MENYAHUT SUARA TUHAN

HARI MINGGU BIASA KE 4 (B)

Bc.1. Ulg 18:15-20                 Bc.2. 1Kor 7:32-35                 Bc.3. Mrk 1:21-28

Jika ada orang-orang tertentu bercakap, biasanya kita tidak serius
            mendengarkannya. Kenapa? Sebab mereka hanya sekadar bercakap. Tetapi jika
            Yesus yang bercakap, semua orang yang terbuka hatinya mendengar dengan serius,
            sebab kata-kata-Nya disertai dengan kuasa dan berisi kebenaran yang jitu. Apakah
            kita mahu mendengarkan Yesus Kristus, ataukah kita samakan Dia dengan orang lain?

MENYAHUT SUARA TUHAN

            Setiap manusia yang normal mempunyai dua cuping telinga, dua biji mata dan hanya satu mulut. Maksudnya, kita perlu banyak melihat, banyak mendengar dan hanya sedikit bercakap. Tetapi kita lebih suka banyak bercakap, sedikit melihat dan sedikit sekali mendengar sehingga kita tidak dapat menimba manfaat daripada anugerah pendengaran dan penglihatan kita.

            Yesus pernah berkata, “Siapa mempunyai telinga untuk mendengar, hendaklah ia mendengar” (Lk 8:8). Tetapi menurut pengalaman kita semasa di bangku sekolah, kita banyak diajar tentang seni bercakap yang efektif. Sebab menurut ukuran umum, berpendapat bahawa orang-orang yang pintar bercakap adalah orang-orang yang berjaya dalam kehidupannya, sementara yang hanya diam mendengar sahaja adalah orang-orang yang mundur, tidak maju dan orang-orang yang terpinggir. Maka di manapun kita berada dan apapun keadaan yang sedang kita hadapi, kita seakan-akan ‘dipaksa’ untuk terus bercakap.

            Tetapi kita perlu ingat Tuhan telah menganugerahkan kita masing-masing dua cuping telinga untuk lebih banyak mendengar secara aktif dan efektif. Terdapat tiga jenis orang-orang yang mengamalkan seni mendengar ini.

  1. Jenis AWAS (Inggeris= Action With A Strategy) Maksudnya, sesudah mendengarkan dan merenungkannya secara mendalam, lalu menyusun suatu pelan tindakan yang berlandaskan strategi jangka pendik dan jangka panjang, sesuai dengan keperlua yang didengarkan.
  1. Jenis NATO (Inggeris= No Action Talk Only), maksudnya, tekun mendengarkan tetapi tidak ada tindakan. Sesudah mendengarkan, lalu memberi banyak idea tetapi tidak
    melakukan sesuatu. Sekadar suka-suka berkata-kata, yang penting asalkan mulut
    berbunyi membuat respons apa yang telah di dengar. Orang-orang seperti ini suka memberi respons: “Ok, ok!” atau “Ya lah, ya lah!” tetapi hampir tidak pernah melakukan apa yang dia janji untuk melakukannya.
  1. Jenis OIC (Inggeris= Oh, I see), maksudnya, orang yang mendengarkan tetapi
    bersikap endah tak endah. Dia faham apa yang didengarkan tetapi diam seribu
                bahasa dan tanpa apa-apa tindakan.

            Jadi persoalannya sekarang, kita termasuk di dalam golongan orang yang mana? Syukur kalau kita berada di golongan orang yang pertama. Tetapi jika kita merasakan kita berada digolongan orang-orang yang nombor dua dan ketiga, maka kita perlu bantuan rahmat Tuhan untuk ‘disembuhkan,’ malah roh-roh jahat yang namanya ‘NATO’ dan ‘OIC’ itu perlu diusir dari kehidupan kita.

            Pesan Kitab Suci hari ini mengajarkan kita bahawa perkembangan iman kita bermula dari telinga, iaitu mendengar. Mendengar harus disusuli dengan amalan AWAS (= Action With A Strategy) yang dilengkapi dengan sikap yang aktif, proaktif dan kritis. Sebab tidak semua orang yang nampaknya bercakap atas nama Tuhan itu, perlu didengarkan dan dituruti cakapnya.

                        Dengan mengamalkan AWAS ini, maka kita jangan lupa melaksanakan sistem SMART (= Simple, Manageble, Achievable, Reliable, Time-limit). Segala sesuatu yang kita mahu lakukan sesudah mendengar hendaknya Simple. Maksudnya  dipermudah, bukan yang terlalu sukar. Perlu Manageble, maksudnya yang boleh dilaksanakan sesuai kemampuan diri. Achievable, maksudnya mudah dicapai dan tidak terlalu sukar. Reliable, maksudnya apa yang mahu kita lakukan itu boleh dipercayai, boleh dipakai dan berguna bagi diri sendiri. Dan segala sesuatu yang mahu dilaksanakan itu perlu ada Time-limit, maksudnya ada had masa tertentu bila perkara tersebut harus dicapai. Dengan kata lain, kita bersikap segera dan jangan menangguh-nangguh apa yang perlu dilaksanakan.

            Injil hari ini memperlihatkan kita perbezaan antara guru-guru yang palsu dengan nabi-nabi yang datang atas nama Allah. Orang-orang pada waktu itu sudah mengenal Yesus sebagai seorang yang diutus oleh Allah, dengan “Suatu ajaran baru. Ia berkata-kata dengan kuasa. Roh-roh jahat pun diperintah-Nya dan mereka taat kepada-Nya” (ay 27).

