadi teladan komuniti.

SALIB UNGU

Melambangkan Salib Yesus Kristus. Salib ini mengingatkan komuniti akan cintakasih, pengorbanan dan kemenangan Yesus demi menebus dosa manusia. Dalam Pelafazan Komitmen Pertama anggota akan menerima kalung salib sebagai tanda dan mengingatkan anggota   bahawa dia sudah terikat untuk melayani Kristus dan Tubuh-Nya Gereja.

BUNGA MAWAR MERAH

Melambangkan keberanian, ketekunan dan ketaatan kepada Kristus dalam pengabdian hidup.

TIGA DAUN HIJAU

Melambangkan 3 komitmen yang dihayati dan dihidupi     oleh anggota komuniti; Kemurnian, Kesederhanaan dan Ketaatan

INSTITUSI SEKULAR KOMUNITI BETANIA  (ISKB)

             Komuniti ini adalah kelompok anggota Gereja sama ada wanita dan lelaki yang ingin dan memilih hidup Tunggal untuk Tuhan.

             Komuniti ini adalah satu alternatif bagi Gereja menjawab panggilan Tuhan untuk melayani di ladangNya yang luas, sekiranya hidup berkahwin, membiara atau Imamat tidak menjadi pilihan.

Komuniti ini beraspirasikan sifat-sifat hidup keluarga Martha, Maria dan Lazarus di Betania yang menjadi sahabat Yesus (Luk 10: 38 – 42, Yoh 11: 27).

Anggota komuniti ini adalah mereka yang menjawab panggilan Tuhan untuk melayani Gereja pada masa kini. Secara kebetulan Komuniti ini lahir di Keuskupan Keningau tetapi pelayanannya tidak terhad kepada sebuah Keuskupan.

Pelayanan yang dilakukan oleh anggota Komuniti adalah menurut karisma masing-masing tetapi berlandaskan kepada wawasan Keuskupan tempat dimana anggota Komuniti ini melayani.

APAKAH LEMBAGA SEKULAR INI DIAKUI OLEH GEREJA?

(Ruj. KITAB HUKUM KANONIK /Bhg III / Seksi I /JUDUL III: TAREKAT-TAREKAT SEKULAR  KANON 710-730)   

Ya. Dalam DEKRIT PERFECTAE CARITATIS KONSILI VATIKAN II dijelaskan bahawa:

“Meskipun bukan Tarekat Religius, namun serikat-serikat sekular             mencakup pengalaman nasihat-nasihat Injil yang sesungguhnya, lengkap dan diakui rasmi oleh Gereja. Di tengah masyarakat… Serikat-serikat itu hendaknya mempertahankan coraknya yang khas dan istimewa, yakni corak sekular, supaya dapat menunaikan kerasulannya dengan tepat dan berguna di mana-mana di tengah masyarakat dan bagaikan dari dalam masyarakat kerana memang didirikan untuk kerasulan itu” (No. 11).

KITAB HUKUM KANONIK KAN. 710

 “Lembaga sekular ialah Lembaga Hidup Bakti, di mana umat beriman Kristian yang hidup di dunia ramai mengusahakan         kesempurnaan cinta kasih dan berusaha untuk melaksanakan         pengudusan dunia”.

PEMBENTUKAN DAN PENGESAHAN RASMI ISKB

Pada 27 April 1994, Sdri Rita S.Titing bertemu dengan Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong untuk mengutarakan niatnya menjadi awam yang hidup tunggal untuk Kristus dan Gereja-Nya dengan mengikrarkan janji (komitmen) kepada pihak pemimpin Gereja (Uskup).

Seterusnya diadakan pertemuan dan rekoleksi pertama pada 13 Mac 1995. Rekoleksi ini disertai oleh 9 orang wanita, 6 dari Keuskupan  Keningau dan tiga orang dari Keuskupan Kota Kinabalu. Mereka terdiri daripada Sdri Rita Titing, Sdri Anita Uliti,  Sdri Marianna Walter, Sdri Penny John, Sdri Jacqueline Gumbook, Sdri Regina Ligong, Sdri Losia Tumpangon (D), Sdri Lucia Ginsu dan Sdri Lydia Sulip. Rekoleksi ini dibimbing oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dan Msgr. Charles Chiew bertempat di Rumah Keuskupan Keningau St. Theresa Tambunan (RKKT). Dalam   pertemuan itu, kelompok ini menetapkan  pertemuan diadakan sekali dalam tiga bulan sebagai pembentukan dengan mengadakan mesyuarat, seminar atau retret.

