KONFERENSI AMOS KALI KE-5

Artikel oleh: Didiroy Joneh

Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong(Keuskupan Keningau) (kiri) dan Yang Mulia Uskup Julius Dusin Gitom(Keuskupan Sandakan) bersama para paderi yang hadir dalam Konferensi Amos yang ke-5

Keningau: Pada 2-4 februari 2021 lalu telah dianjurkan konferensi AMOS kali ke-5 oleh Team Pelayan Migran Katolik Sabah dengan Caritas Keningau di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal.
AMOS (Allah mengasihi orang miskin) selama tiga hari ini yang melibatkan tiga Keuskupan di Sabah iaitu Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Sandakan dan Keuskupan Keningau selaku tuan rumah telah mengambil tema iaitu Memartabatkan Maruah Insan Melalui Pendidikan.
Konferensi kali ini telah dihadiri seramai 170 perwakilan, dimana 14 darinya adalah kalangan paderi, 3 orang Uskup dan 3 orang relegius daripada Kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception.


Antara intipati AMOS adalah untuk memahami situasi dan masalah pendidikan yang dihadapi oleh kanak-kanak migran serta mencari solusi melalui respon pastoral yang sesuai.


Pada hari pertama konferensi dibuka dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong, melalui homilinya uskup mengungkapkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk bertemu dan mendengarkan suara angota-angota pelayan AMOS.


Prelatus itu juga mengkongsikan tiga perkara yang membantu dalam melengkapi iman kristiani kita, yang pertama adalah penyembahan kepada Tuhan, dimana melalui kehidupan harian kita memberi masa kepada Tuhan, dengan berdoa, merenung dan membina relasi akrab dengan-Nya.
Kedua adalah dengan memantapkan iman terutama sekali melalui sabda Tuhan, mengambil masa tiap-tiap hari membaca, mendengar dan merenung sabdaNya supaya kita dapat bertumbuh dalam iman sesuai dengan kehendak Tuhan.
Ketiga adalah tanggungjawab sosial sesama manusia kerana setiap kita manusia dicipta menurut rupa dan gambarnya. Ujarnya “ketiga hal ini perlu kita sentiasa setia laksanakan agar iman kita benar-benar holistic tidak mudah terpengaruh dengan hal-hal duniawi uang mengundang perpecahan dan akhirnya kematian”.

Melalui konferensi ini Bapa Uskup Cornelius juga mengajak setiap peserta bertanyakan pada diri masing- masing – didalam mengambil peranan sebagai angota-angota AMOS apa yang mendorong anda, adakah cinta kasih atau didorong oleh motivasi yang lain?

Sesi malam hari pertama perwakilan disegarkan dengan Imbasan penganjuran AMOS sebelum ini dimana pertama kali dianjurkan adalah pada tahun 2011 di Bundu Tuhan Ranau yang dihadiri 70 perwakilan.


Pada hari kedua peserta dibawa dalam sesi forum mengupas tema memartabatkan maruah insan melalui pendidkan dan disusuli perbincangan soal jawab bersama panel jemputan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRIKK), Suhakam Malaysia dan Akademik-NGO daripada Universiti Malaysia Sabah.


Melalui panel pertama Tuan Hj. Abdul Sani bin Paijo, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah berfokuskan kepada pengurusan hal ehwal guru dan murid warganegara dan kanak-kanak warga tanpa dokumen serta kanak-kanak bukan warganegara yang memohon belajar ke sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.


Manakala daripada Konsulat Jenderal Republik Indonesia, saudara Nasrullah Ali Fauzi, Koordinator Perhubungan Community Learning Center (CLC) Wilayah Kota Kinabalu, Sabah memberi fokus kepada pelayanan pendidikan untuk anak Indonesia di Malaysia melalui CLC.


