MENJADI PEMIMPIN PASTORAL YANG SEJATI

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Fr.Rudolf Joannes salah satu pemberi sesi semasa Seminar Kepimpinan Pastoral peringkat Paroki KSFX

Keningau-Menyedari bahawa kepimpinan yang mapan merupakan tonggak utama dalam pembangunan fizikal dan rohani sesebuah paroki, Paroki KSFX mengambil inisiatif untuk menganjurkan Seminar Kepimpinan Pastoral yang bertempat di Dataran Solidariti Keuskupan pada 23-24 Februari 2024.

Penganjuran seminar ini adalah amat bertepatan apatah lagi, Paroki KSFX telahpun mempunyai Tim Kepimpinan yang baru di peringkat MPP, Zon, Kuk, Komiti dan Kerasulan.

Seminar ini dimulakan dengan Ibadat Jalan Salib seterusnya Misa Kudus Pembukaan yang diselebrankan oleh Msgr.Gilbert Lasius. Dalam homilinya, Msgr.Gilbert mengemukan soalan kepada ratusan mereka yang hadir, tentang bagaimana kita dapat mengetahui bahawa pelayanan kita itu sememangnya adalah panggilan dari Tuhan?

“Salah satu tandanya adalah kita akan mencintai tugas pelayanan kita, kita mempunyai semangat untuk melaksanakannya dan Tuhan akan memberikan kita kebijaksanaan dalam pelayanan kita itu,” jelas Msgr.Gilbert.

Sesi Pertama pada 23 Februari dimulakan oleh Sdra.Patrick Marius, Pengerusi Tim Pastoral Keuskupan Keningau. Beliau membawakan topik mengenai “Kepimpinan dan Pelayanan”.

Secara umumnya, Pemimpin adalah seorang yang sentiasa memberi sumbangan secara konsisten kepada sesebuah komuniti atau kumpulan. Oleh itu pemimpin yang mempunyai jiwa pastoral seharusnya mempunyai kewibaan dan keberanian untuk mempengaruhi orang lain agar bersatu dalam membangun kerajaan Allah.

Sesi 2 pada 24 Februari pula disampaikan oleh Fr.Rudolf Joannes. Topik yang dibawakan adalah “Garis Panduan MPP dan Peranannya”. Klerus itu menjelaskan bahawa MPP adalah badan pelaksana bukannya pembuat keputusan, dan mereka harus bekerjasama dengan Paderi Paroki dalam pembangunan pastoral  bagi paroki tersebut. Klerus itu turut menambah, bahawa Pengerusi MPP harus membahagikan tugas pelayanan yang ada  kepada ahli jawantankuasa yang telah dilantik dan bukannya bertindak sendirian.

Sesi 3 pula sekali lagi dibawakan oleh Sdra.Patrick Marius, iaitu mengenai “Spiritualiti Kepimpinan”. Beliau menegaskan bahawa seorang pemimpin harus hidup dalam cintakasih Tuhan. Ini bermakna seorang pemimpin harus hidup dalam doa dan rajin membaca alkitab agar hidup mereka sentiasa diperbaharui oleh cintakasih Tuhan.

Sesi terakhir yang bertajuk “Teamwork dalam konteks Keuskupan Keningau” disampaikan oleh Msgr.Gilbert Lasius. Klerus itu menegaskan bahawa Kepimpinan di Keuskupan Keningau didasari oleh semangat “berjalan bersama”. Ini kerana wawasan Keuskupan Keningau juga berbunyi “Umat Allah yang berjalan bersama dalam Yesus Kristus”.Oleh itu para pemimpin di Keuskupan Keningau harus sentiasa mengutamakan kesatuan dalam kepimpinan mereka.

