KBK-6 SERU BELIA BANGKIT MENGGALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI NABI, IMAM DAN RAJA

Artikel oleh: Melissa Floly

KBK6 bakal kembali lagi pada tahun ini dengan tema, Maria bangkit dan bergegas pergi (Lukas 1:39). Oleh itu,  satu persiapan rohani KBK-6  telah diadakan di Gereja St. Patrick Membakut pada 14-16 Julai yang lalu. Program ini dihadiri oleh para perwakilan dari setiap paroki dan mission serta para penganjur utama KBK6 yang bertujuan untuk mempersiapkan para pemimpin belia dari seluruh keuskupan Keningau dalam menuju Khemah Belia Keuskupan Keningau kali ke-6 yang bakal diadakan di Paroki Membakut  pada 27-31 Ogos 2023 nanti.

            Program ini dimulakan dengan misa pembukaan oleh Rev. Father Ronnie Luni. Membawakan sesi pertama dalam homili, iaitu misi Yesus sebagai Nabi, Imam dan Raja, Fr Ronnie menyatakan Yesus datang ke dunia sebagai nabi yang mewartakan kebenaran, sebagai Imam Agung yang menyerahkan diri-Nya sebagai korban di kayu salib demi keselamatan manusia dan Yesus juga datang sebagai raja dalam kerajaan Syurga dan merajai dalam hati setiap umat manusia.”  

            Justeru, pembimbing rohani belia Keuskupan Keningau itu menyeru kepada semua pemimpin belia untuk kembali bangkit dan membawa misi dan semangat Yesus dalam melayani para belia di KBK6 kelak. Fr. Ronnie juga  berpesan bahawa, para pemimpin belia perlu selalu menjalin relasi yang erat dengan Yesus dan berusaha menjadi saluran kasih dan sukacita Yesus kepada rakan-rakan belia di luar sana.

            Antara pengisian persiapan rohani KBK6 termasuklah katekesis, perkongsian dan aktiviti doa bersama di samping memupuk kerjasama dan persahabatan antara sesama belia di kesukupan Keningau. Penayangan logo rasmi KBK6 dan lagu tema juga dilancarkan dan boleh digunakan oleh semua paroki untuk persiapan mereka di paroki masing-masing. Adalah diharapkan agar melalui persiapan rohani kali ini, para belia semakin bersemangat dan siap untuk dibaharui secara rohani, mental dan fizikal untuk menyertai KBK6 pada hujung bulan Ogos nanti.

Sharing is caring!