PESAN BAPA USKUP CORNELIUS PIONG KEPADA AHLI KOMSOS

“Anda adalah nabi-nabi zaman sekarang”

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Tatal, Keningau-“Nabi-nabi yang dipilih dan diutus oleh Allah, mempunyai peranan untuk berbicara kepada umat manusia, menyampaikan Sabda Allah, pesan-pesan Allah, begitulah juga tanggungjawab kita sebagai manusia, terlebih lagi kepada ahli komsos,”ucap Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong ketika memberi homili dalam Misa Kudus Pembukaan Rekoleksi Keuskupan Keningau.

Misa Kudus tersebut diadakan pada 16 Jun, di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Kg.Tuarid Taud, Tatal, yang mana Bapa Uskup Cornelius menjadi selebran dan Fr.Clement Abel, selaku Spiritual Director menjadi co-selebran. Sekitar 50 ahli komsos yang hadir, terdiri daripada komsos dari paroki-paroki, para DJ Kekitaanfm dan juga Krew Komsos Keuskupan Keningau.

Bapa Uskup Cornelius menegaskan bahawa menyampaikan pesan-pesan Allah adalah peranan khusus bagi para ahli komsos. “Pesan-pesan Allah itu berupa Sabda Allah, nasihat, teguran mungkin juga sebuah pengharapan. Memang selepas dibaptis kita mempunyai kewajipan untuk mengongsikan semua ini, namun bagi ahli komsos ia adalah sebuah panggilan khusus, dan ia harus dibanggakan oleh anda semua,” tegas prelatus itu.

Prelatus itu juga menjelaskan bahawa Allah itu juga bersifat KOMUNIKASI. “Dalam kisah penciptaan dunia ini, Allah mengatakan ‘Marilah kita menjadikan manusia’ adalah tanda bahawa Allah itu mempunyai sifat berkomunikasi,”jelas prelatus itu lagi. Menutup homilinya, Bapa Uskup Cornelius memberi kata semangat kepada ahli komsos agar tidak risau dalam menghadapi cabaran pelayanan komsos kerana kita juga mempunyai Allah yang peka kepada keperluan umat-Nya.

Selesai Misa Pembukaan, turut diadakan pada hari tersebut adalah pembentangan oleh pengerusi-pengerusi komsos setiap paroki mengenai masalah dan cabaran dalam pelayanan mereka. Rekoleksi akan diteruskan pada 17-18 Jun dengan Misa Pengutusan dan Pembaharuan Janji Komiten oleh ahli komsos sebagai penutup rekoleksi.

Sharing is caring!