PERLANTIKAN DAN PEMBAHARUAN  KOMITMEN PAROKI PELAYAN SABDA KSFX

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Gambar 1: Upacara Pelantikan Pelayan Sabda yang baru dihadapan Bapa Uskup Cornelius Piong

Tatal, Keningau-Seramai 202 Pelayan Sabda dari sekitar Katedral St.Francis Xavier, Keningau dan Zon Senagang telah menyertai Rekoleksi Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen Pelayan Sabda peringkat KSFX yang diadakan pada 20 Januari 2024 dan bertempat di Pusat Retret Keuskupan Keningau, Tatal.

Rekoleksi itu bertujuan untuk mempersiapkan para Pelayan Sabda sebelum mereka dilantik atau memperbaharui komitmen mereka.

Rekoleksi itu bermula dengan Msgr.Gilbert Lasius memberikan Input Pertama yang bertajuk “Mesej Hari Minggu Sabda Allah”. Menurut klerus itu, Alkitab adalah Cintakasih Tuhan oleh itu seharusnya kita mewartakannya. Oleh yang demikian, para Pelayan Sabda mempunyai peranan yang sangat penting kerana mereka mewartakan Sabda Allah itu di puncak kehidupan kita sebagai Katolik, iaitu Perayaan Ekaristi.

“Pelayan Sabda harus menghayati dengan batin mereka Sabda Tuhan itu sebelum mewartakannya agar umat yang mendengarkannya dapat merasakan cintakasih Tuhan itu juga,” tutup Msgr.Gilbert.

Sesi kedua yang bertajuk , “Peranan dan Tanggungjawab Pelayan Sabda” pula disampaikan oleh Sr.Liza Jamat, FSIC. Menurut biarawati itu, pelayan sabda perlu menjadi Pewarta Injil yang hidup dengan mendalami, menghayati dan menerapkan nilai-nilai Injil dalam kehidupan mereka. “Menjadi pewarta Injil bukan hanya kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Kristian tetapi juga kita menerima bahawa Yesus adalah Tuhan, Yesus adalah Juruselamat dan pemimpin dalam kehidupan kita,”jelas Sr.Liza menutup sesinya.

Selepas itu, diadakan Upacara Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen para Pelayan Sabda melalui Misa Kudus yang disempurnakan oleh YM Bapa Uskup Cornelius Piong. Seramai 60 Pelayan Sabda menerima lantikan baru dan selebihnya memperbaharui komitmen mereka.

Uskup Cornelius dalam homilinya, mengatakan bahawa setiap pelayan sabda harus sedar bahawa kemampuan mereka mewartakan Sabda bukanlah  daripada kemampuan  manusiawi tetapi kerana ia datang dari Tuhan. “Anda semua bukan membaca Sabda Tuhan, tetapi mewartakannya atau dengan kata lain memproklamasikan Sabda itu,”jelas prelatus itu. Prelatus itu juga menasihatkan agar para pelayan sabda bersedia lebih awal dan berdoa kepada Roh Kudus agar mereka dapat mewartakan Sabda Allah itu dengan lebih efektif.

Selepas Misa Kudus, turut diadakan fellowship bersama para pelayan sabda dengan Uskup Cornelius Piong dan Msgr.Gilbert Lasius.

Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen bagi pelayan sabda ini akan diteruskan lagi bagi zon-zon lain dalam naungan paroki KSFX. – Juanis bin Marcus

RUMAH TERBUKA KRISMAS KEUSKUPAN KENINGAU DISAMBUT MERIAH

Artikel oleh :Juanis bin Marcus

Gambar 1: Fr.Ferdinandus dari Keuskupan Sintang, Indonesia turut memeriahkan Rumah Terbuka Krismas ini.
Gambar 2: Uskup Cornelius Piong mengambil kesempatan bergambar dengan para belia yang membuat persembahan

Nulu Sosopon, Keningau – Meskipun disambut dengan cara sederhana, namun Perayaan Rumah Terbuka Krismas Keuskupan Keningau pada tahun 2023 tetap tidak kurang meriahnya. Ini jelas melalui kehadiran umat yang ramai memenuhi ruangan Dewan Terbuka Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon. Umat yang datang terdiri dari pelbagai lapisan, iaitu  dari dalam dan luar Keuskupan Keningau, dan dari pelbagai bangsa dan agama.

