PERAYAAN STO.NINO PERINGKAT PAROKI KSFX

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Keningau-Komiti Filipino paroki KSFX sekali lagi merayakan Pesta Sto.Nino kali yang ke-10 pada 21 Januari 2024 bertempat di Dataran Solidariti Keuskupan Keningau.

Perayaan itu disambut melalui Misa Kudus yang diselebrankan oleh Msgr.Gilbert Lasius.

Misa Kudus bermula pada jam 2.00pm, yang mana kebanyakan mereka yang hadir mengenakan pakaian tradisional masyarakat Filipina sambil membawa Statue St.Nino. Perarakan Misa didahului oleh kaum muda dan kanak-kanak yang berarak masuk sambil melakukan tarian sebelum diikuti oleh usungan yang membawa Statue St.Nino.

Msgr.Gilbert Lasius  dalam homilinya, menyatakan St.Nino atau “Bayi Yesus” yang dirayakan melambangkan kepada 3 perkara. Perkara pertama adalah “kebergantungan”. Bayi Yesus yang terpaksa bergantung kepada jagaan fizikal oleh kedua ibu-bapaNya(Maria & Josef) juga turut memberi maksud bahawa manusia juga harus bergantung hidupnya kepada Tuhan.

Perkara kedua pula adalah “Kerendahan Hati”. Yesus sanggup merendahkan diriNya untuk menjadi manusia dan dilahirkan oleh manusia agar mampu menebus dosa-dosa kita. “Seperti dalam Injil, siapa seperti kanak-kanak itu akan masuk kerajaan surga, beerti kita juga harus merendahkan diri seperti seorang kanak-kanak yang sentiasa memerlukan tempat bergantung hidup,” tegas Msgr.Gilbert.

Perkara yang ketiga, Bayi Yesus juga melambangkan “Kesetiaan”. Yesus bukan sahaja setia kepada ibu-bapaNya di dunia tetapi juga tetap setia dalam misiNya. “Inilah tiga perkara yang harus kita hayati dalam merayakan St.Nino ini iaitu, Kebergantungan, Kerendahan hati  dan Kesetiaan,” tutup Msgr.Gilbert dalam homilinya.

Selepas misa, turut diadakan Fellowship bersama di Dewan MPP KSFX. Pelbagai acara diadakan seperti Little King & Queen St.Nino, pakaian tradisi tercantik, keluarga contoh dan juga tiket bertuah. Menurut salah satu jurucakap Komiti Filipino, Perayaan St.Nino ini akan diteruskan pada tahun hadapan malah akan diperbesarkan lagi agar komiti-komiti lain dapat menyertainya.

MAJLIS KESYUKURAN 5 DALAM 1 YANG PENUH BERKAT

Artikel oleh : Melty Paulus

Keningau – Majlis Kesyukuran 5 dalam 1 telah diadakan di Dewan MPP, Paroki KSFX Keningau pada 7 Januari 2024 yang lalu. Acara ini termasuklah sambutan Msgr Gilbert Lasius sebagai Rektor Paderi KSFX yang baharu, welcoming Fr. Bede Anthonius ke KSFX, farewell Fr. Lazarous Uhin serta penghargaan kepada AJKT MPP KSFX sesi 2019-2023 dan seterusnya alu-aluan kepada AJKT MPP KSFX bagi sesi 2024-2026.

Majlis ini bermula pada 6.30 petang dan di dahului dengan doa pembukaan dan seterusnya ucapan daripada Pengerusi MPP KSFX yang baru, Puan Nancy Nelly Joneh dan juga daripada para paderi yang diraikan.

Uskup Cornelius Piong yang hadir mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan terlibat sama dalam majlis ini dan melahirkan kesyukurannya kerana dapat berjalan bersama dalam Kristus dan berkumpul bersama meraikan kebersamaan ini yang penuh berkat. Fr. David Gasikol, Fr Appolonius Yakis, Fr. Joseph Gapitang dan Fr. Ferdinandus dari Keuskupan Sintang, Indonesia turut bersama-sama hadir dalam majlis ini. Kehadiran para religius dan sister, para seminarian dan aspirant serta umat di sekitar Paroki KSFX juga menambahkan lagi keriangan dalam majlis kebersamaan ini.