Seminar ditutup pada sebelah tengah hari, dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong. Memetik Surat Rasul Petrus yang pertama(1 Pet 5:2-4), prelatus itu berpesan agar para pemimpin yang dipilih akan memimpin dengan sukarela, menjadi teladan kepada mereka yang lain dan memimpin bukan atas keuntungan peribadi tetapi atas pengabdian kepada Allah. “Dalam konteks keuskupan kita, anda merupakan pemimpin yang bukan sahaja dipilih tetapi juga dipanggil oleh Tuhan, anda adalah Sang Gembala di Keuskupan Keningau” tutup Uskup Cornelius.

PERAYAAN STO.NINO PERINGKAT PAROKI KSFX

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Keningau-Komiti Filipino paroki KSFX sekali lagi merayakan Pesta Sto.Nino kali yang ke-10 pada 21 Januari 2024 bertempat di Dataran Solidariti Keuskupan Keningau.

Perayaan itu disambut melalui Misa Kudus yang diselebrankan oleh Msgr.Gilbert Lasius.

Misa Kudus bermula pada jam 2.00pm, yang mana kebanyakan mereka yang hadir mengenakan pakaian tradisional masyarakat Filipina sambil membawa Statue St.Nino. Perarakan Misa didahului oleh kaum muda dan kanak-kanak yang berarak masuk sambil melakukan tarian sebelum diikuti oleh usungan yang membawa Statue St.Nino.

Msgr.Gilbert Lasius  dalam homilinya, menyatakan St.Nino atau “Bayi Yesus” yang dirayakan melambangkan kepada 3 perkara. Perkara pertama adalah “kebergantungan”. Bayi Yesus yang terpaksa bergantung kepada jagaan fizikal oleh kedua ibu-bapaNya(Maria & Josef) juga turut memberi maksud bahawa manusia juga harus bergantung hidupnya kepada Tuhan.

Perkara kedua pula adalah “Kerendahan Hati”. Yesus sanggup merendahkan diriNya untuk menjadi manusia dan dilahirkan oleh manusia agar mampu menebus dosa-dosa kita. “Seperti dalam Injil, siapa seperti kanak-kanak itu akan masuk kerajaan surga, beerti kita juga harus merendahkan diri seperti seorang kanak-kanak yang sentiasa memerlukan tempat bergantung hidup,” tegas Msgr.Gilbert.

Perkara yang ketiga, Bayi Yesus juga melambangkan “Kesetiaan”. Yesus bukan sahaja setia kepada ibu-bapaNya di dunia tetapi juga tetap setia dalam misiNya. “Inilah tiga perkara yang harus kita hayati dalam merayakan St.Nino ini iaitu, Kebergantungan, Kerendahan hati  dan Kesetiaan,” tutup Msgr.Gilbert dalam homilinya.

Selepas misa, turut diadakan Fellowship bersama di Dewan MPP KSFX. Pelbagai acara diadakan seperti Little King & Queen St.Nino, pakaian tradisi tercantik, keluarga contoh dan juga tiket bertuah. Menurut salah satu jurucakap Komiti Filipino, Perayaan St.Nino ini akan diteruskan pada tahun hadapan malah akan diperbesarkan lagi agar komiti-komiti lain dapat menyertainya.

MAJLIS KESYUKURAN 5 DALAM 1 YANG PENUH BERKAT

Artikel oleh : Melty Paulus

Keningau – Majlis Kesyukuran 5 dalam 1 telah diadakan di Dewan MPP, Paroki KSFX Keningau pada 7 Januari 2024 yang lalu. Acara ini termasuklah sambutan Msgr Gilbert Lasius sebagai Rektor Paderi KSFX yang baharu, welcoming Fr. Bede Anthonius ke KSFX, farewell Fr. Lazarous Uhin serta penghargaan kepada AJKT MPP KSFX sesi 2019-2023 dan seterusnya alu-aluan kepada AJKT MPP KSFX bagi sesi 2024-2026.

