HARI MINGGU BIASA KE 3(B)
Bc.1. Yun 3:1-5,10 Bc.2. 1Kor 7:29-31 Bc.3. Mrk 1: 14-20
Setiap hari kita mendengarkan berita-berita tentang perceraian, pergaduhan, pembunuhan
yang membuat kita tidak berdaya. Tetapi Yesus datang membawa khabar gembira tentang Allah Bapa yang mahu menerima kita dan mengampuni kita. Kesemua ini ditawarkan kepada kita secara percuma dan tanpa syarat atau jaminan dari mana-mana pihak. Marilah kita membuka pintu hati kita untuk membenarkan-Nya bertakhta di hati kita.
TETAP SETIA KOMITED DAN EFEKTIF
Adalah konon seorang belia yang kebetulan pengerusi kerasulan belia di suatu paroki mengadu kepada ibunya, “Saya tidak mahu pergi ke gereja lagi atas dua sebab – Saya tidak suka orang-orang yang ada di dalam gereja, dan orang-orang di gereja itu ramai yang tidak menyukai saya.” Ibunya memandangnya lalu menghiburnya dengan berkata, “Anakku, engkau harus kembali ke geraja atas dua sebab – engkau bukan kanak-kanak lagi dan engkau adalah pengerusi kerasulan belia.”
Hubungan kita dengan Gereja bagaikan ikatan perkahwinan. Kekadang sesudah bulan madu, pasangan muda tersebut baru menyedari bahawa perkahwinan tersebut tidak selalu manis. Ianya perlu diusahakan oleh kedua suami isteri tersebut. Demikian juga kemajuan Gereja bergantung kepada kita. Persoalannya, apakah kita mengambil peranan dan apakah kita tahu apa peranan kita di dalam Gereja.
Di dalam Injil hari ini kita mendengar empat orang dijemput oleh Yesus untuk mengikuti-Nya. Simon dan saudaranya Andreas adalah nelayan. Apabila Yesus memanggil mereka untuk menjadi penjala ikan, dengan segera mereka mengikuti-Nya. Demikian juga dengan Yakobus dan Yohanes, mereka segera mengikut Yesus dan meninggalkan ayah mereka Zebedeus.
Keempat-empat orang ini selalu disebut-sebutkan di dalam Injil dan tiga daripada mereka, Simon, Yakobus dan Yohanes dikatakan sebagai orang-orang yang sangat dekat dengan Yesus. Mereka ini ada bersama Yesus ketika Yesus menyembuhkan orang malah menyaksikan Yesus membangkitkan orang yang mati. Mereka bersama-sama Yesus ketika Yesus dimuliakan dan pergi bersama Yesus ke kebun Getsemani. Pengalaman-pengalaman tersebut merupakan pengalaman Yesus yang sangat istemewa. Namun, mereka ini jugalah yang seakan-akan tidak mengerti pesan Yesus yang sebenarnya. Mereka seringkali bertengkar siapakah di antara mereka yang menjadi nombor satu. Mereka menolak Yesus dan meninggalkan-Nya ketika ia ditangkap. Namun Yesus tetap menerima mereka. Dia mengampuni mereka dan terus memperlakukan mereka sebagai rasul-rasul-Nya, malah melantik Simon sebagai ketua Gereja-Nya.
Kita mengagumi sikap Yesus terhadap sikap dan komitmen-Nya terhadap rasul-rasul-Nya tersebut. Walaupun mereka meninggalkan-Nya, tetapi Dia tidak pernah meninggalkan mereka. Sikap Yesus tersebut sangat bertentangan dengan budaya kita di masa kini di mana orang dengan mudah memutuskan hubungan dan mencari orang lain hanya gara-gara perselisihan yang remeh temeh. Pasangan suami isteri dengan mudah melepaskan ikatan perkahwinan hanya melalui “SMS”. “Aku ceraikan engkau bermula hari ini …” Alasannya pun remeh temeh, “Kerana kita sudah terputus jodoh …”
Demikian juga orang dengan mudah pindah kerja dari satu syarikat ke satu syarikat hanya kerana gaji lebih tinggi di syarikat yang lain. Apabila ditanya mengapa? Dengan bangga dia akan menjawab, “Saya naik pangkat.” Malah akhir-akhir ini senario politik kita pun banyak berubah. Sudah menjadi kebiasaan pula untuk melompat dari satu parti ke parti yang lain, hanya kerana parti yang lain itu menjanjikan jawatan yang lebih tinggi sehingga ada kesempatan untuk menambah kekayaan semasa memegang jawatan terhormat tersebut.