Sepanjang acara ini berlangsung, majlis ini bukan hanya makan bersama sahaja tetapi juga diserikan lagi dengan pengisian seperti persembahan nyanyian dan tarian, exchange gifts, bergambar bersama serta pemberian penghargaan cenderakenangan kepada barisan AJKT MPP KSFX bagi sesi yang lalu. Di kesempatan ini, diucapkan selamat melayani di Paroki KSFX kepada Msgr Gilbert Lasius yang juga sebagai Rektor Paroki KSFX. Selamat datang juga diucapkan kepada Fr.Bede Anthonius ke Paroki KSFX dan Selamat melayani di tempat yang baru bagi Fr.Lazarous Uhin.

Majlis syukur ini juga mengucapkan tahniah kepada AJKT MPP KSFX yang baharu bagi sesi 2024-2026 dan selamat menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen.

PERLANTIKAN DAN PEMBAHARUAN  KOMITMEN PAROKI PELAYAN SABDA KSFX

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Gambar 1: Upacara Pelantikan Pelayan Sabda yang baru dihadapan Bapa Uskup Cornelius Piong

Tatal, Keningau-Seramai 202 Pelayan Sabda dari sekitar Katedral St.Francis Xavier, Keningau dan Zon Senagang telah menyertai Rekoleksi Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen Pelayan Sabda peringkat KSFX yang diadakan pada 20 Januari 2024 dan bertempat di Pusat Retret Keuskupan Keningau, Tatal.

Rekoleksi itu bertujuan untuk mempersiapkan para Pelayan Sabda sebelum mereka dilantik atau memperbaharui komitmen mereka.

Rekoleksi itu bermula dengan Msgr.Gilbert Lasius memberikan Input Pertama yang bertajuk “Mesej Hari Minggu Sabda Allah”. Menurut klerus itu, Alkitab adalah Cintakasih Tuhan oleh itu seharusnya kita mewartakannya. Oleh yang demikian, para Pelayan Sabda mempunyai peranan yang sangat penting kerana mereka mewartakan Sabda Allah itu di puncak kehidupan kita sebagai Katolik, iaitu Perayaan Ekaristi.

“Pelayan Sabda harus menghayati dengan batin mereka Sabda Tuhan itu sebelum mewartakannya agar umat yang mendengarkannya dapat merasakan cintakasih Tuhan itu juga,” tutup Msgr.Gilbert.

Sesi kedua yang bertajuk , “Peranan dan Tanggungjawab Pelayan Sabda” pula disampaikan oleh Sr.Liza Jamat, FSIC. Menurut biarawati itu, pelayan sabda perlu menjadi Pewarta Injil yang hidup dengan mendalami, menghayati dan menerapkan nilai-nilai Injil dalam kehidupan mereka. “Menjadi pewarta Injil bukan hanya kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Kristian tetapi juga kita menerima bahawa Yesus adalah Tuhan, Yesus adalah Juruselamat dan pemimpin dalam kehidupan kita,”jelas Sr.Liza menutup sesinya.

Selepas itu, diadakan Upacara Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen para Pelayan Sabda melalui Misa Kudus yang disempurnakan oleh YM Bapa Uskup Cornelius Piong. Seramai 60 Pelayan Sabda menerima lantikan baru dan selebihnya memperbaharui komitmen mereka.

Uskup Cornelius dalam homilinya, mengatakan bahawa setiap pelayan sabda harus sedar bahawa kemampuan mereka mewartakan Sabda bukanlah  daripada kemampuan  manusiawi tetapi kerana ia datang dari Tuhan. “Anda semua bukan membaca Sabda Tuhan, tetapi mewartakannya atau dengan kata lain memproklamasikan Sabda itu,”jelas prelatus itu. Prelatus itu juga menasihatkan agar para pelayan sabda bersedia lebih awal dan berdoa kepada Roh Kudus agar mereka dapat mewartakan Sabda Allah itu dengan lebih efektif.

Selepas Misa Kudus, turut diadakan fellowship bersama para pelayan sabda dengan Uskup Cornelius Piong dan Msgr.Gilbert Lasius.

Perlantikan dan Pembaharuan Komitmen bagi pelayan sabda ini akan diteruskan lagi bagi zon-zon lain dalam naungan paroki KSFX. – Juanis bin Marcus

MENGENAI SABAH YOUTH DAY 6(SYD6) KENINGAU 2024

TEMA-RASIONAL-OBJEKTIF-LOGO-LAGU

Muat Turun Lagu Tema SYD6 di pautan berikut:

https://drive.google.com/file/d/1Mu1HsvXFE7ZcmZCCxCW67cKC_AkPs2IV/view?usp=sharing

CARA PENDAFTARAN

SEBARANG PERTANYAAN BOLEHLAH MENGHUBUNGI BAHAGIAN PENDAFTARAN SYD6:

  1. Andre Justin Basinau : 010-208 3818 (Mot)
  2. