MAJLIS PERPISAHAN REV. FR. PAUL MIKIN

membakut

Membakut – Sebuah majlis perpisahan sederhana telah diadakan oleh umat-umat paroki St. Patrick Membakut untuk Rev. Fr. Paul Mikin yang telah melayani selama enam tahun di paroki St. Patrick Membakut. Majlis ini telah diadakan pada 29 Januari yang lalu, bermula pada jam 7 malam, bertempat di dewan gereja St. Patrick Membakut dan telah dihadiri kira-kira 100 orang umat dari pusat paroki dan stasi luar paroki Membakut. Didalam majlis ini, sebanyak 13 buah Komuniti Kristian Dasar (KKD) dan 4 buah Komuniti Umat Katolik (KUK) didalam paroki Membakut telah bergabung tenaga menyediakan makanan secara potluck dan kek perpisahan untuk Rev .Fr. Paul Mikin.

Didalam ucapannya, Fr. Paul Mikin telah mengucapkan terima kasih kepada semua umat di seluruh paroki yang selama ini telah menyokong pelayanan beliau selama enam tahun di Membakut. Beliau berkata, paroki Membakut hanya akan membangun dari segi iman dan kerohanian sekiranya umat sentiasa mahu membuka hati untuk menerima Kristus, dan saling memberi sokongan diantara satu sama lain. Menurut Fr. Paul lagi, beliau bersyukur kerana selama melayani di paroki itu, umat telah menunjukkan perkembangan yang positif terhadap perkembangan iman dan kerohanian didalam komuniti masing-masing.

Majlis tersebut diakhiri dengan persembahan nyanyian daripada Rev. Fr. Paul dan disusuli dengan doa penutup pada pukul 10 malam.

Rev. Fr. Paul akan mula melayani di paroki Beaufort-Sipitang bersama Msgr. Gilbertus Engan bermula pada 1 Febuari 2017 dan tempat beliau akan diambil alih oleh Rev. Fr. Ronnie Luni sebagai paderi penguasa yang baru bagi paroki St.Patrick, Membakut.

Sharing is caring!