            Maka sangat penting bagi kita masing-masing, terutama di zaman yang serba palsu ini, untuk senentiasa mendengar pesan Tuhan dan secara teliti memperhatikan tindakan-tindakan mereka yang dikatakan ‘utusan Allah.’ Yesus telah memberikan kita petunjuk bagaimana menilai orang-orang tersebut dengan melihat ‘buahnya’ sebab, “Tidak ada pohon yang baik yang menghasilkan buah yang tidak baik,” kata-Nya, “dan juga tidak ada pohon yang tidak baik yang menghasilkan buah yang baik” (Lk 6:43).

            Mendengar dengan sesungguhnya memerlukan pintu hati kita sentiasa terbuka untuk Tuhan tetapi berhati-hati agar tidak dimasuki oleh roh-roh jahat pula. Kita sentiasa siap mendengar, menghayati dan menghidupi Sabda Allah dalam hidup seharian kita. Namun seringkali kita seperti Marta (Lih Luk 10:38-42), sibuk dengan pelbagai hal sehingga kita gagal mendengar suara Tuhan.

            Dalam hal ini, roh-roh jahat yang  namanya syaitan iblis itu, nampaknya sentiasa berusaha untuk memasuki dunia dan merasuki kita dengan pelbagai cara. Mereka sudah memasuki rumah kita dengan mudah melalui alat-alat media massa yang canggih, sehingga telinga kita ditulikan dengan pelbagai iklan dan hiburan yang menarik hati yang sungguh mengasyikkan. Jika kita tidak berhati-hati, lambat laun telinga dan seluruh kebebasan kita akan ‘dirasuki’ oleh kuasa-kuasa roh jahat.

            Konon ketika Nabi Nuh menanam pokok anggur, syaitan yang sentiasa ingin tahu bertanya kepada Nabi Nuh, kenapa dia menanam pokok anggur tersebut? Nabi Nuh menjawab: “Buah anggur itu sedap rasanya, orang boleh mendapatkan minuman keras daripadanya, yang membuat orang merasa gembira dan melupakan segala tekanan hidupnya.” Lalu syaitan menawarkan diri untuk menolong menyuburkan pokok anggur tersebut dengan menyiram pokok-pokok anggur tersebut dengan darah domba, monyet dan babi.

            Apabila seseorang minum anggur sedikir, kelakuannya akan baik dan menyenangkan untuk berborak-borak atau mengeluarkan idea yang bagus seperti domba. Tetapi jika seseorang itu minum agak banyak, maka kelakuannya mula menjadi seperti monyet. Kalau ia minum sehingga lupa dirinya, maka ia akan menjadi seperti babi, sukar dikawal dan tidak mahu mendengar lagi nasihat orang.

            Hanya ada satu cara untuk mengusir roh-roh yang jahat ini, iaitu menerima Kristus dan Sabda-Nya tentang Kerajaan Allah di dalam diri dan dunia persekitaran kita. Maka, “Hari ini, jika kamu mendengar suara Tuhan, janganlah berkeras hati” (Mz 95:7-8) (JL)


Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD:

  1. Mengapakah kita perlu amalkan budaya banyak mendengar dan kurangkan
    bercakap?
  2. Bagaimanakah anda dapat membezakan antara pemimpin-pemimpin yang betul-
    betul “Utusan Allah” dengan pemimpin yang palsu?

Cadangan aktiviti minggu ini:

            Amalkan sikap berdiam diri dan dengan tenang mendengar serta merenungkan
            segala keluhan, omelan, kemarahan, kritikan daripada sesama terhadap diri anda,
            terutama daripada pasangan, anak-anak, ibubapa dan saudara mara anda. Kemudian
            buatlah tindakan bagaimana anda memperbaiki diri anda.


Ya Allah, Engkau telah menghidupkan kami dengan anugerah penebusan. Semoga
berkat bantuan keselamatan abadi ini, bertumbuhlah selalu iman kami yang sejati. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa.

TETAP SETIA KOMITED DAN EFEKTIF

HARI MINGGU BIASA KE 3(B)

Bc.1. Yun 3:1-5,10                  Bc.2. 1Kor 7:29-31                 Bc.3. Mrk 1: 14-20

Setiap hari kita mendengarkan berita-berita tentang perceraian, pergaduhan, pembunuhan
yang membuat kita tidak berdaya. Tetapi Yesus datang membawa khabar gembira tentang Allah Bapa yang mahu menerima kita dan mengampuni kita. Kesemua ini ditawarkan kepada kita secara percuma dan tanpa syarat atau jaminan dari mana-mana pihak. Marilah kita membuka pintu hati kita untuk membenarkan-Nya bertakhta di hati kita.

TETAP SETIA KOMITED DAN EFEKTIF

            Adalah konon seorang belia yang kebetulan pengerusi kerasulan belia di suatu paroki mengadu kepada ibunya, “Saya tidak mahu pergi ke gereja lagi atas dua sebab – Saya tidak suka orang-orang yang ada di dalam gereja, dan orang-orang di gereja itu ramai yang tidak menyukai saya.” Ibunya memandangnya lalu menghiburnya dengan berkata, “Anakku, engkau harus kembali ke geraja atas dua sebab – engkau bukan kanak-kanak lagi dan engkau adalah pengerusi kerasulan belia.”

            Hubungan kita dengan Gereja bagaikan ikatan perkahwinan. Kekadang sesudah bulan madu, pasangan muda tersebut baru menyedari bahawa perkahwinan tersebut tidak selalu manis. Ianya perlu diusahakan oleh kedua suami isteri tersebut. Demikian juga kemajuan Gereja bergantung kepada kita. Persoalannya, apakah kita mengambil peranan dan apakah kita tahu apa peranan kita di dalam Gereja.

