SATU LAGI GEREJA KATOLIK DI NABAWAN DIBERKATI

Artikel oleh : Penny

Nabawan-Gereja Katolik St.Joseph Vaz Ponontomon yang terletak di Daerah Nabawan akhirnya diberkati oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong pada 17 November 2022. Menurut Paderi Paroki Sook, Fr.Boniface Kimsin, nama gereja itu dipilih kerana sudah banyak gereja dalam paroki yang mengambil St.Joseph sebagai pelindung mereka, oleh itu agar ada kelainan, maka St.Joseph Vaz telah dipilih. St.Joseph Vaz merupakan salah seorang orang kudus yang berasal dari benua Asia.

Upacara pemberkatan dimulakan dengan pemotongan riben di pintu masuk gereja sebagai simbolik perasmian yang dilakukan oleh Bapa Uskup  dan diiringi oleh Rev. Fr.Boniface. Turut hadir bersama adalah Pengerusi MPP Paroki Sook Pn.Dymnah Nirwana Dominic dan katekis yang melayani sekitar sook, umat disekitar sook  serta beberapa rombongan bersama dari Katedral St.Francis Xavier Keningau.

Dalam  Homili yang disampaikan oleh Bapa Uskup Cornelius Piong, mengingatkan kepada umat bahawa kita patut bersyukur dengan terbangunnya gereja ini, sehingga umat sekitar mempunyai tempat yang kudus untuk bertemu dengan sesama dan mengungkapkan iman mereka kepada Tuhan.

Bapa Uskup juga mengajak semua umat untuk hidup bersama dalam damai, cinta kasih dan tanggungjawab terhadap satu sama yang lain. Tetapi semua tidak dapat dialami  jika tiada Tuhan dalam kehidupan kita. Prelatus itu juga menyeru agar umat sentiasa hidup dalam doa, selalu mendengar ajaran-ajaran agama agar iman mereka dikuatkan untuk menghadapi apapun cabaran.  

Diakhir homili, Bapa Uskup telah memetik Injil Matius bab 10:32-33yang berbunyi, “Sesiapa mengaku Aku dihadapan umum Aku juga akan mengakui dia di hadapan Bapaku di syurga tetapi sesiapa menyangkal Aku dihadapan umum Aku juga akan menyangkal dia di hadapan Bapaku syurga”,  yang membawa maksud sekiranya kita terus setia dan percaya kepada Yesus, kita pasti diterima oleh-Nya bersama dengan Bapa di Surga.  

Selepas Misa kudus, sesi ucapan telah dijalankan dimulakan oleh Pengerusi KUK St.Joseph Vas Ponontomon Pn. Nolina dan diikuti oleh Fr. Boniface Kimsin, seterusnya Bapa Uskup dan diakhiri oleh Pengerusi MPP Pn.Dymnah. Selepas sesi ucapan umat mengiringi Bapa Uskup ke dewan untuk fellowship bersama umat di KUK tersebut.

Sharing is caring!