Walaupun budaya tidak bertanggung jawab dan kurangnya kesetiaan terhadap satu sama lain, terhadap komuniti atau persatuan-persatuan tertentu, namun masih terdapat beberapa kekecualian di mana masih ada orang yang telah menemukan kegembiraan dan hidup yang berbudayakan kesetiaan, bertanggung jawab dan berkomitmen. Untuk itu tiga petua berikut ini sehubungan dengan perhubungan yang penuh komitmen dan kesetiaan ini boleh kita jadikan suatu pedoman:
- Bijaksanalah dalam komitmen anda. Ambillah masa untuk mengetahui apa dan untuk siapa kita setia dan komited. Pilihlah teman-teman atau pekerjaan bukan hanya berpandu dengan kepala anda tetapi perlu disertai dengan hati yang ikhlas. Sekali anda memutuskan pilihan tersebut, buatlah andaian bahawa anda pasti mengalami pelbagai masalah di masa-masa akan datang apabila kekuatan kesetiaan dan komitmen anda mengalami cubaan dan cabaran-cabaran terkini.
- Setialah pada apa yang sedang anda sedang lakukan. Balasan terhadap kesetiaan anda yang berkepanjangan itu pasti akan mengatasi segala kesulitan-kesulitan, kesusahan dan kesedihan-kesedihan yang sifatnya hanya sementara itu.
- Sentiasalah meminta kekuatan daripada Tuhan di dalam apa juga jenis komitmen anda. Sebab, ada masa-masa tertentu anda akan mengalami krisis kehidupan. Pada masa-masa sedemikian itulah seringkali kita semua menghadapi detik-detik di mana kita terdorong untuk melarikan daripada keadaan tersebut. Untuk itu, kita sentiasa memerlukan Tuhan untuk membakar semangat serta mengecas bateri kehidupan kita agar kita sentiasa bersemangat, bergembira dan ceria selalu.
Yesus sentiasa tinggal berserta kita. Dialah menjadi tauladan kita untuk tetap setia pada Allah Bapa, para rasul-Nya dan terhadap misi-Nya untuk membangun kerajaan Allah di dunia ini. Kitapun pada hari ini dijemput untuk mencontohi-Nya. Memang kita tidak dapat menandingi Yesus, tetapi sama ada kita berhasil ataupun tidak namun kita tetap berusaha untuk setia terhadap apa pun yang kita lakukan. Ibu Theresa pernah berkata, “Bukan untuk berjaya tapi untuk tetap setia.” Sebab … “Orang yang bertahan sampai pada kesudahannya ia akan selamat (Mt 13:13). (JL)
Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD:
- Menurut pengalaman anda, apakah cabaran yang paling hebat yang anda alami
dalam proses mengikuti Yesus? - Dalam memilih murid-murid, Yesus tidak hanya melihat sifat-sifat mereka yang
lahiriah tapi juga hal-hal yang terdapat jauh dilubuk hati mereka. Apakah hikmahnya
sikap Yesus ini dalam hubungan kita dengan sesama?
Cadangan aktiviti minggu ini:
Ingatlah orang yang paling anda tidak suka. Cuba anda ‘masukkan’ diri anda ke dalam
orang tersebut dan carilah sekurang-kurangnya tiga sikap atau gaya hidup orang
tersebut yang anda suka dan kagumi. Kemudian fikirkan hal-hal yang positif tentang
orang tersebut.
Ya Allah, semoga Tubuh Putera-Mu yang telah kami sambut ini menguatkan kami
untuk mengalahkan kejahatan. Semoga kami dapat menjadi pengikut-pengikut-Mu yang setia sampai pada saatnya kami memasuki kehidupan abadi. Demi Kristus, Tuhan dan Pengantara kami.