            Di dalam Injil hari ini kita mendengar empat orang dijemput oleh Yesus untuk mengikuti-Nya. Simon dan saudaranya Andreas adalah nelayan. Apabila Yesus memanggil mereka untuk menjadi penjala ikan, dengan segera mereka mengikuti-Nya. Demikian juga dengan Yakobus dan Yohanes, mereka segera mengikut Yesus dan meninggalkan ayah mereka Zebedeus.

            Keempat-empat orang ini selalu disebut-sebutkan di dalam Injil dan tiga daripada mereka, Simon, Yakobus dan Yohanes dikatakan sebagai orang-orang yang sangat dekat dengan Yesus. Mereka ini ada bersama Yesus ketika Yesus menyembuhkan orang malah menyaksikan Yesus membangkitkan orang yang mati. Mereka bersama-sama Yesus ketika Yesus dimuliakan dan pergi bersama Yesus ke kebun Getsemani. Pengalaman-pengalaman tersebut merupakan pengalaman Yesus yang sangat istemewa. Namun, mereka ini jugalah yang seakan-akan tidak mengerti pesan Yesus yang sebenarnya. Mereka seringkali bertengkar siapakah di antara mereka yang menjadi nombor satu. Mereka menolak Yesus dan meninggalkan-Nya ketika ia ditangkap. Namun Yesus tetap menerima mereka. Dia mengampuni mereka dan terus memperlakukan mereka sebagai rasul-rasul-Nya, malah melantik Simon sebagai ketua Gereja-Nya.

            Kita mengagumi sikap Yesus terhadap sikap dan komitmen-Nya terhadap rasul-rasul-Nya tersebut. Walaupun mereka meninggalkan-Nya, tetapi Dia tidak pernah meninggalkan mereka. Sikap Yesus tersebut sangat bertentangan dengan budaya kita di masa kini di mana orang dengan mudah memutuskan hubungan dan mencari orang lain hanya gara-gara perselisihan yang remeh temeh. Pasangan suami isteri dengan mudah melepaskan ikatan perkahwinan hanya melalui “SMS”. “Aku ceraikan engkau bermula hari ini …” Alasannya pun remeh temeh, “Kerana kita sudah terputus jodoh …”

            Demikian juga orang dengan mudah pindah kerja dari satu syarikat ke satu syarikat hanya kerana gaji lebih tinggi di syarikat yang lain. Apabila ditanya mengapa? Dengan bangga dia akan menjawab, “Saya naik pangkat.” Malah akhir-akhir ini senario politik kita pun banyak berubah. Sudah menjadi kebiasaan pula untuk melompat dari satu parti ke parti yang lain, hanya kerana parti yang lain itu menjanjikan jawatan yang lebih tinggi sehingga ada kesempatan untuk menambah kekayaan semasa memegang jawatan terhormat tersebut.

            Walaupun budaya tidak bertanggung jawab dan kurangnya kesetiaan terhadap satu sama lain, terhadap komuniti atau persatuan-persatuan tertentu, namun masih terdapat beberapa kekecualian di mana masih ada orang yang telah menemukan kegembiraan dan hidup yang berbudayakan kesetiaan, bertanggung jawab dan berkomitmen. Untuk itu tiga petua berikut ini sehubungan dengan perhubungan yang penuh komitmen dan kesetiaan ini boleh kita jadikan suatu pedoman:

  1. Bijaksanalah dalam komitmen anda. Ambillah masa untuk mengetahui apa dan untuk siapa kita setia dan komited. Pilihlah teman-teman atau pekerjaan bukan hanya berpandu dengan kepala anda tetapi perlu disertai dengan hati yang ikhlas. Sekali anda memutuskan pilihan tersebut, buatlah andaian bahawa anda pasti mengalami pelbagai masalah di masa-masa akan datang apabila kekuatan kesetiaan dan komitmen anda mengalami cubaan dan cabaran-cabaran terkini.
  1. Setialah pada apa yang sedang anda sedang lakukan. Balasan terhadap kesetiaan anda yang berkepanjangan itu pasti akan mengatasi segala kesulitan-kesulitan, kesusahan dan kesedihan-kesedihan yang sifatnya hanya sementara itu.
  1. Sentiasalah meminta kekuatan daripada Tuhan di dalam apa juga jenis komitmen anda. Sebab, ada masa-masa tertentu anda akan mengalami krisis kehidupan. Pada masa-masa sedemikian itulah seringkali kita semua menghadapi detik-detik di mana kita terdorong untuk melarikan daripada keadaan tersebut. Untuk itu, kita sentiasa memerlukan Tuhan untuk membakar semangat serta mengecas bateri kehidupan kita agar kita sentiasa bersemangat, bergembira dan ceria selalu.

            Yesus sentiasa tinggal berserta kita. Dialah menjadi tauladan kita untuk tetap setia pada Allah Bapa, para rasul-Nya dan terhadap misi-Nya untuk membangun kerajaan Allah di dunia ini. Kitapun pada hari ini dijemput untuk mencontohi-Nya. Memang kita tidak dapat menandingi Yesus, tetapi sama ada kita berhasil ataupun tidak namun kita tetap berusaha untuk setia terhadap apa pun yang kita lakukan. Ibu Theresa pernah berkata, “Bukan untuk berjaya tapi untuk tetap setia.” Sebab … “Orang yang bertahan sampai pada kesudahannya ia akan selamat (Mt 13:13). (JL)


Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD:

  1. Menurut pengalaman anda, apakah cabaran yang paling hebat yang anda alami
    dalam proses mengikuti Yesus?
  2. Dalam memilih murid-murid, Yesus tidak hanya melihat sifat-sifat mereka yang
    lahiriah tapi juga hal-hal yang terdapat jauh dilubuk hati mereka. Apakah hikmahnya
                sikap Yesus ini dalam hubungan kita dengan sesama?

Cadangan aktiviti minggu ini:

            Ingatlah orang yang paling anda tidak suka. Cuba anda ‘masukkan’ diri anda ke dalam
            orang tersebut dan carilah sekurang-kurangnya tiga sikap atau gaya hidup orang
            tersebut yang anda suka dan kagumi. Kemudian fikirkan hal-hal yang positif tentang
            orang tersebut.


Ya Allah, semoga Tubuh Putera-Mu yang telah kami sambut ini menguatkan kami
untuk mengalahkan kejahatan. Semoga kami dapat menjadi pengikut-pengikut-Mu yang setia sampai pada saatnya kami memasuki kehidupan abadi. Demi Kristus, Tuhan dan Pengantara kami.

MENDENGAR DAN MEYAHUT PANGGILAN TUHAN

HARI MINGGU BIASA KE 2 (B)

Bc.1. 1Sam 3:3-10,19             Bc.2. 1Kor 6:13-15,17-20       Bc.3. Yoh 1:35-42

“Bersabdalah, ya Tuhan, hamba-Mu mendengarkan,” kita akan mendengar kata-kata
tersebut dalam pembacaan pertama. Kata-kata tersebut menyedarkan kita bahawa kita berkumpul di sini adalah untuk mendengarkan Tuhan. Dalam Injil pula kita akan mendengar Yesus berkata, “Marilah dan kamu akan melihat.” Mereka menerima jemputan Yesus tersebut dan selepas itu hidup mereka berubah. Pada ketika ini, kita pun berhadapan dengan Kristus. Marilah kita bersama-sama merenungkannya.

MENDENGAR DAN MEYAHUT PANGGILAN TUHAN

            Suatu hari seorang pakar motivasi memberi ceramah kepada sekumpulan mahasiswa yang sebentar lagi akan menamatkan pengajian mereka di universiti. Dia melekatkan selambar kertas putih yang lebar di papan tulis lalu melukiskan bulatan kecil berwarna hitam dan bertanya kepada seorang mahasiswa yang duduk di barisan hadapan tentang apa yang dilihatnya pada kertas tersebut. “Bulatan hitam” jawabnya dengan penuh kepastian. Kemudian penceramah itu bertanya lagi kepada setiap orang mahasiswa yang lain dengan pertanyaan yang sama dan masing-masing mereka menjawab, “bulatan hitam”.

            Dengan tenang penceramah itu berkata, “Ya, memang ada bulatan hitam, tetapi tidak ada seorang pun menyebutkan selambar kertas putih yang lebar. Sebenarnya inilah tajuk ceramah yang ingin saya sampaikan kepada anda.”

            Tidak dapat dinafikan bahawa kita seringkali ‘ditipu’ oleh apa yang kita lihat sehingga apa yang sebenarnya yang kita cari dan mahu mendapatkannya, tidak kita temui. Walhal benda atau perkara tersebut ada di sekitar kita malah ada di depan mata kita. Mungkin inilah yang menyebabkan kita selalu bertanya; “Apa, siapa, kenapa, di mana dan bagaimana?”

            Di dalam Injil hari ini menceritakan kisah dua orang murid Yesus yang sedang mencari dan menemukan sesuatu yang sangat berharga. Mereka telah menemukan Yesus. Sama seperti teman-teman mereka yang lain, mereka pun sedang menunggu kedatangan Mesias. Apabila Yohanes Pembaptis menunjukkan mereka kepada Yesus, mereka dengan serta merta menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan orang yang mereka harap-harapkan itu.

            Apabila Yesus bertanya, “Apakah yang kamu cari?” mereka tidak menjawab “permata,” “emas” atau ‘harta karun”. Sebaliknya mereka menjawab bahawa mereka sedang mencari Dia. Jika benar-benar mahu mencari Yesus, maka terdapat banyak kesempatan untuk menemukan-Nya, sebab Dia selalu berada di dekat kita dan sentiasa berkata-kata pada kita. Tuhan sangat mengasihi kita dan apabila kita menemukan-Nya maka kita akan dipelawa-Nya untuk tinggal bersama dengan-Nya bukan hanya untuk sehari atau sepanjang hidup tetapi kekal abadi bersama dengan-Nya.

            Pengalaman kegembiraan menemui Yesus telah dialami dan dikongsikan oleh jutaan orang di dunia ini seperti yang pernah dialami oleh orang-orang di Betania, di zaman Yesus masih berada di dunia ini. Kita bertemu dengan-Nya dan bertanya di mana Dia tinggal. Dia akan menjawab, “Saya hidup dan tinggal di dalam dirimu, sesamamu dan di dalam alam yang telah Kuciptakan untuk kamu. Tubuh-Ku yang dimuliakan kamu temui melalui Ekaristi dan di dalam Sabda-Ku melalui Kitab Suci.”

            Persoalannya, apakah nilai-nilai kehidupan yang memenuhi masa dan perhatian kita? Yesus pernah berkata, “Di mana hartamu berada, di situ juga hatimu berada” (Lk 12:34).