Kelihatan, Bapa Uskup Cornelius Piong berada dalam perayaan itu sebelum jam 10.00pagi lagi bagi menyambut mereka yang hadir. Antara mereka yang hadir pada perayaan yang diadakan pada 28 Disember 2023 ini adalah para paderi yang melayani di Keuskupan Keningau, iaitu Msgr.Gilbert Lasius,  Fr.David Gasikol, Fr.Appolonius Yakis, Fr.Joseph Gapitang dan  Fr.Wilfred James. Fr.Ferdinandus dari Keuskupan Sintang, Indonesia yang sedang bercuti di Keuskupan Keningau, turut tidak mahu ketinggalan untuk beramah mesra dengan umat yang hadir. Turut hadir para religious dan sister, Dikon Nakudah, para seminarian dan aspirant dari Keuskupan Keningau. 

Beralih semula mengapa Krismas Terbuka ini disambut dengan sederhana, kerana mereka yang mengambil makanan dan minuman haruslah memastikan ia dihabiskan terlebih dahulu sebelum mengambilnya semula, bagi mengelakkan pembaziran.

Perayaan ini turut diserikan lagi dengan persembahan-persembahan dari para belia dari pusat dan zon, Katedral St.Francis Xavier, Keningau. Uskup Cornelius Piong kelihatan tidak senang duduk, ke sana kesini kerana mengambil peluang untuk beramah mesra dengan mereka yang hadir pada masa yang sama, turut mengambil peluang untuk bergambar bersama mereka.

“Terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Jangan kamu malu-malu untuk bergembira bersama hari ini. Semoga Rumah Terbuka ini memberi semangat untuk kita berjalan bersama dan bersatu dengan Yesus pada tahun 2024 nanti,” ucap Uskup Cornelius kepada semua yang hadir

KANAK-KANAK ADALAH MASA DEPAN KITA

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

KENINGAU,TATAL-Menurut data dalam website Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia (my.usembassy.gov), peratusan penduduk Malaysia yang menganuti Kristian hanyalah sekitar 9.2%. Berdasarkan anggaran ini, tentu peratusan  umat Katolik pula akan menjadi lebih rendah,maka kita perlu melakukan sesuatu untuk masa depan gereja. Namun persoalannya, bagaimana dan dengan siapakah kita harus letakkan tanggungjawab ini? Jawapannya adalah kanak-kanak.

Peringatan ini disampaikan oleh Uskup Cornelius Piong, semasa menyampaikan homili Misa Kudus Pembukaan Rekoleksi Tahunan Liturgi Sabda Kanak-Kanak(LSKK) yang diadakan pada 9 Disember 2023, dan bertempat di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal. Seramai 352 pembimbing menyertai kali ini.

“Kanak-kanak yang dibimbing lebih awal untuk mengenali siapa Allah itu, akan mempunyai kekuatan untuk lebih setia kepada gereja.Kanak-kanak itu akan menjadi masa depan gereja kita” tegas prelatus itu. “Oleh itu tugas anda sebagai pembimbing kepada kanak-kanak ini adalah sangat-sangat penting”,sambungnya lagi.Prelatus itu turut berpesan, sekiranya para pembimbing itu ingin teguh dalam pelayanan haruslah mengamalkan sikap berjalan bersama dan ambil peduli. “Melayani haruslah saling membantu bukannya sendiri-sendiri.Ingatlah  peribahasa jangan menjaga tepi kain orang bukanlah budaya kita,” jawab Uskup Cornelius lagi.Prelatus itu juga sempat merakamkan terima kasih kepada semua pembimbing kerana sudi mengatakan YA untuk terus melayani sebagai pembimbing.

Dalam rekoleksi tahunan itu juga antara sesi lain yang disampaikan adalah “Peranan & Tanggunjawab sebagai seorang pembimbing LSKK,” yang disampaikan oleh Sr.Liza Jamat, FSIC. Beliau menekankan bahawa, Firman yang disampaikan oleh para pembimbing kepada kanak-kanak itu bukanlah suatu konsep atau idea semata-mata tetapi pesan yang berasal dari Tuhan Yesus itu sendiri. “Maka agar kita dapat menyampaikan Firman itu dengan baik, kita perlu bersatu dengannya melalui renungan dan doa. Ini mampu membantu kita untuk mengatasi keterbatasan kita sebagai manusia sehingga kita dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab kita sebagai pembimbing LSKK,”jelas Sr.Liza yang juga merupakan pembimbing rohani bagi komisi itu.

