PAROKI ST.PATRICK MEMBAKUT BAKAL MENJADI TUAN RUMAH KHEMAH BELIA KEUSKUPAN KENINGAU KALI KE 6

Artikel : Caroline Liew

Para belia yang hadir semasa pelancaran KBK6 di Gereja Roh Kudus , Sook

SOOK – Seramai lebih kurang 150 perwakilan belia dari setiap paroki dan mission di Keuskupan Keningau telah berhimpun di Paroki Roh Kudus Sook pada 05 Februari lalu untuk menjayakan pelancaran Khemah Belia Keuskupan Keningau kali ke 6 yang bertemakan “Maria bangkit dan bergegas pergi” (Lukas 1:39). Program belia yang terbesar di Keuskupan Keningau ini akan berlangsung selama 5 hari bermula 27 hingga 31 Ogos 2023 bertempat di Paroki St.Patrick Membakut.

Misa Kudus pelancaran KBK 6 telah dipimpin oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Rev.Fr Ronnie Luni (Pembimbing Rohani) dan Rev.Boniface Kimsin (Paderi Paroki Roh Kudus Sook).

Mengambil tema pembacaan pada hari minggu tersebut, Bapa Uskup Conelius Piong dalam homilinya mengingatkan bahawa kita mempunyai identiti iaitu sebagai saksi-saksi Yesus untuk menjadi terang dan garam bagi sekeliling kita.

Prelatus dalam ucapannya sekali lagi menyeru kepada semua umat khususnya para belia yang sedang mempersiapkan diri kearah KBK 6 untuk meneruskan semangat berjalan bersama dan sentiasa ingat 3 hal utama iaitu kesatuan dengan Yesus, kesatuan dalam dalam tim dan melahirkan pelayanan  sama seperti Yesus demi untuk kemuliaan Tuhan kerana Dialah yang memampukan kita.

Tegas Bapa Uskup Cornelius lagi, “Jangan kita lupa peranan Bonda Maria, iaitu dalam sikap ambil peduli. Selepas mendengar berita bahawa dia ditawarkan menjadi ibu kepada sang penyelamat, Maria bergegas untuk melawat saudaranya Elizabeth yang sedang mengandung. Maria bergegas kerana Yesus ada dalam dirinya dan dia ambil peduli terhadap keperluan sesamanya. Semoga semangat seperti ini ada pada kita dalam menjadi saksi membawa cahaya dan garam kepada dunia.”

Koordinator Komisi Belia Keuskupan Keningau yang merangkap Koordinator KBK 6 saudara Roney Alfred dalam ucapannya berharap agar KBK 6 ini akan  membawa para belia untuk turut bangkit seperti Bonda Maria dan bergegas untuk memberi kesaksian iman kepada belia dan umat kita sesuai dengan tema yang diambil daripada Lukas 1:39. Beliau juga menyatakan bahawa pelancaran hari ini dilaksanakan agar segala persiapan menuju KBK 6 seperti persiapan tempat, pendaftaran, pengumpulan dana dan sebagainya dapat segera dilakukan.

Dalam pelancaran KBK 6 juga sepatutnya akan diumumkan logo dan lagu tema KBK 6, tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakan pengumuman akan dilakukan dalam acara yang khusus dalam masa yang akan ditetapkan kemudian.

Istimewa mengenai pelancaran KBK 6 ini, perwakilan dari setiap Paroki dan Mission di Keuskupan Keningau telah berkampung lebih awal di Gereja Roh Kudus Sook sejak 03 Februari untuk Rekoleksi Awal Tahun Tim Pelayan Belia Keuskupan 2023 dengan pelbagai aktiviti dan katekisis.

Koordinator KBK 6 saudara Roney Alfred diakhir ucapannya mengucapkan terima kasih kepada  semua yang semua yang terlibat dalam menjayakan Rekoleksi TPBK 2023 dan pelancaran KBK 6. Selepas penayangan video sedutan KBK yang lepas, Prelatus melancarkan KBK 6 dengan paluan gong sebanyak 6 kali!

Sharing is caring!