            Pelawaan Yesus kepada dua orang murid tadi dan juga kita ketika ini, “Marilah dan kamu akan melihat-Nya,” merupakan satu seruan untuk mengikuti-Nya sama seperti yang dialami oleh Samuel dalam pembacaan pertama tadi. Apabila Tuhan memanggil Samuel, ia menjawab, “Bersabdalah, ya Tuhan, hambamu mendengarkan.” Tetapi seandainya Tuhan bercakap kepada manusia di zaman ini, besar kemungkinan memberi jawaban seperti ini, “Bersabdalah Tuhan, nanti saya fikir-fikirkan dan mempertimbangkannya,” sambil menyempurnakannya dengan kata-kata basi, “Tengoklah nanti kalau sesuai dengan keadaan.”

            Memang sikap kebanyakan orang masa kini suka “tunggu dan lihat” dan tidak mahu terikat pada sesuatu secara segera. Selalu terbuka pada pilihan-pilihan yang terbaik untuk diri sendiri agar tidak terikat atau bergantung pada orang lain. Memang kita tidak mahu mengatakan bahawa kita tertutup terhadap panggilan Tuhan, tetapi kita hanya mahu tahu apa yang perlu kita lakukan dan apakah syarat-syarat yang harus kita penuhi. Lonjakan iman yang radikal bagi Abraham, Samuel dan raja Daud dianggap baik untuk mereka tetapi bukan untuk kita di zaman yang serba moden ini.

            Sifat panggilan Tuhan kelihatan tidak terancang. Tuhan tidak memberi batas terhadap kasih-Nya atau panggilan-Nya untuk melayani. Pada dasarnya, apabila kita menjawab panggilan Tuhan, kita sebenarnya menyetujui suatu hubungan perjanjian. Kita tidak terikat pada konrak dengan Tuhan. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Perhubungan kita dengan-Nya berasaskan kemurahan hati, kesetiaan, ketaatan dan semangat yang mahu melakukan sesuatu yang lebih yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apa lagi ditulis di atas kertas. Tidak ada masa-masa atau sesuatu perkara yang tertutup hanya untuk diri kita. Semuanya telus dan terbuka. Apa yang kita miliki semuanya dari Tuhan, dan ianya perlu digunakan untuk memuliakan kemuliaan-Nya dan demi pelayanan terhadap sesama yang memerlukan.

            Persoalannya, apakah yang kita cari di dalam hidup ini? Memang kita semua mahu mencari kebahagiaan tetapi semuanya itu bersifat sementara belaka. Hanya Yesus adalah jalan untuk menuju ke kebahagiaan yang sejati. Kita dipanggil untuk hidup sedemikian rupa sehingga orang lain tertarik untuk datang dan melihat di mana Yesus tinggal. Dengan demikian terdapat martabat yang luar biasa di dalam panggilan kristian kita. Sebab kita adalah milik Kristus, kita adalah warga Allah melalui kematian dan kebangkitan Kristus.

            Panggilan untuk mengikuti-Nya sudah disampaikan kepada kita masing-masing. Semoga kita bersiap sedia mendengarkannya dan melihat di mana Dia berada sebab, “Kamu bukan milik kamu sendiri, … kamu telah dibeli dan harganya telah lunas dibayar: kerana itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu!” (1Kor 6:20). (JL)


Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD

  1. Tuhan ada di mana-mana tetapi kita lebih suka pergi ke tempat-tempat yang jauh berziarah hanya untuk ‘melihat’ Tuhan. Mengapakah Tuhan itu sukar disedari kehadiran-Nya dalam hidup seharian kita?
  1. Suara Tuhan ada di antara suara-suara yang kita dengar setiap masa. Apakah yang perlu kita lakukan agar suara Tuhan itu boleh kita dengar dan menanggapinya?

Cadangan aktiviti minggu ini:

            Belajarlah seni menenangkan fikiran di tengah-tengah kebisingan suasana kehidupan anda agar dapat mendengar suara Tuhan. Misalnya mengambil masa untuk bersendirian dengan Tuhan. Ambil masa untuk bersama dengan Tuhan di depan Sakramen Mahakudus.


 

Ya Allah, curahkanlah Roh cinta kasih-Mu kepada kami. Semoga kami yang telah
Engkau kenyangkan dengan satu roti kehidupan, Engkau jadikan sehati di dalam satu cinta Ilahi. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa.

 

DILEMA EGO DAN KEBIJAKSANAAN

HARI RAYA PENAMPAKAN TUHAN (B)

Bc.1. Yes 60:1-6                  Bc.2.   Ef 3:2-3,5-6                 Bc.3. Mat 2:1-12

Hari ini kita mendengar orang-orang bijaksana yang meninggalkan kampung halaman
mereka untuk mencari Yesus yang baru dilahirkan. Mereka bijaksana kerana dapat mengenali kanak-kanak Yesus itu sebenarnya adalah Sang Juruselamat dunia. Sebenarnya, apa tujuan kita datang ke sini? Apa erti Kristus bagi diri kita masing-masing? Pada kesempatan ini marilah kita memohon ampun daripada-Nya atas segala kelemahan kita kerana kurang menggunakan kebijaksanaan kita untuk mengenali-Nya.

DILEMA EGO DAN KEBIJAKSANAAN

             Mungkin sejak tahun lalu hingga di minggu pertama tahun ini, kita selalu resah kerana dikejar-kejar oleh seekor ‘anjing’ yang bernama ‘Ego’. Siapakah anjing yang bernama ‘Ego’ itu? Ya, tidak lain adalah sikap ‘keakuan’ kita sendiri. Kenapa saya sebut dia ‘anjing’? Sebab ianya selalu ‘menyalak’ agar kita menuruti ‘Ego’ kita yang keluar dari dalam diri kita sendiri.

