DILEMA EGO DAN KEBIJAKSANAAN

HARI RAYA PENAMPAKAN TUHAN (B)

Bc.1. Yes 60:1-6                  Bc.2.   Ef 3:2-3,5-6                 Bc.3. Mat 2:1-12

Hari ini kita mendengar orang-orang bijaksana yang meninggalkan kampung halaman
mereka untuk mencari Yesus yang baru dilahirkan. Mereka bijaksana kerana dapat mengenali kanak-kanak Yesus itu sebenarnya adalah Sang Juruselamat dunia. Sebenarnya, apa tujuan kita datang ke sini? Apa erti Kristus bagi diri kita masing-masing? Pada kesempatan ini marilah kita memohon ampun daripada-Nya atas segala kelemahan kita kerana kurang menggunakan kebijaksanaan kita untuk mengenali-Nya.

DILEMA EGO DAN KEBIJAKSANAAN

             Mungkin sejak tahun lalu hingga di minggu pertama tahun ini, kita selalu resah kerana dikejar-kejar oleh seekor ‘anjing’ yang bernama ‘Ego’. Siapakah anjing yang bernama ‘Ego’ itu? Ya, tidak lain adalah sikap ‘keakuan’ kita sendiri. Kenapa saya sebut dia ‘anjing’? Sebab ianya selalu ‘menyalak’ agar kita menuruti ‘Ego’ kita yang keluar dari dalam diri kita sendiri.

            Ego merupakan suatu halangan yang besar terhadap perkembangan kerohanian kita. Bolehlah dikatakan bahawa sikap ego itu merupaka sikap mementingkan diri sendiri. Namun jauh di dalam diri kita masing-masing terdapat suatu sifat diri yang sebenarnya, yang dapat merubah sikap keegoan kita kepada sikap yang lebih prihatin pada sesama. Biasanya sifat yang baik ini diketepikan kerana dipengaruhi oleh suasana yang tidak aman di dalam kehidupan seharian. Ego merupakan bahagian dalam diri kita yang selalu menguasai, mahu diperhatikan, mahu didengarkan, mahu dihargai dan dipuji. Ianya selalu mencari keuntungan untuk diri sendiri dan melihat orang lain sebagai orang-orang yang berpotensi menjadi pesaing atau mengancam kedudukan dan segala cita-citanya.

            Ego sebenarnya merupakan suatu sumber kuasa yang positif jika ianya dikendalikan dengan betul. Sebab, apabila ego terlalu menguasi diri seseorang, maka Tuhan dan nilai-nilai Injil semakin dilupakan. Hanya dengan cara mendisiplinkan ego kita ke tahap yang positif, sehingga kita yang menguasainya dan bukan ego yang menguasai kita, maka kita dapat mesra dengan Tuhan serta menimba nilai-nilai Injil sebagai pedoman kehidupan kita seharian.

            Pesta hari Minggu Penampakan Tuhan atau Epifani yang kita rayakan minggu pertama tahun ini, memberikan kita suatu gambaran yang menarik tentang seseorang yang sangat ‘egoistik’, seorang yang zalim, mempunyai ego yang menzalimi dirinya sendiri bernama Raja Herodes. Pada masa yang sama kita diberi gambaran tentang orang-orang yang telah membebaskan diri mereka daripada dizalimi oleh ego mereka, iaitu kisah orang-orang Majusi dari Timur.

            Raja Herodes sangat berkuasa pada waktu itu sehingga dia sanggup menyuruh para prajuritnya untuk membunuh semua bayi lelaki dan dituruti oleh mereka. Memang Raja Herodes mempunyai ego yang luara biasa diluar dirinya, namun jauh di dalam dirinya, dia sebenarnya sebagai seorang pengecut bagaikan seorang anak kecil. Sebab, apabila dia mendengar bayi Yesus itu sudah dilahirkan di dunia ini, dia dan seluruh Kota Yerusalem terkejut yang amat sangat.

