TYD I Menjadi Satu Permulaan Para Belia Lebih Terbuka dalam
Menyahut Cabaran Untuk Menjadi Terang Keluarga Berpusatkan Yesus Kristus
TENOM : Seramai 300 orang belia yang datang dari seluruh Paroki St. Anthony Tenom menyahut panggilan untuk menyertai program Tenom Youth Day (TYD I) yang dianjurkan oleh Tim Pelayan Belia Paroki Tenom (TpBPT) bertempat di gereja St. Francis Asisi KUK Pengalat Tenom pada 20 sehingga 22 Januari. Program TYD I yang diadakan selama tiga hari dua malam ini julung kali diadakan dan mendapat sambutan yang baik khususnya bagi para belia dan pelajar-pelajar sekolah diseluruh paroki Tenom. Bertemakan “Belia Terang Keluarga”, program ini juga merupakan susulan daripada program lalu yang dikenali sebagai Program Kerjasama Belia (PKB) yang pernah diadakan di KUK Tritunggal Mahakudus Paguokon dan KUK Santa Maria Melalap.
Berdasarkan tema kekeluargaan ‘Belia Terang Keluarga 1 Tim 4:12’ TYD I kali ini lebih mendedahkan pelbagai pendekatan dan penyelesaian masalah serta persoalan-persoalan belia yang sedang dilalui dan sangat mencabar pada masa kini. Pelbagai sesi yang dijalankan dan topik yang diperbincangkan lebih mejurus kepada peribadi belia itu sendiri, lebih-lebih lagi apabila dicabar untuk menjadi terang keluarga berpusatkan Kristus dan ‘kehidupan doa’ belia itu sendiri harus menjadi teladan dan kekuatan dalam menjadi ejen perdamaian dan bagaimana menyebarluaskan lagi Kasih Kristus itu didalam perbuatan dan tingkahlaku.
“Menjadi terang keluarga ini bukanlah mudah, bahkan perlukan pengorbanan dan ketabahan dalam menempuhi apa saja cabaran selain perlu perbelanjaan masa yang lama untuk menghadapinya, namun kehidupan doa belia itu sendiri harus lebih aktif agar apa sahaja keputusan yang diambil berdasarkan kehendak Tuhan dan membuahkan hasil yang baik terutama sekali dalam komunikasi antara ibubapa dan anak-anak itu menjadi semakin baik dan mengutamakan Kristus didalam kehidupan setiap hari”. kata Rev.Fr. David Mamat, rektor Paroki St. Anthony Tenom semasa kothbahnya didalam Misa Pembukaan TYD I, Jumaat lalu.
“Martabat keluarga itu sendiri akan runtuh jika tidak ada persefahaman dan komunikasi yang baik, tidak ada sifat saling menerima, mengampuni dan menghargai antara ibubapa dan anak-anak, sedangkan keluargalah tempat pertama yang menjadi sekolah doa kepada anak-anak dan tempat untuk kita mempraktikkan kehidupan doa setiap hari agar sentiasa terpimpin oleh kuasa Tuhan dan sentiasa menghormati antara satu dengan yang lain”. Tambah beliau lagi.
Beliau menyifatkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini merupakan proses pematangan dan menyarankan agar semua belia mengutamakan kehidupan doa dan firman Tuhan dalam menuntun jalan yang penuh cabaran disamping menyedari kehadiran Tuhan dalam hidup setiap hari agar dapat meneguhkan lagi iman dan kepercayaan belia terhadap Kristus.
Objektif bagi program ini adalah menyedarkan para belia bahawa perubahan daripada percakapan, perbuatan, kasih, kesetiaan dan kesucian mampu menjadikan belia contoh kepada keluarga. Sepertimana yang ditekankan oleh Rev. Fr. Rudolf didalam kothbahnya semasa misa hari kedua TYD I, setiap belia harus ada pendirian yang teguh dan iman yang mantap dan sentiasa meneladani peribadi Kristus yang menyerahkan diri secara total dalam pelayananNya. Demikian juga didalam keluarga, belia itu sendiri perlu berani menolak sesuatu situasi ataupun perkara-perkara yang boleh menyesatkan iman belia dimasa kini.