Majlis ini bermula pada 6.30 petang dan di dahului dengan doa pembukaan dan seterusnya ucapan daripada Pengerusi MPP KSFX yang baru, Puan Nancy Nelly Joneh dan juga daripada para paderi yang diraikan.

Uskup Cornelius Piong yang hadir mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan terlibat sama dalam majlis ini dan melahirkan kesyukurannya kerana dapat berjalan bersama dalam Kristus dan berkumpul bersama meraikan kebersamaan ini yang penuh berkat. Fr. David Gasikol, Fr Appolonius Yakis, Fr. Joseph Gapitang dan Fr. Ferdinandus dari Keuskupan Sintang, Indonesia turut bersama-sama hadir dalam majlis ini. Kehadiran para religius dan sister, para seminarian dan aspirant serta umat di sekitar Paroki KSFX juga menambahkan lagi keriangan dalam majlis kebersamaan ini.

Sepanjang acara ini berlangsung, majlis ini bukan hanya makan bersama sahaja tetapi juga diserikan lagi dengan pengisian seperti persembahan nyanyian dan tarian, exchange gifts, bergambar bersama serta pemberian penghargaan cenderakenangan kepada barisan AJKT MPP KSFX bagi sesi yang lalu. Di kesempatan ini, diucapkan selamat melayani di Paroki KSFX kepada Msgr Gilbert Lasius yang juga sebagai Rektor Paroki KSFX. Selamat datang juga diucapkan kepada Fr.Bede Anthonius ke Paroki KSFX dan Selamat melayani di tempat yang baru bagi Fr.Lazarous Uhin.

Majlis syukur ini juga mengucapkan tahniah kepada AJKT MPP KSFX yang baharu bagi sesi 2024-2026 dan selamat menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen.

PERLANTIKAN DAN PEMBAHARUAN  KOMITMEN PAROKI PELAYAN SABDA KSFX

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Gambar 1: Upacara Pelantikan Pelayan Sabda yang baru dihadapan Bapa Uskup Cornelius Piong

Tatal, Keningau-Seramai 202 Pelayan Sabda dari sekitar Katedral St.Francis Xavier, Keningau dan Zon Senagang telah menyertai Rekoleksi Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen Pelayan Sabda peringkat KSFX yang diadakan pada 20 Januari 2024 dan bertempat di Pusat Retret Keuskupan Keningau, Tatal.

Rekoleksi itu bertujuan untuk mempersiapkan para Pelayan Sabda sebelum mereka dilantik atau memperbaharui komitmen mereka.

Rekoleksi itu bermula dengan Msgr.Gilbert Lasius memberikan Input Pertama yang bertajuk “Mesej Hari Minggu Sabda Allah”. Menurut klerus itu, Alkitab adalah Cintakasih Tuhan oleh itu seharusnya kita mewartakannya. Oleh yang demikian, para Pelayan Sabda mempunyai peranan yang sangat penting kerana mereka mewartakan Sabda Allah itu di puncak kehidupan kita sebagai Katolik, iaitu Perayaan Ekaristi.

“Pelayan Sabda harus menghayati dengan batin mereka Sabda Tuhan itu sebelum mewartakannya agar umat yang mendengarkannya dapat merasakan cintakasih Tuhan itu juga,” tutup Msgr.Gilbert.

Sesi kedua yang bertajuk , “Peranan dan Tanggungjawab Pelayan Sabda” pula disampaikan oleh Sr.Liza Jamat, FSIC. Menurut biarawati itu, pelayan sabda perlu menjadi Pewarta Injil yang hidup dengan mendalami, menghayati dan menerapkan nilai-nilai Injil dalam kehidupan mereka. “Menjadi pewarta Injil bukan hanya kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Kristian tetapi juga kita menerima bahawa Yesus adalah Tuhan, Yesus adalah Juruselamat dan pemimpin dalam kehidupan kita,”jelas Sr.Liza menutup sesinya.