Sebelah petang pula,diadakan demo oleh Tim LSKK yang diketuai oleh Sis. Jailin Barasik mengenai bagaimana penyampaian Injil kepada kanak-kanak. Sis.Jailin yang juga pengerusi LSKK menegaskan agar para pembimbing memilih kata-kata yang sesuai semasa menyampaikan Injil,contohnya menggunakan kata “kurang bijak” berbanding “bodoh” agar kanak-kanak itu tidak terbawa-bawa dalam pembualan seharian mereka nanti. Rekoleksi pada hari itu ditutup dengan sesi soal jawab dan Doa penutup oleh Sr.Liza, FSIC.

JANGAN TAKUT UNTUK MEMPERKEMBANGKAN TALENTA YANG DIBERIKAN OLEH TUHAN.

Artikel oleh : Stella Eming Dydimus

KUALA PENYU – Sebagai pembuka tirai bulan Adven pada 1hb Desember 2023,  Paroki Pendalaman Bawah Keuskupan Keningau  telah mengadakan Majlis Konvokesyen buat julung kalinya bagi meraikan seramai 94 graduan yang tamat Kursus Pensijilan Tahap 1 bagi sesi Jun – November 2023.  Paroki yang terlibat ialah Paroki St. Yohanes, Sipitang, Paroki St. Valentine, Beaufort, Paroki St. Patrick, Membakut dan Paroki St. Peter, Bundu, Kuala Penyu.

Acara yang bersejarah ini dimulakan dengan Misa Kudus di Gereja St. Peter Bundu, Kuala Penyu yang dipimpin oleh Rev Fr Rudolf  Joannes serta dibantu oleh Rev Fr Clement Abel, Rev Fr. David Mamat, Rev Fr Bede Antonius dan Rev Fr Benedict Runsab. Hadir Bersama dalam acara ini ialah Cikgu John Lainsin (Pengetua Kursus), Cikgu Fredolin Umis, Cikgu Patrick Marius dan Cikgu Robson Douglas. 

Berdasarkan renungan pembacaan hari itu,  Fr Rudolf mengucapkan syabas kepada semua graduasi kerana telah mencabar diri untuk keluar dari kepompong keselesaan mereka dengan mengambil masa unuk memperdalamkan dan memperkembangkan iman pengetahuan dengan datang dan mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Pastoral Keuskupan (PPK). Ini bermaksud para graduasi telah memperkembangkan talenta yang diberikan oleh Tuhan.

 “Bersukacitalah kerana apabila Tuhan datang mendapati kita tidak tidur tetapi masih terus bekerja, berusaha dan menjadi alat serta pancaderia Tuhan untuk mewartakan Khabar baiknya”. Rev Fr, Rudolf Joannes.

Selepas misa, para graduasi berarak masuk ke Dewan St Peter Bundu sambil diberi tepukan gemuruh oleh ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir sebagai tanda sokongan untuk majlis penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Rev. Fr Rudolf Joannes.

Penghulu peserta kursus, Sdra Paul Bigul dalam ucapannya menyatakan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada para paderi dan cikgu-cikgu  yang memberi semangat dan dorongan  selama 6 bulan dengan mengorbankan masa dan tenaga untuk memastikan kejayaan dalam pelajaran sehingga pada hari ini. Ucapan terima kasih juga pada Paroki St. Valentine Beaufort yang menjadi tempat berkursus selama itu,  Kepada para graduan yang walaupun berada dalam segala keadaan yang mencabar tetapi masih dan mampu bertahan sehingga dapat berkumpul bersama di dewan untuk menerima sijil sebagai tanda akhir pembelajaran.

Paderi Paroki St. Peter Bundu, Kuala Penyu, Rev Fr Clement Abel pula dalam ucap utamanya mengharapkan agar segala apa yang telah diterima oleh para graduan sepanjang kursus itu benar-benar dapat dihidupi terutama di dalam pelayanan.

Fr Clement juga memaklumkan bahawa untuk membuat pengutusan (khasnya di Paroki St Peter Bundu) agak lewat kerana sudah berada d hujung tahun, maka pengutusan akan dibuat di awal tahun. Walaubagaimanapun, diingatkan juga kepada semua graduan bahawa samada semua diutus menjadi pemimpin ibadat sabda atau tidak, itu terpulang kepada paderi paroki yang baru, KUK dan juga umat setempat

Pesanan paderi itu juga supaya jangan takut jika diutus.  Beliau yakin apa saja yang telah disampaikan kepada para graduan adalah mencukupi untuk mereka melayani tetapi terpulang kepada diri sendiri samaada  mampu melayani atau tidak. Semua  menjadi alat dan anggota tubuh Kristus. Oleh itu,  jangan takut dan  malu untuk bertanya kepada para paderi, kepada sesama terutama kepada yang senior,  jangan membuat keputusan sendiri dan sentiasa berhubung dengan paderi, sebagai pembimbing utama dalam paroki.

