“PERGILAH MENGUNDI, ITU TANGGUNGJAWAB SOSIAL KITA JUGA SEBAGAI UMAT KATOLIK”

Artikel oleh : Juanis

Bual-Bicara-Malam-Marilah-Mengundi
Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong

Keningau-Ketua Keuskupan Keningau, Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong menyeru agar umat Katolik khususnya di Keuskupan Keningau untuk keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia, pada PRU15(Pilihanraya Umum ke-15) pada 19 Nov yang mendatang ini.

Seruan itu diucapkan semasa Bual Bicara yang dianjurkan oleh Kekitaanfm yang bertajuk, “Bagaimana Iman Katolik membantu saya untuk mengundi?”. “Ada tiga tonggak utama kita iman Katolik kita, iaitu PENYEMBAHAN, PEMBENTUKAN IMAN dan TANGGUNGJAWAB SOSIAL,” mula prelatus itu apabila ditanyakan mengenai mengapa kita harus mengundi. “Salah satu tanggungjawab sosial kita, adalah ambil peduli dengan apa yang berlaku di dalam negara kita, dan melakukan perubahan yang baik, salah satu caranya adalah dengan menunaikan hak kita iaitu mengundi,”jelas prelatus itu lagi.

Bapa Uskup Cornelius juga, menjawab beberapa pertanyaan-pertanyaan yang dilihat agak sensitif yang diajukan oleh moderator Bual Bicara tersebut, Dj Uji. Salah satunya adalah persoalan mengenai bolehkah pemimpin gereja terlibat dalam politik? Menurut prelatus itu, pemimpin gereja boleh menyertai politik sebagai pembimbing sahaja agar umat mampu buat penilaian yang terbaik, dan pemimpin tidak boleh secara terang-terang atau memaksa umat untuk memihak kepada mana-mana parti.

Ketua Keuskupan Keningau itu juga sempat menjawab beberapa pertanyaan-pertanyaan dari penonton maya. Salah satu soalan yang mencuit hati namun sering berlaku, adakah diperbolehkan untuk kita mengambil wang yang diberi semasa mengundi? “Kalau wang tersebut diberi untuk mengikat kita, atau untuk tujuan membeli undi, adalah tidak wajar untuk mengambilnya.Namun sekiranya ia adalah hak kita,contohnya sebagai kos untuk pergi mengundi, ya itu wajar untuk kita ambil,”jelas prelatus itu dengan tenang. “Satu undi kita itu adalah hak kita, satu undi tersebut mungkin penentu masa depan kita, penentu masa depan negara kita, marilah mengundi,”tutup prelatus itu.

Sharing is caring!