Selepas itu, diadakan Upacara Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen para Pelayan Sabda melalui Misa Kudus yang disempurnakan oleh YM Bapa Uskup Cornelius Piong. Seramai 60 Pelayan Sabda menerima lantikan baru dan selebihnya memperbaharui komitmen mereka.

Uskup Cornelius dalam homilinya, mengatakan bahawa setiap pelayan sabda harus sedar bahawa kemampuan mereka mewartakan Sabda bukanlah  daripada kemampuan  manusiawi tetapi kerana ia datang dari Tuhan. “Anda semua bukan membaca Sabda Tuhan, tetapi mewartakannya atau dengan kata lain memproklamasikan Sabda itu,”jelas prelatus itu. Prelatus itu juga menasihatkan agar para pelayan sabda bersedia lebih awal dan berdoa kepada Roh Kudus agar mereka dapat mewartakan Sabda Allah itu dengan lebih efektif.

Selepas Misa Kudus, turut diadakan fellowship bersama para pelayan sabda dengan Uskup Cornelius Piong dan Msgr.Gilbert Lasius.

Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen bagi pelayan sabda ini akan diteruskan lagi bagi zon-zon lain dalam naungan paroki KSFX. – Juanis bin Marcus

RUMAH TERBUKA KRISMAS KEUSKUPAN KENINGAU DISAMBUT MERIAH

Artikel oleh :Juanis bin Marcus

Gambar 1: Fr.Ferdinandus dari Keuskupan Sintang, Indonesia turut memeriahkan Rumah Terbuka Krismas ini.
Gambar 2: Uskup Cornelius Piong mengambil kesempatan bergambar dengan para belia yang membuat persembahan

Nulu Sosopon, Keningau – Meskipun disambut dengan cara sederhana, namun Perayaan Rumah Terbuka Krismas Keuskupan Keningau pada tahun 2023 tetap tidak kurang meriahnya. Ini jelas melalui kehadiran umat yang ramai memenuhi ruangan Dewan Terbuka Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon. Umat yang datang terdiri dari pelbagai lapisan, iaitu  dari dalam dan luar Keuskupan Keningau, dan dari pelbagai bangsa dan agama.

Kelihatan, Bapa Uskup Cornelius Piong berada dalam perayaan itu sebelum jam 10.00pagi lagi bagi menyambut mereka yang hadir. Antara mereka yang hadir pada perayaan yang diadakan pada 28 Disember 2023 ini adalah para paderi yang melayani di Keuskupan Keningau, iaitu Msgr.Gilbert Lasius,  Fr.David Gasikol, Fr.Appolonius Yakis, Fr.Joseph Gapitang dan  Fr.Wilfred James. Fr.Ferdinandus dari Keuskupan Sintang, Indonesia yang sedang bercuti di Keuskupan Keningau, turut tidak mahu ketinggalan untuk beramah mesra dengan umat yang hadir. Turut hadir para religious dan sister, Dikon Nakudah, para seminarian dan aspirant dari Keuskupan Keningau. 

Beralih semula mengapa Krismas Terbuka ini disambut dengan sederhana, kerana mereka yang mengambil makanan dan minuman haruslah memastikan ia dihabiskan terlebih dahulu sebelum mengambilnya semula, bagi mengelakkan pembaziran.

Perayaan ini turut diserikan lagi dengan persembahan-persembahan dari para belia dari pusat dan zon, Katedral St.Francis Xavier, Keningau. Uskup Cornelius Piong kelihatan tidak senang duduk, ke sana kesini kerana mengambil peluang untuk beramah mesra dengan mereka yang hadir pada masa yang sama, turut mengambil peluang untuk bergambar bersama mereka.

“Terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Jangan kamu malu-malu untuk bergembira bersama hari ini. Semoga Rumah Terbuka ini memberi semangat untuk kita berjalan bersama dan bersatu dengan Yesus pada tahun 2024 nanti,” ucap Uskup Cornelius kepada semua yang hadir