TUHAN MENURUNKAN HUJAN KEPADA MEREKA YANG BAIK MAHUPUN JAHAT…

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Gambar 1 : Upacara menaikan bendera Malaysia dan Sabah

Keningau, KSFX-Msgr.Gilbert Lasius menyeru kepada umat agar menghormati kebebasan setiap individu tanpa perlu untuk menghakimi dan menghukum mereka. Seruan ini disampaikan melalui homili pada Misa Kudus Sempena Hari Malaysia pada 16 Sept 2023, di Katedral St.Francis Xavier, Keningau.

“Salah satu perkara dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan. Meskipun kita, rakyat Malaysia berbeza kepercayaan dan anutan agama, namun kepercayaan kepada Tuhan itu sentiasa mengarahkan kita untuk saling bertoleransi, bersatu dan mengutamakan kedamaian,” seru Msgr.Gilbert. Sambung klerus itu lagi, sebagai umat Katolik yang mempunyai prinsip saling mengasihi, mengutamakan kesatuan, toleransi dan keharmonian seharusnya tidaklah asing bagi kita.

Gambar 2: Msgr.Gilbert Lasius menyampaikan homili

“Namun kadangkala, gereja kita juga harus berpegang teguh untuk menentang ideologi-ideologi yang jelas bertentangan dengan prinsip gereja Katolik.Contohnya, isu LGBT, kita jelas menentang perkara ini, namun tidaklah sehingga kita harus menghakimi dan menghukum mereka. Ini kerana Tuhan juga menurunkan hujan mahupun cahaya Matahari samaada kepada mereka yang baik mahupun jahat, kita juga harus bersikap menghormati kebebasan mereka untuk memilih,” jelas klerus itu lagi.

“Oleh itu penting bagi kita, agar sentiasa memohon Roh Kebijaksanaan agar dapat menggunakan kebebasan untuk memilih dengan penuh tanggunjawab, terutama yang menghalakan kita kepada kebenaran,”tutup klerus itu. Sekitar 300 orang umat menghadiri Misa Kudus pada hari tersebut, dengan sebahagian mereka memakai pakaian tradisional. Selepas misa kudus, diadakan upacara menaikan bendera Malaysia dan Sabah sambil diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan dan juga negeri.

Sharing is caring!