MENDENGAR DAN MEYAHUT PANGGILAN TUHAN

HARI MINGGU BIASA KE 2 (B)

Bc.1. 1Sam 3:3-10,19             Bc.2. 1Kor 6:13-15,17-20       Bc.3. Yoh 1:35-42

“Bersabdalah, ya Tuhan, hamba-Mu mendengarkan,” kita akan mendengar kata-kata
tersebut dalam pembacaan pertama. Kata-kata tersebut menyedarkan kita bahawa kita berkumpul di sini adalah untuk mendengarkan Tuhan. Dalam Injil pula kita akan mendengar Yesus berkata, “Marilah dan kamu akan melihat.” Mereka menerima jemputan Yesus tersebut dan selepas itu hidup mereka berubah. Pada ketika ini, kita pun berhadapan dengan Kristus. Marilah kita bersama-sama merenungkannya.

MENDENGAR DAN MEYAHUT PANGGILAN TUHAN

            Suatu hari seorang pakar motivasi memberi ceramah kepada sekumpulan mahasiswa yang sebentar lagi akan menamatkan pengajian mereka di universiti. Dia melekatkan selambar kertas putih yang lebar di papan tulis lalu melukiskan bulatan kecil berwarna hitam dan bertanya kepada seorang mahasiswa yang duduk di barisan hadapan tentang apa yang dilihatnya pada kertas tersebut. “Bulatan hitam” jawabnya dengan penuh kepastian. Kemudian penceramah itu bertanya lagi kepada setiap orang mahasiswa yang lain dengan pertanyaan yang sama dan masing-masing mereka menjawab, “bulatan hitam”.

            Dengan tenang penceramah itu berkata, “Ya, memang ada bulatan hitam, tetapi tidak ada seorang pun menyebutkan selambar kertas putih yang lebar. Sebenarnya inilah tajuk ceramah yang ingin saya sampaikan kepada anda.”

            Tidak dapat dinafikan bahawa kita seringkali ‘ditipu’ oleh apa yang kita lihat sehingga apa yang sebenarnya yang kita cari dan mahu mendapatkannya, tidak kita temui. Walhal benda atau perkara tersebut ada di sekitar kita malah ada di depan mata kita. Mungkin inilah yang menyebabkan kita selalu bertanya; “Apa, siapa, kenapa, di mana dan bagaimana?”

            Di dalam Injil hari ini menceritakan kisah dua orang murid Yesus yang sedang mencari dan menemukan sesuatu yang sangat berharga. Mereka telah menemukan Yesus. Sama seperti teman-teman mereka yang lain, mereka pun sedang menunggu kedatangan Mesias. Apabila Yohanes Pembaptis menunjukkan mereka kepada Yesus, mereka dengan serta merta menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan orang yang mereka harap-harapkan itu.

            Apabila Yesus bertanya, “Apakah yang kamu cari?” mereka tidak menjawab “permata,” “emas” atau ‘harta karun”. Sebaliknya mereka menjawab bahawa mereka sedang mencari Dia. Jika benar-benar mahu mencari Yesus, maka terdapat banyak kesempatan untuk menemukan-Nya, sebab Dia selalu berada di dekat kita dan sentiasa berkata-kata pada kita. Tuhan sangat mengasihi kita dan apabila kita menemukan-Nya maka kita akan dipelawa-Nya untuk tinggal bersama dengan-Nya bukan hanya untuk sehari atau sepanjang hidup tetapi kekal abadi bersama dengan-Nya.

            Pengalaman kegembiraan menemui Yesus telah dialami dan dikongsikan oleh jutaan orang di dunia ini seperti yang pernah dialami oleh orang-orang di Betania, di zaman Yesus masih berada di dunia ini. Kita bertemu dengan-Nya dan bertanya di mana Dia tinggal. Dia akan menjawab, “Saya hidup dan tinggal di dalam dirimu, sesamamu dan di dalam alam yang telah Kuciptakan untuk kamu. Tubuh-Ku yang dimuliakan kamu temui melalui Ekaristi dan di dalam Sabda-Ku melalui Kitab Suci.”

            Persoalannya, apakah nilai-nilai kehidupan yang memenuhi masa dan perhatian kita? Yesus pernah berkata, “Di mana hartamu berada, di situ juga hatimu berada” (Lk 12:34).

