Artikel oleh : Juanis bin Marcus
KENINGAU,TATAL-Menurut data dalam website Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia (my.usembassy.gov), peratusan penduduk Malaysia yang menganuti Kristian hanyalah sekitar 9.2%. Berdasarkan anggaran ini, tentu peratusan umat Katolik pula akan menjadi lebih rendah,maka kita perlu melakukan sesuatu untuk masa depan gereja. Namun persoalannya, bagaimana dan dengan siapakah kita harus letakkan tanggungjawab ini? Jawapannya adalah kanak-kanak.
Peringatan ini disampaikan oleh Uskup Cornelius Piong, semasa menyampaikan homili Misa Kudus Pembukaan Rekoleksi Tahunan Liturgi Sabda Kanak-Kanak(LSKK) yang diadakan pada 9 Disember 2023, dan bertempat di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal. Seramai 352 pembimbing menyertai kali ini.
“Kanak-kanak yang dibimbing lebih awal untuk mengenali siapa Allah itu, akan mempunyai kekuatan untuk lebih setia kepada gereja.Kanak-kanak itu akan menjadi masa depan gereja kita” tegas prelatus itu. “Oleh itu tugas anda sebagai pembimbing kepada kanak-kanak ini adalah sangat-sangat penting”,sambungnya lagi.Prelatus itu turut berpesan, sekiranya para pembimbing itu ingin teguh dalam pelayanan haruslah mengamalkan sikap berjalan bersama dan ambil peduli. “Melayani haruslah saling membantu bukannya sendiri-sendiri.Ingatlah peribahasa jangan menjaga tepi kain orang bukanlah budaya kita,” jawab Uskup Cornelius lagi.Prelatus itu juga sempat merakamkan terima kasih kepada semua pembimbing kerana sudi mengatakan YA untuk terus melayani sebagai pembimbing.
Dalam rekoleksi tahunan itu juga antara sesi lain yang disampaikan adalah “Peranan & Tanggunjawab sebagai seorang pembimbing LSKK,” yang disampaikan oleh Sr.Liza Jamat, FSIC. Beliau menekankan bahawa, Firman yang disampaikan oleh para pembimbing kepada kanak-kanak itu bukanlah suatu konsep atau idea semata-mata tetapi pesan yang berasal dari Tuhan Yesus itu sendiri. “Maka agar kita dapat menyampaikan Firman itu dengan baik, kita perlu bersatu dengannya melalui renungan dan doa. Ini mampu membantu kita untuk mengatasi keterbatasan kita sebagai manusia sehingga kita dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab kita sebagai pembimbing LSKK,”jelas Sr.Liza yang juga merupakan pembimbing rohani bagi komisi itu.
Sebelah petang pula,diadakan demo oleh Tim LSKK yang diketuai oleh Sis. Jailin Barasik mengenai bagaimana penyampaian Injil kepada kanak-kanak. Sis.Jailin yang juga pengerusi LSKK menegaskan agar para pembimbing memilih kata-kata yang sesuai semasa menyampaikan Injil,contohnya menggunakan kata “kurang bijak” berbanding “bodoh” agar kanak-kanak itu tidak terbawa-bawa dalam pembualan seharian mereka nanti. Rekoleksi pada hari itu ditutup dengan sesi soal jawab dan Doa penutup oleh Sr.Liza, FSIC.