MENYAHUT SUARA TUHAN

HARI MINGGU BIASA KE 4 (B)

Bc.1. Ulg 18:15-20                 Bc.2. 1Kor 7:32-35                 Bc.3. Mrk 1:21-28

Jika ada orang-orang tertentu bercakap, biasanya kita tidak serius
            mendengarkannya. Kenapa? Sebab mereka hanya sekadar bercakap. Tetapi jika
            Yesus yang bercakap, semua orang yang terbuka hatinya mendengar dengan serius,
            sebab kata-kata-Nya disertai dengan kuasa dan berisi kebenaran yang jitu. Apakah
            kita mahu mendengarkan Yesus Kristus, ataukah kita samakan Dia dengan orang lain?

MENYAHUT SUARA TUHAN

            Setiap manusia yang normal mempunyai dua cuping telinga, dua biji mata dan hanya satu mulut. Maksudnya, kita perlu banyak melihat, banyak mendengar dan hanya sedikit bercakap. Tetapi kita lebih suka banyak bercakap, sedikit melihat dan sedikit sekali mendengar sehingga kita tidak dapat menimba manfaat daripada anugerah pendengaran dan penglihatan kita.

            Yesus pernah berkata, “Siapa mempunyai telinga untuk mendengar, hendaklah ia mendengar” (Lk 8:8). Tetapi menurut pengalaman kita semasa di bangku sekolah, kita banyak diajar tentang seni bercakap yang efektif. Sebab menurut ukuran umum, berpendapat bahawa orang-orang yang pintar bercakap adalah orang-orang yang berjaya dalam kehidupannya, sementara yang hanya diam mendengar sahaja adalah orang-orang yang mundur, tidak maju dan orang-orang yang terpinggir. Maka di manapun kita berada dan apapun keadaan yang sedang kita hadapi, kita seakan-akan ‘dipaksa’ untuk terus bercakap.

            Tetapi kita perlu ingat Tuhan telah menganugerahkan kita masing-masing dua cuping telinga untuk lebih banyak mendengar secara aktif dan efektif. Terdapat tiga jenis orang-orang yang mengamalkan seni mendengar ini.

  1. Jenis AWAS (Inggeris= Action With A Strategy) Maksudnya, sesudah mendengarkan dan merenungkannya secara mendalam, lalu menyusun suatu pelan tindakan yang berlandaskan strategi jangka pendik dan jangka panjang, sesuai dengan keperlua yang didengarkan.
  1. Jenis NATO (Inggeris= No Action Talk Only), maksudnya, tekun mendengarkan tetapi tidak ada tindakan. Sesudah mendengarkan, lalu memberi banyak idea tetapi tidak
    melakukan sesuatu. Sekadar suka-suka berkata-kata, yang penting asalkan mulut
    berbunyi membuat respons apa yang telah di dengar. Orang-orang seperti ini suka memberi respons: “Ok, ok!” atau “Ya lah, ya lah!” tetapi hampir tidak pernah melakukan apa yang dia janji untuk melakukannya.
  1. Jenis OIC (Inggeris= Oh, I see), maksudnya, orang yang mendengarkan tetapi
    bersikap endah tak endah. Dia faham apa yang didengarkan tetapi diam seribu
                bahasa dan tanpa apa-apa tindakan.

            Jadi persoalannya sekarang, kita termasuk di dalam golongan orang yang mana? Syukur kalau kita berada di golongan orang yang pertama. Tetapi jika kita merasakan kita berada digolongan orang-orang yang nombor dua dan ketiga, maka kita perlu bantuan rahmat Tuhan untuk ‘disembuhkan,’ malah roh-roh jahat yang namanya ‘NATO’ dan ‘OIC’ itu perlu diusir dari kehidupan kita.

            Pesan Kitab Suci hari ini mengajarkan kita bahawa perkembangan iman kita bermula dari telinga, iaitu mendengar. Mendengar harus disusuli dengan amalan AWAS (= Action With A Strategy) yang dilengkapi dengan sikap yang aktif, proaktif dan kritis. Sebab tidak semua orang yang nampaknya bercakap atas nama Tuhan itu, perlu didengarkan dan dituruti cakapnya.

                        Dengan mengamalkan AWAS ini, maka kita jangan lupa melaksanakan sistem SMART (= Simple, Manageble, Achievable, Reliable, Time-limit). Segala sesuatu yang kita mahu lakukan sesudah mendengar hendaknya Simple. Maksudnya  dipermudah, bukan yang terlalu sukar. Perlu Manageble, maksudnya yang boleh dilaksanakan sesuai kemampuan diri. Achievable, maksudnya mudah dicapai dan tidak terlalu sukar. Reliable, maksudnya apa yang mahu kita lakukan itu boleh dipercayai, boleh dipakai dan berguna bagi diri sendiri. Dan segala sesuatu yang mahu dilaksanakan itu perlu ada Time-limit, maksudnya ada had masa tertentu bila perkara tersebut harus dicapai. Dengan kata lain, kita bersikap segera dan jangan menangguh-nangguh apa yang perlu dilaksanakan.

