PEMBERKATAN & PERASMIAN DEWAN WALAI PITIMUNGAN KUK MINAWO

Artikel oleh : Melissa Floly

Bapa Uskup Cornelius Piong menurunkan tandatangan di Plak Perasmian.

Keningau: Pada 12 Februari yang lalu, sebuah lagi dewan baru diberkati dan dirasmikan di KUK Gereja St.Joseph Minawo.  Upacara perasmian dan pemberkataan itu diadakan selepas Misa Kudus yang diselebrankan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong. Turut hadir pada Misa Kudus ini ialah, YB Flovia Ng, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap ADUN N44 Tulid, dan PMPP KSFX , Puan Nancy Nelly Joneh.

Dewan baru tersebut adalah dewan terbuka yang  dinamakan sebagai Walai Pitimungan(Rumah Perkumpulan) St.Joseph Minawo. Dewan tersebut mula dibina pada awal Januari tahun ini sehinggalah siap sepenuhnya pada 10 Febuari tahun yang sama.

Bapa Uskup dalam homilinya menekankan agar  kita selalu menjaga relasi dengan Tuhan dan menghayati ajaranNya. Gereja selalu membimbing para umat dalam membentuk iman yang berkualiti, dan kita pula sebagai umat Katolik perlu sedar dan hayati  tanggungjawab kita kepada Tuhan.“Ambillah masa setiap hari untuk berelasi dengan Tuhan, bukan setakat meminta tetapi juga memuji Dia dengan penuh syukur di dalam doa”. ujarnya lagi.

Uskup Cornelius mengakhiri homilinya dengan pesanan agar  umat terus berusaha membentuk iman yang teguh, setia kepada FirmanNya dan taat akan ajaranNya.  Semoga kita dapat teruskan semangat kita sebagai umat Allah dengan  iman berkualiti dan penuh semangat sinodaliti, sesuai dengan visi dan misi Keuskupan kita.” tambahnya lagi.

Selesai Misa Kudus, Bapa Uskup Cornelius memberkati dewan seterusnya menurunkan tandatangan di plak perasmian yang telah disediakan. Acara diteruskan di Walai Pitimungan St Joseph Minawo dengan pelbagai pengisian termasuklah persembahan nyanyian dan tarian dari komiti-komiti di St Joseph Minawo. Ahli EXCO Wiramuda STAR Sabah, Jordan Jude juga kelihatan hadir bersama dan sempat melawat ke gerai-gerai jualan dan meluangkan masa bersama-sama dengan umat di situ.

Pengerusi Zon Minawo, En.Henry Yamurong juga sempat mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat dari awal pembinaan sehinggalah pada hari perasmian Walai Pitimungan St Joseph Minawo ini. Beliau yang begitu terharu dengan kerjasama dan semangat kesatuan daripada semua berharap agar umat dapat terus menyokong dan melibatkan diri dalam apa juga program yang akan diadakan di Zon Minawo selepas ini. Terbinanya dewan ini pasti memberi keselesaan di dalam penganjuran program sosial gereja, mesyuarat ataupun seminar sekaligus merancakkan lagi pembangunan iman khususnya di Zon Minawo.

Sharing is caring!