Artikel oleh: Melissa Floly
KAINGARAN, TAMBUNAN: YM Bapa Uskup Cornelius Piong, berkenan mentahbis satu lagi paderi dari Kongregasi Carmalitae Sancti Eliae (CSE) pada 25 Januari 2023 lalu di Pertapaan Karmel, Kaingaran Tambunan. Domi Bin Duuk @ Lasius, (35) mengambil Dominico Evan, sebagai nama biaranya. Fr. Dominico merupakan paderi CSE keempat yang ditahbis selepas Fr Giovanni C. Sugau yang ditahbis pada tahun 2012, Fr Sharbel Francisco De Karem’Ei pada tahun 2021, dan Fr Rudolf De Acquaviva yang baru ditahbis pada tahun lalu. Ritus pentahbisan ini dipimpin oleh Uskup Cornelius dibantu oleh Monsignor Gilbert Lasius, Fr. Rudolf Joannes, Fr Giovanni CSE, Fr Sharbel CSE, Fr. Rudolf De Aquaviva CSE, Fr. Harry Dorisoh, Fr Bonaventure Unting, Fr Boniface Kimsin, Fr Francis Dakun, Fr Wilfred James, Fr Dr. Charles Chiew, Fr. Joseph Gapitang, Fr. David Mamat, Fr. Clement Abel, Fr. Anthony Mikat, Fr Bede Morti dan Diakon Appolonius.
YM Bapa Uskup Cornelius Piong menaikkan kesyukurannya kepada Tuhan atas kerelaan Fr Dominico menjawab panggilan Tuhan untuk melayani sebagai paderi-Nya dalam Kongregasi CSE. Prelatus itu berpesan, “Mengikuti dan melayani Tuhan memerlukan suatu komitmen yang tidak berbelah bahagi. Kerana itu, seorang paderi perlu hidup Bersatu dengan Yesus (Yoh 15:4-5) Bersama dengan Yesus (Mat 18:20) agar pelayanannya sama seperti pelayanan Yesus (Yoh 13:34). “Motivasi pelayanan kita haruslah mahu melakukan kehendak Tuhan, bukan kehendak sendiri” tambahnya lagi. Uskup Cornelius juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga yang menjadi pembimbing kepada Fr Dominico dalam mengenal, mendengar Yesus dan menjawab panggilan-Nya.
Seterusnya, Rev. Fr. Sergius Paulus, CSE yang merupakan Pelayan Umum Kongregasi CSE turut mengucapkan tahniah kepada Fr Dominico atas pentahbisannya dan turut berkongsi pesan, “Seorang paderi, perlu menguduskan dirinya oleh Allah dalam doa, Ekaristi dan ibadat yang tekun dan setia agar mampu menguduskan umat yang dilayaninya. Seterusnya menjadi duta khabar baik dan cinta Allah yang dapat dilihat dalam pelayanan dan pengabdiannya (Roma 10:9)”, katanya. Fr Sergiusmemaklumkan bahawa, Fr Dominico akan ditempatkan untuk melayani di Sekolah Tinggi Katolik Seminari (STIKAS) Sto. Yohanes Salib, Bandol, Kalimantan Barat, Indonesia untuk membimbing para seminari yang berasal dari Sabah dan Sarawak di sana.
Mengambil motto tahbisan “Dan Ia, yang telah mengutus Aku, Ia menyertai Aku, Ia tidak membiarkan Aku sendiri” (Yoh 8:29), Fr Dominico Evan menyatakan terima kasih dan kesyukurannya kepada semua yang telah menyokong dan mendoakan perjalanan panggilannya selama ini terutama sekali kepada kedua-dua ibu bapa yang merelakan anak mereka untuk menjalani panggilan yang suci ini. “Semoga saya semakin terus mencintai Tuhan dan membuat Dia semakin dicintai dan dikasihi oleh semua orang”ujarnya lagi.
Menyedari bibit panggilannya tertanam sejak dari kecil lagi, apabila ibu dan bapanya begitu komited membawa keluarga mereka melayani di gereja dan mengikuti ibadat atau misa hari minggu. Rutin tersebut secara tidak langsung membawanya untuk semakin mahu mengenal akan panggilan Tuhan ini. Masa berlalu, dan panggilan Tuhan semakin kuat dirasakannya dan meyakini bahawa, “jika inilah adalah kehendak Tuhan, Dia pasti akan membuka jalan”. Maka, Fr Dominico memanggil para muda mudi untuk berani melangkah menyahut panggilan Tuhan untuk melayani di ladangNya. Paderi itu turut menyeru ibu bapa agar terus mendorong dan membantu anak-anak untuk mengenal dan menyahut panggilan Tuhan secara khusus sebagai Religius atau Paderi.
Fr Dominico Evan, yang merupakan adik kepada Msgr. Fr Gilbert Lasius ini, adalah anak ke-6 daripada 7 bersaudara dan dilahirkan di Kg. Nambayan Tambunan dan membesar di Nabawan. Setelah meningkat remaja, turut melayani di Paroki Roh Kudus, Sook (St Bede, Nabawan). Fr. Dominico menerima pendidikan awal di Tadika Kemas Pekan Nabawan pada tahun 1993 dan seterusnya bersekolah di SK Pekan Nabawan (1994-2000) dan di SMK Pekan Nabawan (2001-2003) sebelum meneruskan persekolahan di SMK Gunsanad, Keningau pada (2004-2005) dan menjalankan pengajian Tingkatan Enam di Pra-Universiti SMK Gunsanad Keningau (2006-2007). Perjalanannya menanggapi panggilan yang lebih sungguh, bermula apabila Fr. Dominico menjalani masa sebagai Postulan dalam Kongregasi CSE di Pertapaan Karmel, Kaingaran Tambunan pada 16 Julai 2011. Setelah menerima jubah serta memasuki tahun Novisiat selama dua tahun, Fr.Dominico melafazkan Kaul Pertama pada 16 Julai 2014 juga di Pertapaan Karmel sebelum melanjutkan pengajiannya di Sekolah Tinggi Katolik Seminari (STIKAS) Sto. Yohanes Salib, Bandol, Kalimantan Barat, Indonesia selama tiga tahun dalam program Teologi dan Filsafat.
Fr. Dominico melafazkan Kaul Kekal di Kapela Maria Bonda Karmel (MBK), Pusat Kerohanian Karmel, Bandol, Kalimantan Barat pada 20 Julai 2020 dan ditahbis menjadi Diakon pada 25 Januari 2022