Di dalam pelayanan Tuhan, yang pasti dilayani adalah umat.  Oleh itu, jangan menyebabkan umat marah kepada gereja.  Dalam melayani haruslah melayani dengan sopan, menngunakan bahasa dan perilaku yang baik dan jangan marah. Ini kerana jika umat sudah rasa tidak senang dan selesa,   gereja akan kurang dapat kerjasama dan umat tidak lagi datang ke gereja.  Hiduplah sesuai dengan kehidupan sebagai pemimpin dalam gereja.  Hormatilah sesama.

Memulakan ucapan dengan menggunakan perumpamaan cerita kancil yang berjalan dihadapan harimau, Pengetua Kursus ini, Cikgu John Liansin mengingatkan supaya jangan takut untuk melayani  kerana adanya ‘harimau’  (Yesus) yang berada di belakang untuk menjaga kita.

“Jangan left group” penekanan permintaan Cikgu John Liansin kepada bakal-bakal pembimbing. Mengumpamakan kumpulan yang dibuat di dalam media massa sebagai talian hayat, beliau berpesan agar menggunakan media tersebut sebagai tempat membuat latihan, bertanya jika ada kemusykilan dan berkongsi tentang apa yang akan disampaikan kepada umat.  Ini kerana di dalam kumpulan tersebut, adanya paderi dan pembimbing yang boleh membantu.  Bekerja dalam kumpulan bukannya secara sendirian.

Peringatan juga kepada semua terutamanya yang memegang nama sebagai seorang pembimbing. supaya berhati-hati apabila berkongsi kandungan di media massa masing-masing.  Bimbang ianya bertentangan dengan ajaran gereja katolik.  Mintalah  pendapat daripada rakan sekumpulan samaada ianya sesuai atau tidak sebelum dikongsikan atau diviralkan. “Awasilah dirimu sendiri dan awasilah ajaranmu.  Bertekunlah dalam semuanya itu , karena dengan berbuat demikian engkau akan menyelamatkan dirimu dan semua orang yang mendengar engkau” 1 Timotius 4:16

Fr Rudolf  Joannes dalam ucapannya mengajak para garduan untuk mengungkapkan kesyukuran dan terima kasih terutamanya kepada Tuhan yang telah memilih, mencari dan memanggil sehingga dapat berada di dewan pada saat ini,  Seterusnya bersyukur dan berterima kasih kepada  diri mereka sendiri kerana berbekalkan semangat keterbukaan, sikap berkomuniti, ambil peduli dan kesetiaan, mereka dapat melengapkan kursus yang berlangsung selama 6 bulan walaupun menghadapi pelbagai cabaran. 

Tidak dilupakan juga kepada ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan sehingga para graduan dapat meneruskan dan menghabiskan pembelajaran mereka.

Berterima  kasih dan bersyukur juga diberikan kepada para Paderi paroki yang menyokong dan mengambil berat tentang kursus ini agar dapat dilaksanakan untuk memenuhi keperluan pastoral di paroki masing-masing.

Para graduan juga diingatkan agar tidak mementingkan markah yang tercatat di dalam transkip yang akan diterima nanti bersama dengan sekeping sijil tetapi mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari.  Dalam keseriusannya juga, Fr Rudolf sempat membuat jenaka bahawa sijil yang diterima itu tidak akan dipakai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi dipakai dan diterima oleh Kerajaan Tuhan. Maka pesan terakhir klerus itu agar pada graduasi ini terus saling medoakan dan menyokong antara satu sama lain.

Acara pada hari itu diteruskan dengan upacara penyampaian sijil, pemyampaian cenderakenangan kepada tenaga pengajar, pemotongan kek kesyukuran, persembahan para graduan, makan bersama dan acara bergambar beramai-ramai dan bergambar bersama keluarga di photobooth yang disediakan.

LAWATAN TTL KSFX KE POHON BATU

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Fr.Appolonius Yakis & Tim Turun Ladang melakukan aktiviti bersama komuniti Kg.Pohon Batu
Pemandangan menakjubkan pada waktu pagi di Pohon Batu.