            Injil hari ini memperlihatkan kita perbezaan antara guru-guru yang palsu dengan nabi-nabi yang datang atas nama Allah. Orang-orang pada waktu itu sudah mengenal Yesus sebagai seorang yang diutus oleh Allah, dengan “Suatu ajaran baru. Ia berkata-kata dengan kuasa. Roh-roh jahat pun diperintah-Nya dan mereka taat kepada-Nya” (ay 27).

            Maka sangat penting bagi kita masing-masing, terutama di zaman yang serba palsu ini, untuk senentiasa mendengar pesan Tuhan dan secara teliti memperhatikan tindakan-tindakan mereka yang dikatakan ‘utusan Allah.’ Yesus telah memberikan kita petunjuk bagaimana menilai orang-orang tersebut dengan melihat ‘buahnya’ sebab, “Tidak ada pohon yang baik yang menghasilkan buah yang tidak baik,” kata-Nya, “dan juga tidak ada pohon yang tidak baik yang menghasilkan buah yang baik” (Lk 6:43).

            Mendengar dengan sesungguhnya memerlukan pintu hati kita sentiasa terbuka untuk Tuhan tetapi berhati-hati agar tidak dimasuki oleh roh-roh jahat pula. Kita sentiasa siap mendengar, menghayati dan menghidupi Sabda Allah dalam hidup seharian kita. Namun seringkali kita seperti Marta (Lih Luk 10:38-42), sibuk dengan pelbagai hal sehingga kita gagal mendengar suara Tuhan.

            Dalam hal ini, roh-roh jahat yang  namanya syaitan iblis itu, nampaknya sentiasa berusaha untuk memasuki dunia dan merasuki kita dengan pelbagai cara. Mereka sudah memasuki rumah kita dengan mudah melalui alat-alat media massa yang canggih, sehingga telinga kita ditulikan dengan pelbagai iklan dan hiburan yang menarik hati yang sungguh mengasyikkan. Jika kita tidak berhati-hati, lambat laun telinga dan seluruh kebebasan kita akan ‘dirasuki’ oleh kuasa-kuasa roh jahat.

            Konon ketika Nabi Nuh menanam pokok anggur, syaitan yang sentiasa ingin tahu bertanya kepada Nabi Nuh, kenapa dia menanam pokok anggur tersebut? Nabi Nuh menjawab: “Buah anggur itu sedap rasanya, orang boleh mendapatkan minuman keras daripadanya, yang membuat orang merasa gembira dan melupakan segala tekanan hidupnya.” Lalu syaitan menawarkan diri untuk menolong menyuburkan pokok anggur tersebut dengan menyiram pokok-pokok anggur tersebut dengan darah domba, monyet dan babi.

            Apabila seseorang minum anggur sedikir, kelakuannya akan baik dan menyenangkan untuk berborak-borak atau mengeluarkan idea yang bagus seperti domba. Tetapi jika seseorang itu minum agak banyak, maka kelakuannya mula menjadi seperti monyet. Kalau ia minum sehingga lupa dirinya, maka ia akan menjadi seperti babi, sukar dikawal dan tidak mahu mendengar lagi nasihat orang.

            Hanya ada satu cara untuk mengusir roh-roh yang jahat ini, iaitu menerima Kristus dan Sabda-Nya tentang Kerajaan Allah di dalam diri dan dunia persekitaran kita. Maka, “Hari ini, jika kamu mendengar suara Tuhan, janganlah berkeras hati” (Mz 95:7-8) (JL)


Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD:

  1. Mengapakah kita perlu amalkan budaya banyak mendengar dan kurangkan
    bercakap?
  2. Bagaimanakah anda dapat membezakan antara pemimpin-pemimpin yang betul-
    betul “Utusan Allah” dengan pemimpin yang palsu?

Cadangan aktiviti minggu ini:

            Amalkan sikap berdiam diri dan dengan tenang mendengar serta merenungkan
            segala keluhan, omelan, kemarahan, kritikan daripada sesama terhadap diri anda,
            terutama daripada pasangan, anak-anak, ibubapa dan saudara mara anda. Kemudian
            buatlah tindakan bagaimana anda memperbaiki diri anda.


Ya Allah, Engkau telah menghidupkan kami dengan anugerah penebusan. Semoga
berkat bantuan keselamatan abadi ini, bertumbuhlah selalu iman kami yang sejati. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa.

Sharing is caring!