            Pelawaan Yesus kepada dua orang murid tadi dan juga kita ketika ini, “Marilah dan kamu akan melihat-Nya,” merupakan satu seruan untuk mengikuti-Nya sama seperti yang dialami oleh Samuel dalam pembacaan pertama tadi. Apabila Tuhan memanggil Samuel, ia menjawab, “Bersabdalah, ya Tuhan, hambamu mendengarkan.” Tetapi seandainya Tuhan bercakap kepada manusia di zaman ini, besar kemungkinan memberi jawaban seperti ini, “Bersabdalah Tuhan, nanti saya fikir-fikirkan dan mempertimbangkannya,” sambil menyempurnakannya dengan kata-kata basi, “Tengoklah nanti kalau sesuai dengan keadaan.”

            Memang sikap kebanyakan orang masa kini suka “tunggu dan lihat” dan tidak mahu terikat pada sesuatu secara segera. Selalu terbuka pada pilihan-pilihan yang terbaik untuk diri sendiri agar tidak terikat atau bergantung pada orang lain. Memang kita tidak mahu mengatakan bahawa kita tertutup terhadap panggilan Tuhan, tetapi kita hanya mahu tahu apa yang perlu kita lakukan dan apakah syarat-syarat yang harus kita penuhi. Lonjakan iman yang radikal bagi Abraham, Samuel dan raja Daud dianggap baik untuk mereka tetapi bukan untuk kita di zaman yang serba moden ini.

            Sifat panggilan Tuhan kelihatan tidak terancang. Tuhan tidak memberi batas terhadap kasih-Nya atau panggilan-Nya untuk melayani. Pada dasarnya, apabila kita menjawab panggilan Tuhan, kita sebenarnya menyetujui suatu hubungan perjanjian. Kita tidak terikat pada konrak dengan Tuhan. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Perhubungan kita dengan-Nya berasaskan kemurahan hati, kesetiaan, ketaatan dan semangat yang mahu melakukan sesuatu yang lebih yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apa lagi ditulis di atas kertas. Tidak ada masa-masa atau sesuatu perkara yang tertutup hanya untuk diri kita. Semuanya telus dan terbuka. Apa yang kita miliki semuanya dari Tuhan, dan ianya perlu digunakan untuk memuliakan kemuliaan-Nya dan demi pelayanan terhadap sesama yang memerlukan.

            Persoalannya, apakah yang kita cari di dalam hidup ini? Memang kita semua mahu mencari kebahagiaan tetapi semuanya itu bersifat sementara belaka. Hanya Yesus adalah jalan untuk menuju ke kebahagiaan yang sejati. Kita dipanggil untuk hidup sedemikian rupa sehingga orang lain tertarik untuk datang dan melihat di mana Yesus tinggal. Dengan demikian terdapat martabat yang luar biasa di dalam panggilan kristian kita. Sebab kita adalah milik Kristus, kita adalah warga Allah melalui kematian dan kebangkitan Kristus.

            Panggilan untuk mengikuti-Nya sudah disampaikan kepada kita masing-masing. Semoga kita bersiap sedia mendengarkannya dan melihat di mana Dia berada sebab, “Kamu bukan milik kamu sendiri, … kamu telah dibeli dan harganya telah lunas dibayar: kerana itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu!” (1Kor 6:20). (JL)


Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD

  1. Tuhan ada di mana-mana tetapi kita lebih suka pergi ke tempat-tempat yang jauh berziarah hanya untuk ‘melihat’ Tuhan. Mengapakah Tuhan itu sukar disedari kehadiran-Nya dalam hidup seharian kita?
  1. Suara Tuhan ada di antara suara-suara yang kita dengar setiap masa. Apakah yang perlu kita lakukan agar suara Tuhan itu boleh kita dengar dan menanggapinya?

Cadangan aktiviti minggu ini:

            Belajarlah seni menenangkan fikiran di tengah-tengah kebisingan suasana kehidupan anda agar dapat mendengar suara Tuhan. Misalnya mengambil masa untuk bersendirian dengan Tuhan. Ambil masa untuk bersama dengan Tuhan di depan Sakramen Mahakudus.


 

Ya Allah, curahkanlah Roh cinta kasih-Mu kepada kami. Semoga kami yang telah
Engkau kenyangkan dengan satu roti kehidupan, Engkau jadikan sehati di dalam satu cinta Ilahi. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa.

 

Sharing is caring!