KITA ADALAH BAIT ALLAH YANG HIDUP

HARI MINGGU KE 3 MUSIM PUASA
Bc.1. Kel 20:1-17 Bc.2. 1Kor 1:22-25 Bc.3. Yoh 2:13-25

Gereja adalah rumah Tuhan, tempat berdoa. Hanya kita yang boleh menjadikan gereja
sebagai tempat berdoa yang sesungguhnya. Kita datang ke gereja setiap minggu bukan
sebagai perorangan tetapi sebagai suatu keluarga besar. Persoalannya, apakah motif kita
datang ke gereja setiap minggu? Hukum-hukum Tuhan memang baik untuk kita tetapi
seringkali kita gagal mentaatinya. Walaupun kita mentaatinya, tapi itu semua sekadar
kewajipan dan bukan datang dari hati yang ikhlas. Marilah kita mohon pengampunan
daripada-Nya.

KITA ADALAH BAIT ALLAH YANG HIDUP

           Di zaman Yesus, politik dan ekonomi banyak mempengaruhi pentadbiran Bait Suci, yang mana menjadi sumber pendapatan para imam dan para Saduki serta keluarga mereka. Mereka berjuang mempertahankan kuasa mereka sehingga melibatkan pemegang kuasa politik pada waktu itu, demi kepentingan diri mereka sendiri. Dengan demikian, mereka sebenarnya telah menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka demi kepentingan mereka sendiri.

            Melalui latar belakang singkat tentang pentadbiran Bait Allah yang tidak betul itu, maka kita dapat mengerti mengapa Yesus menjadi marah kerana orang-orang mengotori dan menajiskan Bait Allah. Bait Alah telah dijadikan pasar, tempat berjual beli demi kepentingan individu-individu tertentu sahaja.

            Selama ini Bait Allah adalah tanda keimanan bangsa Yahudi. Maka mengotori Bait Allah sebenarnya menajiskan diri sendiri. Malah, menajiskan bait Allah, bererti menghina Allah sendiri, yang kehadiran-Nya disimbolkan oleh Bait Allah itu sendiri. Maka tidak hairanlah Yesus sangat marah dan menghalau para penjual serta pembeli di sekitar Bait Allah, sambil berteriak: “Jangan kamu membuat rumah Bapa-Ku menjadi tempat berjualan” (ay 16).

            Melalui peristiwa tersebut, ada dua pesan yang boleh kita pelajari: Pertama, Yesus merasa sangat terhina. Penghinaan terhadap Bait Allah itu dirasakan-Nya seperti penghinaan terhadap diri-Nya sendiri. Ia menyamakan diri-Nya dengan Bait Allah.

            Kedua, Yesus sungguh merasa kasihan pada orang-orang miskin yang diperalatkan oleh para pedagang, iaitu pentadbir Bait Allah itu sendiri, demi kepentingan peribadi mereka. Banyak orang-orang miskin membawa domba dan burung-burung merpati sendiri berserta wang untuk dipersembahkan. Namun orang-orang yang berkuasa di Bait Allah tersebut tidak mahu menerima persembahan mereka jika bukan diperolehi melalui mereka. Yesus mengutuk persembahan yang sudah diperdagangkan itu serta penyembahan yang sifatnya berpura-pura itu. Fungsi Bait Allah sudah berubah menjadi tempat mengaut keuntungan duniawi.

            Pada waktu itu Yesus mengambil kesempatan tersebut untuk mengubah cara persembahan tersebut agar lebih sempurna. Maka, kepada orang-orang yang mempersoalkan kuasa-Nya untuk menghalau mereka berjual beli di Bait Allah itu, Ia menjawab, “Rombak Bait Allah ini, dan dalam tiga hari Aku akan mendirikannya kembali” (ay 19).

            Ternyata jawaban Yesus tersebut membingungkan mereka, namun penginjil menjelaskan kepada kita, bahawa Bait Allah yang dimaksudkan-Nya itu, adalah diri-Nya sendiri. Bahawa penyembahan dan persembahan yang serba daif di bait Allah tersebut, memperolehi kesempurnaannya melalui pengorbanan Yesus, yang adalah merupakan Bait Allah yang sesungguhnya itu. Korban bakaran yang dipersembahkan oleh orang-orang Yahudi ditukar dengan korban Anak Domba Allah yang adalah Yesus sendiri melalui sengsara, wafat dan kebangkitan-Nya.

            Kita semua mempunyai kewajiban untuk menjadi Bait Allah yang baru. Kita adalah Gereja yang selalu perlu dibersihkan dan dibangunkan kembali, supaya hidup dalam hubungan yang harmoni dengan Allah. Pembersihan bererti menjadikan kembali diri kita, keluarga, KKD, paroki dan keuskupan kita, menjadi “Rumah Bapa,” tempat kita beribadat. Ini bererti kita tidak dibenarkan untuk menjadikan diri kita, keluarga, KKD, paroki dan keuskupan kita tempat untuk berjual beli pelbagai kepentingan atau tempat tukar menukar pelbagai nilai kehidupan yang tidak ada hubungannya dengan hidup menggereja yang sesungguhnya.

            Banyak sahabat-sahabat saya yang bukan katolik memuji gereja kita. Lalu saya bertanya mengapa demikian? “Lihatlah bangunan yang cantik di bandar dan di luar bandar adalah gereja katolik. Pastilah orang-orang katolik sangat taat pada ajaran agama mereka.” Malah katanya menambah keyakinan mereka, “Di seluruh negeri Sabah, di sepanjang jalan, ada sahaja papan-papan tanda gereja katolik yang menampakkan cirikhasnya yang tersendiri.”

            Memang kita memiliki banyak bangunan gereja yang berdiri megah dan indah. Letaknya stratijik dan cukup mudah dilihat bagaikan stesen-stesen minyak di tepi-tepi jalan. Namun betulkan ia merupakan simbol kehidupan umat kawasan tersebut, paroki dan keuskupan tersebut? Apakah umat gereja tersebut seperti Yesus, berani bersuara untuk membenteras ketidakadilan yang terjadi di sekelilingnya, baik yang terjadi di dalam mahupun di luar gerejanya sendiri. Kita perlu ingat, berani bersuara itu bukan bererti kerana dendam atau benci, tetapi demi kasih kita terhadap sesama dan demi kemuliaan Tuhan.

            Memang kita senetiasa dicabar untuk taat menyembah Tuhan, bukan sekadar di bibir sahaja. Tetapi apakah kehadiran kita ke gereja hanya sebagai kewajiban belaka? Tidak sedarkah kita bahawa beriman yang sesungguhnya adalah bersifat mendatar dan menegak, sesuai dengan ajaran Yesus, “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu” (Mrk 12:30).

            Bangunan gereja kita hanyalah bangunan yang mati. Tuhan suka mendiami gereja yang hidup, di mana umat-Nya komited dan efektif di dalam melayani-Nya. Semoga masa Prapaska ini, Tuhan membantu kita untuk sentiasa peka terhadap keharmonian kita terhadap-Nya, sesama, diri kita sendiri dan alam semula jadi, sekaligus memperteguhkan iman kita dan kepedulianan kita di antara satu dengan yang lain. (JL)

Ya Allah, kami bersyukur atas santapan kudus ini. Semoga santapan syurgawi ini
meneguhkan harapan kami akan bumi baru, di mana kekuasaan jahat dihancurkan
berkat jasa Yesus Kristus dan diganti dengan tegaknya keadilan, kedamaian, kejujuran
dan cinta kasih. Sebab, Dialah Tuhan dan Pengantara kami.

Sharing is caring!