PERAYAAN 3 DALAM 1 ZON BULU SILOU

Artikel oleh : Melissa Floly

Gambar 1: Bapa Uskup Cornelius Piong, bersama Puan Nancy(PMPP) dan Fr.David Gasikol bergambar dengan Logo Pukat dan MPC.

Keningau: Pada 29 Jun lalu,Kuk Bonda Maria Ratu Perdamaian, Bariawa Tengah yang berada dalam naungan Zon Bulu Silou telah menyambut perayaan 3 dalam 1 iaitu UTK-30, Pesta Kaamatan dan kesyukuran pelayan pembimbing rohani Katekis Stanislaus Podtung. Sambutan dimulakan dengan Misa Kudus oleh Bapa Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Rev. Father David Gasikol.

Uskup Cornelius dalam homilinya berkata, selain dari peningkatan kuantiti umat yang bertambah dari tahun ke tahun, kualiti iman kita sebagai umat Katolik perlu diutamakan. Ambil masa untuk mengenali Yesus secara peribadi melalui pengalaman iman kita bersama dalam hidup berkomuniti. Dengan mengenal dan mengasihi Dia kita akan melayani Tuhan dengan lebih sungguh.

Gambar 2 : Tarian Sambut Tamu oleh belia Kuk Zon Bulu Silou

Pengerusi MPP, Puan Nancy Nelly mengucapkan tahniah kepada Kuk Bariawa Tengah yang telah  siap membina sebuah dewan terbuka yang terletak bersebelahan dengan gereja dan berharap agar fasiliti ini akan digunakan sebagai wadah membangun dan memantapkan pertumbuhan iman umat di kuk ini. Beliau juga mengucapkan syabas kepada tim pelaksana sambutan 3 dalam 1 ini dan juga kepada Katekis Stanislaus Podtung yang turut diraikan dalam sambutan ini.

Katekis Stanislaus Podtung dalam ucapannya berasa terharu atas penghargaan umat zon Bulu Silou dan berterima kasih atas kerjasama yang jitu sepanjang beliau melayani sebagai pemimpin ibadat sabda di zon ini. Katekis yang berasal dari Kg. Tigot, Keningau ini juga berterima kasih kepada Uskup Cornelius yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk melayani di Zon ini sejak 4 tahun yang lalu. Beliau juga menerangkan bahawa komiti pendoa iatu Legion Of Mary (LOM) juga baru sahaja ditubuhkan dan sudah mula berdevosi kepada Bonda Maria dan beliau menyatakan kesyukuran atas perkembangan itu.

Uskup Cornelius juga menyatakan dalam ucapannya, untuk memastikan perkembangan iman umat yang berkesan, umat perlu setia dalam doa dan penyembahan, dan turut serta dalam program pembentukan iman yang berterusan lebih-lebih lagi pada masa kini, sumber rohani boleh diperoleh dengan mudah dan juga bergiat dalam tanggungjawab sosial sebagai umat Katolik. Jadikan gereja kita, sebuah gereja yang terbuka kepada umat, mesra alam dan apostolik, agar bukan bangunan sahaja yang tersergam indah tetapi juga umat kita akan semakin bertumbuh. Jamuan kesyukuran diadakan di dewan terbuka seusai misa kudus dan para tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan dari umat Zon Bulu Silou.

Sharing is caring!