“Selain menghormati kedua ibubapa dan ahli keluarga yang lain, para belia juga harus menyedari tentang kehadiran berkat itu bermula bilamana kita mengutamakan sifat sederhana dan mempunyai niat yang ikhlas serta sentiasa minta dipimpin oleh Roh Kudus dalam apa jua bentuk pelayanan baik dalam gereja mahupun didalam keluarga.
“Sepertimana yang selalu kita dengar tentang ‘Feng Shui’, yang menjadi kepercayaan agama lain tentang nasib seseorang itu, adalah tidak bersesuaian dengan iman Katolik dan ajaran gereja pada hari ini, buktinya adalah, nasib ataupun masa hadapan seseorang itu bermula daripada usaha kita dan kehidupan doa kita sebagaimana kita mempercayaai bahawa Tuhanlah yang berkuasa dan sumber segala-galanya maka mintalah kepada Dia dan bukanlah bergantung pada nasib”. Kata Rev.Fr Rudolf Joanes.
Perumpamaan ini ditujukan khusus bagi para belia yang selalu berputus asa, diajak untuk menyedari bahawa setiap belia harus berkorban masa dan tenaga untuk membalas kembali jasa kedua orang tua yang sudah melahirkan dan membesarkan kita sehingga dewasa iaitu dengan cara mengutamakan Tuhan dalam pendidikan dan sehingga berjaya memperoleh pekerjaan yang boleh membantu meringankan bebanan keluarga pada masa yang mendatang.
Pelbagai aktiviti yang disediakan seperti, Kebangunan Rohani Katolik (KRK), Ceramah daripada Seminarian David, Family Gallery, Forum dan Perkongsian pengalaman keluarga daripada saudara Alex Paulus Jiran yang mewakili Keuskupan Agung Kota Kinabalu, dan diakhiri dengan aktiviti Photocontest TYD dan Malam Keluarga Kudus yang mempersembahkan hasil idea dan kreativiti belia itu sendiri berdasarkan senario keluarga yang sedang berlaku pada masa kini.
Topik Ceramah yang disampaikan oleh Seminarian David yang bertajuk ‘Keluarga Kudus’ bermaksud keluarga Kristian hari ini diajak sepenuhnya untuk meneladani kehidupan keluarga kudus di Nazareth yang bersifat suci, meskipun mempunyai pelbagai kelemahan namun tidak putus asa didalam usaha menuju kepada kehendak Allah yang sempurna dan panggilan hidup menjadi kudus. Selain itu, menekankan kita agar lebih mempercayaai dan sentiasa yakin terhadap Allah termasuklah jika kita menghadapi situasi-situasi sukar dan ketidakpastian didalam hidup, sepertimana Kristus yang menyerahkan dirinya secara total dan bergantung kepada kehendak Allah sepenuhnya.
Demikian juga perkongsian Sdra. Alex Paulus Jiran tentang pengalaman keluarga yang dihadapi beliau, bahawa keluarga merupakan pusat iman yang hidup dan tempat pertama Kristus dilahirkan, serta keluarga juga merupakan sekolah untuk kita membina kebijaksanaan dan keyakinan melalui Kristus.
“Memang tidak sedikit keluarga yang mengalami masalah dan penderitaan diabad ini, namun kebahagiaan itu juga boleh hadir dalam penderitaan, dan bagaimana kita mengikuti teladan Kristus untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Selain itu penderitaan juga sebenarnya mengajar kita untuk menjadi matang, namun tanpa Kristus dengan mudah kita tewas pada masalah-masalah yang kita hadapi!” Ujar beliau semasa menyampaikan sesi pada hari kedua.
Akhir daripada program ini telah memberi peluang untuk para belia bersoaljawab semasa forum yang diadakan bersama panel-panel yang dijemput seperti, Sdri. Roselinah Francis mewakili Tim pelayan belia Keuskupan Keningau, Sr. Julie Banting mewakili FSIC, Sdra. Alex Paulus Jiran mewakili Keuskupan Kota Kinabalu. Program TYD I dijangka selesai pada jam 5 petang.