            Ego merupakan suatu halangan yang besar terhadap perkembangan kerohanian kita. Bolehlah dikatakan bahawa sikap ego itu merupaka sikap mementingkan diri sendiri. Namun jauh di dalam diri kita masing-masing terdapat suatu sifat diri yang sebenarnya, yang dapat merubah sikap keegoan kita kepada sikap yang lebih prihatin pada sesama. Biasanya sifat yang baik ini diketepikan kerana dipengaruhi oleh suasana yang tidak aman di dalam kehidupan seharian. Ego merupakan bahagian dalam diri kita yang selalu menguasai, mahu diperhatikan, mahu didengarkan, mahu dihargai dan dipuji. Ianya selalu mencari keuntungan untuk diri sendiri dan melihat orang lain sebagai orang-orang yang berpotensi menjadi pesaing atau mengancam kedudukan dan segala cita-citanya.

            Ego sebenarnya merupakan suatu sumber kuasa yang positif jika ianya dikendalikan dengan betul. Sebab, apabila ego terlalu menguasi diri seseorang, maka Tuhan dan nilai-nilai Injil semakin dilupakan. Hanya dengan cara mendisiplinkan ego kita ke tahap yang positif, sehingga kita yang menguasainya dan bukan ego yang menguasai kita, maka kita dapat mesra dengan Tuhan serta menimba nilai-nilai Injil sebagai pedoman kehidupan kita seharian.

            Pesta hari Minggu Penampakan Tuhan atau Epifani yang kita rayakan minggu pertama tahun ini, memberikan kita suatu gambaran yang menarik tentang seseorang yang sangat ‘egoistik’, seorang yang zalim, mempunyai ego yang menzalimi dirinya sendiri bernama Raja Herodes. Pada masa yang sama kita diberi gambaran tentang orang-orang yang telah membebaskan diri mereka daripada dizalimi oleh ego mereka, iaitu kisah orang-orang Majusi dari Timur.

            Raja Herodes sangat berkuasa pada waktu itu sehingga dia sanggup menyuruh para prajuritnya untuk membunuh semua bayi lelaki dan dituruti oleh mereka. Memang Raja Herodes mempunyai ego yang luara biasa diluar dirinya, namun jauh di dalam dirinya, dia sebenarnya sebagai seorang pengecut bagaikan seorang anak kecil. Sebab, apabila dia mendengar bayi Yesus itu sudah dilahirkan di dunia ini, dia dan seluruh Kota Yerusalem terkejut yang amat sangat.

            Sebaliknya orang-orang Majusi yang bijaksana itu sanggup mencari kebenaran. Apabila mereka menemukannya dengan cara semulajadi, mereka dengan rela meninggalkan segala milik mereka lalu mengikuti tanda di mana Sang Mesias itu dilahirkan. Mereka sanggup meninggalkan kampung halaman dan keluarga lalu mengikuti bintang tersebut. Memang Kitab Suci mahu menyatakan bahawa Kristus itu untuk semua manusia di bumi ini. Tetapi nampaknya bagi kita di sini pada ketika ini, orang-orang Majusi itu menampakkan kita sebgai orang-orang yang boleh melepaskan keenakan, keseronokan hidup. Mereka adalah orang-orang yang bebas. Mereka boleh mencari dan meminta Tuhan menentukan jalan hidup mereka. Mereka bersifat fleksibel dan dapat menyesuaikan diri mereka dengan suasana kehidupan mereka. Betapa jauh bezanya sikap Herodes dengan orang-orang bijaksana tersebut, Herodes sanggup membohong dan membunuh bayi apabila kehendak dan hidupnya tergugat. Dengan kata lain, Herodes telah dikuasai oleh egonya sementara orang-orang Majusi itu bebas daripada ego mereka untuk mencari identiti hidup mereka yang sebenarnya.

            Orang-orang Majusi tersebut sanggup mengikuti bintang, yang adalah merupakan suatu misi yang mustahil. Sebab bintang ibarat suatu impian. Ianya memberikan kita suatu petunjuk walaupuan sebenarnya kita tidak akan pernah mencapainya dengan sepenuhnya. Maka pencarian kita terhadap kebenaran sebenarnya membebaskan kita daripada ikatan ego walaupun kita sebenarnya tidak dapat mencapainya dengan sepenuhnya. Inilah sebabnya kita mencari Tuhan secara berterusan. Berdoa pun harus berterusan, bukan sekali sekala sahaja. Bagaikan orang-orang Majusi yang terus berjalan mencari bayi Yesus berpandukan bintang Kejora, sehinggalah mereka menemukan-Nya terbaring di palungan yang sangat sederhana. Mereka mempunyai mata iman yang dapat mengenali-Nya sebagai kristus, Sang Mesias yang dijanjikan itu.

            Budaya menyembah Tuhan yang kita amalkan sekarang ini bagaikan aksi para Majusi yang mengikuti bintang tersebut. Kedengarannya mudah dilakukan tetapi jika kita tidak mengamalkannya berterusan, kita akan mudah lupa dan kembali hidup yang lama – lupa pada Tuhan hanya kerana perkara-perkara kecil yang memesongkan fikiran kita daripada Tuhan.

            St. Augustine pernah berkata bahawa jika kita mahu kembali kepada Allah, maka kita pertama-tama perlu kembali/berdamai dengan diri kita sendiri. Tetapi berdasarkan pengalaman kita masing-masing, cara yang sangat baik untuk mendisiplinkan ego kita adalah berdoa secara berterusan di damping membentuk iman kita dengan mengikuti segala kegiatan komuniti dan Gereja setempat serta melaksanakan tanggung jawab sosial di dalam mahupun di luar konteks Gereja. Sebab “Jika iman itu tidak disertai dengan perbuatan, maka iman itu pada hakekatnya adalah mati” (Yoh 2:17).