Pertemuan kedua diadakan pada 6 Jun 1995. Dalam pertemuan ini, Pendamping Rohani (Formator) dan Moderator kelompok dipilih. Sdri Rita S. Titing dipilih sebagai Moderator. Sdri Losia Tumpangon sebagai Kordinator Keuskupan Kota Kinabalu dan Sdri Anita Uliti sebagai Kordinator Keuskupan Keningau. Manakala Pendamping Rohani (Formator) adalah Msgr. Charles Chiew dan Rev. Fr. Patrick @ Erik  Jerome. Pengasas Institusi Sekular Komuniti Betania ialah Bapa Uskup  Datuk Cornelius Piong.

Selepas diadakan renungan, perkongsian dan rumusan, kelompok ini dengan rasminya dikenali sebagai “Institusi Sekular Komuniti Betania”. Perkataan ‘Betania’ beraspirasikan Maria, Martha dan          Lazarus dari Betania yang menjadi sahabat baik Yesus.                    (Lukas 10:38-42).

Dua tahun kemudian, berkat doa, sokongan dan restu daripada Pengasas, Pendamping Rohani serta anggota komuniti, akhirnya penubuhan komuniti ini di peringkat Keuskupan Keningau telah disahkan pada 27 Julai 1997 di Katedral St. Francis Xavier, Keningau. Pengesahan telah  disempurnakan oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong selaku Pengasas Komuniti. Pada hari yang sama, tiga orang anggota komuniti ini telah melafazkan Komitmen (janji) Pertama, yang terdiri daripada Sdri Rita S. Titing dari Mission Sook, Sdri Losia Tumpangon (D) dari Paroki Tuaran dan Sdri Anita Uliti dari Paroki             Toboh.

Majlis Institusi Sekular Komuniti Betania telah dibentuk pada             25 Oktober 2005 setelah Anggota Perintis Institusi Sekular Komuniti Betania melafazkan Komitmen Kekal. Setakat ini, terdapat seramai 23 orang anggota ISKB yang berkomitmen kekal dan sementara.

KEUNIKAN ANGGOTA ISKB

Anggota Komuniti ini tetap awam seperti umat Katolik yang lain. Namun, mereka mengucapkan janji (komitmen) secara rasmi dan umum di dalam Gereja. Hidup Tunggal untuk Tuhan dan            mengamalkan hidup doa yang khusus serta komitmen  KEMURNIAN, KESEDERHANAAN DAN  KETAATAN kepada Tuhan dan  Pemimpin Gereja.

               

PEKERJAAN ANGGOTA  ISKB

Anggota komuniti hidup dan memilih pekerjaan sendiri sesuai dengan bakat, kemampuan dan kesempatan yang ada dengan menghayati komitmen yang diikrarkan melalui penglibatan secara sukarela dan aktif dalam pelbagai kegiatan di dalam Gereja, Jabatan Kerajaan, masyarakat dan  pekerjaan sederhana setiap hari.

3 CARA HIDUP ISKB

I. Tinggal di Rumah Komuniti

II. Tinggal di Rumah Keluarga

III. Tinggal di Rumah Sendiri (berdikari)

ASPEK PEMBENTUKAN ISKB

I. Kerohanian

II. Pastoral

III. Akademik

IV. Hidup Berkomuniti

V. Kemahiran

KOLEKSI GAMBAR PELAFAZAN KOMITMEN   ISKB 1997—2019

Perasmian ISKB oleh YM Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong
dan Pelafazan Komitmen Pertama
 
3 anggota Perintis ISKB
Sdri Rita Titing, Sdri Losia Tumpangon (D) & Sdri Anita Uliti       
                           
27 Julai 1997  di Katedral St. Francis Xavier Keningau
 

Sharing is caring!