            Sebaliknya orang-orang Majusi yang bijaksana itu sanggup mencari kebenaran. Apabila mereka menemukannya dengan cara semulajadi, mereka dengan rela meninggalkan segala milik mereka lalu mengikuti tanda di mana Sang Mesias itu dilahirkan. Mereka sanggup meninggalkan kampung halaman dan keluarga lalu mengikuti bintang tersebut. Memang Kitab Suci mahu menyatakan bahawa Kristus itu untuk semua manusia di bumi ini. Tetapi nampaknya bagi kita di sini pada ketika ini, orang-orang Majusi itu menampakkan kita sebgai orang-orang yang boleh melepaskan keenakan, keseronokan hidup. Mereka adalah orang-orang yang bebas. Mereka boleh mencari dan meminta Tuhan menentukan jalan hidup mereka. Mereka bersifat fleksibel dan dapat menyesuaikan diri mereka dengan suasana kehidupan mereka. Betapa jauh bezanya sikap Herodes dengan orang-orang bijaksana tersebut, Herodes sanggup membohong dan membunuh bayi apabila kehendak dan hidupnya tergugat. Dengan kata lain, Herodes telah dikuasai oleh egonya sementara orang-orang Majusi itu bebas daripada ego mereka untuk mencari identiti hidup mereka yang sebenarnya.

            Orang-orang Majusi tersebut sanggup mengikuti bintang, yang adalah merupakan suatu misi yang mustahil. Sebab bintang ibarat suatu impian. Ianya memberikan kita suatu petunjuk walaupuan sebenarnya kita tidak akan pernah mencapainya dengan sepenuhnya. Maka pencarian kita terhadap kebenaran sebenarnya membebaskan kita daripada ikatan ego walaupun kita sebenarnya tidak dapat mencapainya dengan sepenuhnya. Inilah sebabnya kita mencari Tuhan secara berterusan. Berdoa pun harus berterusan, bukan sekali sekala sahaja. Bagaikan orang-orang Majusi yang terus berjalan mencari bayi Yesus berpandukan bintang Kejora, sehinggalah mereka menemukan-Nya terbaring di palungan yang sangat sederhana. Mereka mempunyai mata iman yang dapat mengenali-Nya sebagai kristus, Sang Mesias yang dijanjikan itu.

            Budaya menyembah Tuhan yang kita amalkan sekarang ini bagaikan aksi para Majusi yang mengikuti bintang tersebut. Kedengarannya mudah dilakukan tetapi jika kita tidak mengamalkannya berterusan, kita akan mudah lupa dan kembali hidup yang lama – lupa pada Tuhan hanya kerana perkara-perkara kecil yang memesongkan fikiran kita daripada Tuhan.

            St. Augustine pernah berkata bahawa jika kita mahu kembali kepada Allah, maka kita pertama-tama perlu kembali/berdamai dengan diri kita sendiri. Tetapi berdasarkan pengalaman kita masing-masing, cara yang sangat baik untuk mendisiplinkan ego kita adalah berdoa secara berterusan di damping membentuk iman kita dengan mengikuti segala kegiatan komuniti dan Gereja setempat serta melaksanakan tanggung jawab sosial di dalam mahupun di luar konteks Gereja. Sebab “Jika iman itu tidak disertai dengan perbuatan, maka iman itu pada hakekatnya adalah mati” (Yoh 2:17).

            Dengan melakukan semua gaya hidup yang dapat mendisiplinkan ego kita ini, maka akhirnya kita berani berkata, seperti Petrus: “Aku hidup, tetapi bukan lagi aku sendiri yang hidup melainkan Kristus yang hidup di dalam aku” (Gal 2:20). (JL)

Allah Bapa kami, Engkau telah menerangi kami dengan cahaya-Mu. Semoga Engkau
berkenan untuk tetap memimpin kami agar setelah dikuatkan dengan rezeki syurgawi ini, kami dapat melanjutkan perjalanan kami menuju tanah air syurgawi dengan aman sentosa. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami.

Sharing is caring!