            Dengan melakukan semua gaya hidup yang dapat mendisiplinkan ego kita ini, maka akhirnya kita berani berkata, seperti Petrus: “Aku hidup, tetapi bukan lagi aku sendiri yang hidup melainkan Kristus yang hidup di dalam aku” (Gal 2:20). (JL)

Allah Bapa kami, Engkau telah menerangi kami dengan cahaya-Mu. Semoga Engkau
berkenan untuk tetap memimpin kami agar setelah dikuatkan dengan rezeki syurgawi ini, kami dapat melanjutkan perjalanan kami menuju tanah air syurgawi dengan aman sentosa. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami.

BERSUKACITALAH SEBAB TUHAN SUDAH DEKAT

 HARI MINGGU ADVEN KE 3

Bc.1. Yes. 61:1-2a.10-11        Bc.2. 1Tes.5:16-24        Bc.3. Yoh.1:6-8.19-28

“Bersukacitalah senantiasa. Tetaplah berdoa. Mengucap syukurlah dalam segala hal, sebab itulah yang dikehendaki Allah di dalam Kristus Yesus bagi kamu” (1 Tes 5:16-18). Bersukacitalah. Inilah semangat perayaan kita pada minggu ini iaitu bersukacita. Kita perlu bersukacita kerana janji Tuhan tentang Keselamatan sebentar lagi akan datang. Kita bersukacita kerana Sang Terang yang sesungguhnya sedang datang ke dunia. Kita bersukacita kerana sebentar lagi Natal akan tiba. Marilah kita persiapkan diri sambil memuji-muji dan bersukacita kepada Tuhan.

Bersukacitalah Sebab Tuhan Sudah Dekat

Semua orang pasti pernah merasakan situasi penantian. Contohnya, menunggu bas di bus stop, menunggu kawan datang, menunggu keputusan peperiksaan keluar, menunggu tarikh terima gaji dan banyak lagi. Apa yang dirasakan selama masa menunggu? Mungkin ada yang tidak sabar tiba saatnya, ada yang ceria penuh kegembiraan. Jika yang dinantikan adalah sesuatu yang baik atau akan memberikan sesuatu yang kita inginkan pasti perasaannya adalah gembira dan tidak sabar. Demikian juga seharusnya perasaan kita pada hari minggu ini. Perayaan akan kedatangan Yesus ke dunia (inkranasi) sudah dekat, dan ini sudah pasti. Penantian kita tidak sia-sia lagi kerana sebentar lagi akan merayakan Hari Natal. Hari sukacita bagi dunia. Maka Geraja megajak kita untuk bersukacita pada minggu ini.

Hari Minggu Adven III disebut sebagai Minggu Gaudate ertinya Minggu Sukacita. Sukacita kerana “Terang yang sesungguhnya, yang menerangi setiap orang, sedang datang ke dalam dunia” (Yoh 1:9). Warna liturgi pada hari minggu ini adalah merah muda atau pink yang menjadi simbol dan tanda bersukacita. Minggu ini kita diingatkan bahawa kita telah pun berada di pertengahan masa Adven, masa penantian akan perayaan Kelahiran Kristus semakin dekat. Kedatangan Kristus sudah semakin dekat, sebab inilah kita merasa bersukacita kerana kedatangan Kristus semakin dekat. “Bersukacitalah selalu dalam Tuhan. Sekali lagi ku katakan bersukacitalah” (Fil 4:4).

Mengapa harus bersukacita? Apakah kerana hari Natal sudah dekat? Kerana hari Natal semua umat dapat berkumpul dan bergembira bersama dengan pelbagai aktiviti, bermacam-macam makanan dan minuman? Tidak!. Kita bersukacita bukan kerana itu, tetapi bersukacita kerana Tuhan telah datang dalam hidup kita. Kedatangan-Nya memperbaharui hidup kita, menjadikan hidup kita lebih bermakna dan lebih terjamin. Pada hari Natal, sekali lagi Tuhan mahu datang dan memperbaharui hidup kita. Inilah yang sehausnya menjadi sukacita pada hari Natal bahawa Tuhan datang dan hadir dalam hidup kita. Oleh sebab itu, Hari Natal bukan saja kita rayakan sebagai perayaan kenangan dan kesyukuran atas kelahiran Yesus ke dunia tetapi Natal seharusnya menjadi hari pembaharuan diri dan hidup, sebagaimana kehadiran Yesus ke dunia membawa pembaharuan hidup manusia. Inilah yang kita siapkan selama masa Adven, iaitu supaya hidup kita menjadi lebih baik (mengalami pembaharuan), iman kita akan Yesus Kristus menjadi lebih teguh kerana Hari Natal.

Apakah kita bersukacita karena Tuhan sudah dekat? Atau mungkin, pertanyaannya ialah, apakah kita merindukan sukacita karena Tuhan akan datang? Kabar gembiranya adalah, Tuhan Yesus memang datang ke dunia, untuk memberikan sukacita kepada kita.

Paus Fransiskus melalui  Evangelii Gaudium, mengatakan, “Sukacita Injil memenuhi jiwa-jiwa dan hidup semua orang yang berjumpa dengan Yesus. Mereka yang menerima tawaran keselamatan-Nya, dibebaskan dari dosa, dukacita, kekosongan hati dan kesendirian. Dengan Kristus, sukacita terus menerus lahir secara baru… Saya mengundang semua umat Kristen, di manapun, pada saat ini, untuk memperbaharui perjumpaan pribadinya dengan Yesus Kristus, atau setidak-tidaknya keterbukaan untuk membiarkan Dia menjumpai mereka. Saya meminta agar semua dari kalian melakukan ini setiap hari tanpa henti. Tak seorang pun boleh berfikir bahawa undangan ini tidak ditujukan kepadanya, sebab ‘tak seorang pun yang dikecualikan dari sukacita yang dibawa oleh Tuhan’.” (EG, 1,3).