CLC merupakan Model yang berkesan yang yang diterapkan di Sabah bagi melayani pendidikan anak-anak migran Indonesia, kerjasama bilateral hubungan erat Indonesia- malaysia sekjaligus pengakuan terhadap pemenuhan hak pendidikan anak sesuai convention on the rights of the child.
Setakat tahun 2020, jumlah CLC di Sabah adalah sebanyak 97 yang telah mempunyai permit manakala 137 masih dalam proses permohonan permit, dimana sebanyak 17,326 siswa dan 266 guru tergolong daripada guru yang di hantar oleh Negara Indonesia dan selebihnya mereka yang telah lama berada di sabah.


Melalui Prof Dato Noor Aziah Mohd Awal, Pesuruhjaya SUHAKAM katanya isu pendidkan kanak-kanak migran di Sabah masih menghadapi banyak masalah, namun perlu ditekankan bahawa akses pendidkan suda ada dan setiap anak menpunyai hak untuk mendapat pendidikan yang baik.
Dalam sesi ini Rev. Fr. Ronney Mailap mengajukan soalan bagaimana secara sederhana khususnya umat dapat membantu para migran? Beliau menjawab setiap kita perlu mempromosi kepentingan mematuhi undang-undang perkahwinan kerana jika tidak ianya akan mempengaruhi sijil kewarganegaraan dan akses pendidikan si anak kelak.“Cinta yang sejati menyingkirkan rasa takut” ungkapan kata-kata dari Dr. Sanen Marshall, Pensyarah Kanan UMS, disini beliau mengatakan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan justeru kita perlu membantu mereka sesama manusia agar mereka juga berpeluang mendapatkan kehidupan yang baik dimasa hadapan.
Beliau juga merupakan pengkaji isu-isu berkaitan dengan pembangunan ekonomi, sosial dan budaya kumpulan-kumpulan etnik yang dahulunya berasal dari filipina selatan dimana kajian yang melibatkan keperluan asas kanak-kanak jalanan kota kinabalu. Apabila ditanyakan soalan apakah kanak-kanak jalanan khususnya disabah adalah sebuah sindeket? Beliau menjawab bahawa sepanjang kajianya mereka tidak menjumpai sebarang sindiket.

Sesi berikutnya iaitu Usaha dan Cabaran, Puan Florida, seorang tenaga pengajar daripada CLC Holy Triunity, Tawau mengatakan “saya melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak migran adalah kerana merasa terpanggil dengan tanggungjawab untuk memberikan pendidikan yang baik terutamanya mereka yang berada di sekitar saya” ujarnya lagi “kerana keterbatasan dalam banyak hal seperti dokumen dan kemiskinan membuat mereka tidak mempunyai kesempatan untuk belajar justeru saya membantu mereka sebaikmungkin agar kelak mereka sekurang-kurangnya mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.”
Antara masalah yang timbul adalah mereka sukar untuk meneruskan hasrat CLC jika gereja tidak memberi kesempatan seperti ruang dan kemudahan lainya dan melalui Konfrensi AMOS kali ini kami bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama dengan tim pelayan dari tiga keuskupan untuk berbincang dan melihat keperluan- keperluan lain perlu perhatian gereja khususnya.
Di Keningau pula kekurangan tenaga pengajar merupakan foktor utama dimana 700 pelajar yang aktif hanya 12 guru yang bertugas serta ruangan pembelajaran yang sempit dan kemudahan fasiliti pembelajaran yang masih terhad.

Setakat ini CLC keningau mengunguli apabila mempunyai kanak-kanak migran terbanyak dimana dalam lingkungan umur 7 – 15 tahun serta mempunyai 11 CLC yang melibatkan sekolah rendah dan juga menengah. Diantara pengisian Konferensi AMOS kali ini adalah pelancaran logo rasmi AMOS bagi tiga Keuskupan dan pengumuman dimana Keuskupan Sandakan sebagai tuan rumah konferensi AMOS kali ke-6 pada tahun 2025.

Sharing is caring!