POHON BATU, KENINGAU: Pada 8 – 10 November, Tim Turun Ladang(TTL), Katedral St.Francis Xavier, Keningau telah membuat lawatan pastoral ke Kuk Gereja St.Paulus, Pohon Batu. Seramai 13 orang menyertai ekspedisi yang diketuai oleh Fr.Appolonius Yakis, Puan Nancy Nelly(Pengerusi MPP) dan turut bersama mereka adalah para katekis, Sem.Nakudah dan juga umat. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk membantu umat di kuk berkenaan mempersiapkan gereja mereka bagi perasmian dan pemberkatan pada 10 Nov kelak.

Kuk Pohon Batu terletak  lebih kurang 126km dari Pekan Keningau, dan mengambil masa dalam 4 jam perjalanan mengunakan kenderaan pacuan 4 roda. 2 jalan pilihan boleh digunakan untuk sampai disana iaitu melalui Jalan Dalit, Keningau ataupun Jalan Karamatoi, Sook.

Kami bertolak pada 8 Nov, jam 10.00 pagi dengan 3 buah kenderaan pacuan 4 roda. Dalam banyak barang-barang yang dipunggah ke dalam kereta, satu barang yang menarik perhatian adalah Kerusi Uskup yang turut dibawa bagi kegunaan gereja Pohon Batu kelak. Lebih kurang jam 4.00pm kami tiba di Pohon Batu. Walaupun penat menaungi kami, namun setelah melihat permandangan yang indah disana, kami kembali bersemangat. Pada hari pertama, tidak banyak yang kami lakukan, hanya berfellowship sederhana sambil mengumpul tenaga semula.

Hari kedua, misi kami adalah melakukan aktiviti bersama komuniti disana. Sebelah pagi, Fr.Appolonius mengadakan Sakramen Pengakuan dan Misa Kudus. Selepas makan tenghari, kami bersama melakukan aktiviti harian umat disana. Ada yang ke sungai untuk memancing dan merambat. Ada pula yang pergi mencari sayur-sayuran untuk dijadikan santapan pada malam hari. Kira-kira jam 4.00pm, kami bersama umat disana bergotong- royong bagi mempersiapkan hari esoknya. Fr.Appolonius membuat gubahan bunga, yang lainnya bertukang, yang lainnya membuat latihan koir dan pukulan gong, dan ada juga yang memasang kem. Solidariti yang ditunjukkan menyebabkan kerja yang perlu disiapkan menjadi lebih mudah dan dilakukan dengan penuh sukacita.

Keesokan harinya, 10 Nov adalah hari yang ditunggu-tunggu iaitu Perasmian dan Pemberkatan Gereja St.Paulus, Pohon Batu. Sekitar jam 10.30pagi, kelihatan Uskup Cornelius menyeberang Jambatan Gantung menuju gereja, dan 5 minit kemudian disusuli oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup.Kedua-dua mereka disambut dengan pukulan gong, dan dialu-alukan oleh  Fr.Appolonius, PMPP, Puan Nancy dan umat yang telah bersedia dari jam 8.00am lagi.

Pada jam 11.00am, Gimik Perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Arthur, disusuli pemberkatan sekitar gereja oleh YM Uskup Cornelius Piong dan Misa Kudus. Dalam homilinya, Uskup Cornelius mengucapkan syukur kerana umat di Pohon Batu kini dapat mengadakan ibadah dengan lebih selesa. “Gunakanlah gereja ini bukan sahaja untuk bertemu dengan Yesus, tetapi juga bertemu dengan sesama,” tutup prelatus itu.

Puan Nancy pula berharap agar umat di Pohon Batu, akan menjaga gereja tersebut terutama penyelenggaraannya dan mengatakan gereja lama pula akan dijadikan tempat penginapan bagi para pelawat yang datang kelak.

Katekis Paulus, katekis yang melayani di Pohon Batu pula mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius yang sanggup datang dari jauh untuk memberkati gereja tersebut. Beliau turut melontarkan terima kasih kepada YB Datuk Arthur atas bantuan beliau sehingga pembinaan gereja baru itu dapat dilaksanakan. Selepas Misa Kudus selesai, turut diadakan Majlis Kesyukuran bersama di Dewan Terbuka Pohon Batu. “Lawatan ini telah mengingatkan saya kembali semasa pembentukan di Bandul, Indonesia, bagaimana umat amat merindukan lawatan pastoral sebegini, dan syukur, kami dapat melaksanakan,” kongsi Fr.Appolonius sebelum bertolak kembali ke Keningau.