Mengapa perjumpaan dengan Yesus membawa sukacita? Sebab kedatangan-Nya selalu membawa pemulihan dan kebaikan yang kita rindukan. Nabi Yesaya mengatakan, “mata orang-orang buta akan dicelikkan, telinga orang-orang tuli akan dibuka; orang lumpuh akan melompat seperti rusa dan mulut orang bisu akan bersorak sorai” (Yes 35:5). Kabar selamat ini dinubuatkan oleh Nabi Yesaya bahawa seorang akan diutus untuk menyampaikan kabar baik (bdk. Yes 61:1-2). Yohanes Pembaptis adalah utusan Allah untuk menyampaikan berita baik bahawa Terang yang sesungguhnya sudah datang (bdk. Yoh 1:6-9). “Akulah suara orang yang berseru-seru di padang Gurun: Luruskanlah jalan Tuhan! Seperti yang telah dikatakan Nabi Yesaya” (Yoh 1:23).

Kita sendiri telah banyak mendengar kesaksian tentang mukjizat Tuhan Yesus, atau bahkan telah mengalaminya sendiri. Namun sejauh mana kita sudah bersukacita dan bersyukur kepada-Nya? Sebab kesaksian tentang perbuatan Yesus yang ajaib dan pertolongan-Nya masih terus terjadi sampai saat ini. Hal ini semestinya membangkitkan di dalam diri kita sukacita dan kerinduan untuk semakin  mengenal dan mengasihi Dia, menyambut-Nya sebagai Tuhan dan Raja dalam kehidupan kita. Tuhan begitu mengasihi kita, sampai Ia mahu mengambil rupa manusia untuk menjumpai kita. Bukankah ini sungguh adalah Kabar Sukacita?

Maka apa yang Paus Fransiskus katakana perlu kita perhatikan, “Pesan Kristiani disebut ‘Injil” iaitu Kabar Gembira, sebuah berita sukacita bagi semua orang. Gereja bukanlah sebuah tempat naungan orang-orang murung/sedih, tetapi Gereja adalah rumah sukacita! Sukacita Kristiani, seperti halnya pengharapan, memiliki fondasi pada kesetiaan Allah, dalam kepastian bahawa Ia selalu menepati janji-janji-Nya…Dalam liturgi, undangan untuk bersukacita, untuk bangun, bergema berkali-kali, sebab Tuhan itu dekat, hari Natal pun dekat. Seperti seorang ibu, Gereja mendorong kita untuk mengikuti dengan setia, jalan rohani agar kita merayakan Natal dengan luapan kegembiraan yang selalu baru….” (Paus Fransiskus, Minggu  Adven ketiga, 2013). Mari dengan sukacita yang baru kita menyambut Natal yang sudah di ambang pintu. Tuhan Yesus yang 2000 tahun lalu telah datang dan membawa banyak pemulihan dan pembaharuan, juga datang dan akan datang membawa pemulihan serta pembaharuan yang sama di masa kini, demi keselamatan kita. Dengan demikian betapa sungguh layak kita bersyukur dan bersukacita.

Hari Natal sudah dekat, maka marilah kita bersungguh-sungguh mempersiapkan diri kita. “Bersukacitalah senantiasa. Tetaplah berdoa. Mengucap syukurlah dalam segala hal, sebab itulah yang dikehendaki Allah di dalam Kristus Yesus bagi kamu” (1 Tes 5:16-18), dan “jauhkanlah dirimu dari segala jenis kejahatan” (1 Tes 5:22).

Tuhan Yesus, Engkaulah sukacita kami. Kasih setia-Mu sungguh tak ada habisnya. Di Minggu Sukacita ini, nyalakanlah di hati kami, kerinduan akan Engkau, yang sebentar lagi kami sambut secara baru dalam perayaan Natal. Biarlah Bunda-Mu dan Bunda kami, Perawan Maria, membantu kami untuk bergegas mempersiapkan diri, untuk menjumpai Engkau yang lahir bagi kami, demi keselamatan dan sukacita bagi semua umat manusia. Amin.”


Cadangan Soalan untuk Refleksi peribadi dan perkongsian Komuniti Kristian Dasar (KKD)

“Akulah suara orang yang berseru-seru di padang Gurun: Luruskanlah jalan Tuhan! Seperti yang telah dikatakan Nabi Yesaya” (Yoh 1:23). Mungkin saat ini anda masih ada masalah dengan orang lain, mungkin itu kawan anda atau keluarga anda sendiri. Mungkin anda membencinya, dendam, atau iri hati, cemburu, atau yang lain-lain. Jika masih ada bererti hubungan anda dengan dia belum lurus, begitu juga jalan hidupmu menuju Tuhan masih banyak halangan. Rendahkanlah diri anda selama minggu ini, datangi orang yang bersangkutan, maafkanlah dan berdamailah dengannya maka dengan itu anda sudah meluruskan jalan Tuhan dalam dirimu.


Ya Allah, semoga rezeki syurgawi yang telah kami terima menguduskan kami sepenuhnya. Tunjukkanlah kepada kami jalan yang benar, iaitu jalan hidup Kristus, Putera-Mu, yang akan membawa kami sampai kepada kehidupan kekal. Sebab, Dialah Tuhan dan Pengantara kami.