LAWATAN TTL KSFX KE POHON BATU

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Fr.Appolonius Yakis & Tim Turun Ladang melakukan aktiviti bersama komuniti Kg.Pohon Batu
Pemandangan menakjubkan pada waktu pagi di Pohon Batu.

POHON BATU, KENINGAU: Pada 8 – 10 November, Tim Turun Ladang(TTL), Katedral St.Francis Xavier, Keningau telah membuat lawatan pastoral ke Kuk Gereja St.Paulus, Pohon Batu. Seramai 13 orang menyertai ekspedisi yang diketuai oleh Fr.Appolonius Yakis, Puan Nancy Nelly(Pengerusi MPP) dan turut bersama mereka adalah para katekis, Sem.Nakudah dan juga umat. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk membantu umat di kuk berkenaan mempersiapkan gereja mereka bagi perasmian dan pemberkatan pada 10 Nov kelak.

Kuk Pohon Batu terletak  lebih kurang 126km dari Pekan Keningau, dan mengambil masa dalam 4 jam perjalanan mengunakan kenderaan pacuan 4 roda. 2 jalan pilihan boleh digunakan untuk sampai disana iaitu melalui Jalan Dalit, Keningau ataupun Jalan Karamatoi, Sook.

Kami bertolak pada 8 Nov, jam 10.00 pagi dengan 3 buah kenderaan pacuan 4 roda. Dalam banyak barang-barang yang dipunggah ke dalam kereta, satu barang yang menarik perhatian adalah Kerusi Uskup yang turut dibawa bagi kegunaan gereja Pohon Batu kelak. Lebih kurang jam 4.00pm kami tiba di Pohon Batu. Walaupun penat menaungi kami, namun setelah melihat permandangan yang indah disana, kami kembali bersemangat. Pada hari pertama, tidak banyak yang kami lakukan, hanya berfellowship sederhana sambil mengumpul tenaga semula.

Hari kedua, misi kami adalah melakukan aktiviti bersama komuniti disana. Sebelah pagi, Fr.Appolonius mengadakan Sakramen Pengakuan dan Misa Kudus. Selepas makan tenghari, kami bersama melakukan aktiviti harian umat disana. Ada yang ke sungai untuk memancing dan merambat. Ada pula yang pergi mencari sayur-sayuran untuk dijadikan santapan pada malam hari. Kira-kira jam 4.00pm, kami bersama umat disana bergotong- royong bagi mempersiapkan hari esoknya. Fr.Appolonius membuat gubahan bunga, yang lainnya bertukang, yang lainnya membuat latihan koir dan pukulan gong, dan ada juga yang memasang kem. Solidariti yang ditunjukkan menyebabkan kerja yang perlu disiapkan menjadi lebih mudah dan dilakukan dengan penuh sukacita.

Keesokan harinya, 10 Nov adalah hari yang ditunggu-tunggu iaitu Perasmian dan Pemberkatan Gereja St.Paulus, Pohon Batu. Sekitar jam 10.30pagi, kelihatan Uskup Cornelius menyeberang Jambatan Gantung menuju gereja, dan 5 minit kemudian disusuli oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup.Kedua-dua mereka disambut dengan pukulan gong, dan dialu-alukan oleh  Fr.Appolonius, PMPP, Puan Nancy dan umat yang telah bersedia dari jam 8.00am lagi.

Pada jam 11.00am, Gimik Perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Arthur, disusuli pemberkatan sekitar gereja oleh YM Uskup Cornelius Piong dan Misa Kudus. Dalam homilinya, Uskup Cornelius mengucapkan syukur kerana umat di Pohon Batu kini dapat mengadakan ibadah dengan lebih selesa. “Gunakanlah gereja ini bukan sahaja untuk bertemu dengan Yesus, tetapi juga bertemu dengan sesama,” tutup prelatus itu.

Puan Nancy pula berharap agar umat di Pohon Batu, akan menjaga gereja tersebut terutama penyelenggaraannya dan mengatakan gereja lama pula akan dijadikan tempat penginapan bagi para pelawat yang datang kelak.

Katekis Paulus, katekis yang melayani di Pohon Batu pula mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius yang sanggup datang dari jauh untuk memberkati gereja tersebut. Beliau turut melontarkan terima kasih kepada YB Datuk Arthur atas bantuan beliau sehingga pembinaan gereja baru itu dapat dilaksanakan. Selepas Misa Kudus selesai, turut diadakan Majlis Kesyukuran bersama di Dewan Terbuka Pohon Batu. “Lawatan ini telah mengingatkan saya kembali semasa pembentukan di Bandul, Indonesia, bagaimana umat amat merindukan lawatan pastoral sebegini, dan syukur, kami dapat melaksanakan,” kongsi Fr.Appolonius sebelum bertolak kembali ke Keningau.

Sharing is caring!