Artikel oleh : Juanis bin Marcus
Keningau : Mungkin ayat dari Yesaya 6:8 “Ini aku utuslah aku sering kita dengar” saban tahun apatah menjelang ulang tahun keuskupan ataupun ulang tahun pentahbisan uskup di Keuskupan Keningau. Namun, istimewanya pada tahun ini, kita mendengarnya secara rasmi sekali lagi apabila, Sem.Nakudah Kilin juga mengambil tema yang sama untuk pentahbisannya menjadi dikon.
Upacara Misa Kudus Pentahbisan Sem.Nakudah menjadi Dikon telah berlangsung di Dataran Keuskupan Keningau, pada 26 November 2023 yang disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong. Lebih mengujakan Pentahbisan ini diadakan serentak pada Hari Raya Kristus Raja.
Misa bermula pada jam 4.00pm, juga turut dihadiri oleh para paderi Keuskupan Keningau, religious, keluarga Sem.Nakudah dan umat yang membanjiri Dataran Keuskupan Keningau. Upacara Pentahbisan yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Msgr.Gilbert Lasius berjalan dengan lancar. Sem.Nakudah rasmi menjadi dikon kira-kira jam 5.30pm apabila selesai mengenakan dalmatik dan menerima Kitab Suci dari Uskup Cornelius.
Bapa Uskup Cornelius Piong dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Dikon Nakudah, dan turut berterima kasih kepada keluarganya, terutama kedua-dua ibu-bapa yang merelakan dan menyokong Dikon.Nakudah untuk menyahut panggilan ini.
“Pesan kepada Dikon Nakudah, agar terus mengamalkan pelayanan seperti kawanan domba, yang sering berjalan bersama dan setia kepada sang gembala,” pesan prelatus itu menutup ucapannya.
Dikon Nakudah pula dalam ucapannya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Bapa Uskup Cornelius Piong, Fr. Charles Chiew, para paderi, religious dan Tim Pelaksana diatas bimbingan dan sokongan sehinggalah upacara pentahbisan ini berjalan dengan lancar. “Panggilan ini berasal dari Allah Tritunggal, namun berjayanya saya mengharungi panggilan ini adalah kerana sokongan dan doa anda semua,”tutup Dikon Nakudah.
Sedikit biodata mengenai Dikon.Nakudah adalah, beliau dilahirkan pada 11 Ogos 1981, dan berasal dari Kg. Kepayan Lama, Apin-Apin. Pernah menuntut di Sekolah Rendah Kepayan Baru, Sekolah Menengah Apin-Apin dan Akademi Mahir Sabah(Donggongon). Pengalaman bekerja pula seperti di Shangri-La Hotel , Tanjung Aru, Akademi Mahir Sabah & Pusat Bahasa Kota Kinabalu.
Dikon Nakudah memulakan pembentukannya di Catholic Diocesan Centre, KK pada tahun 2014, Tahun Inisiasi tahun berikutnya, kemudian pada tahun 2016-2018 di College General Major Seminary, Penang dan pada tahun 2019-2023, di St.Peter’s Major Seminary, Kuching, Sarawak. Dikon Nakudah melakukan pastoralnya di Katedral St.Francis Xavier, Keningau sebelum ditahbis menjadi Dikon. Kita ucapakan tahniah kepada Dikon Nakudah Kilin semoga terus setia dalam panggilannya bagi menuju pula ke Tahbisan Imamat.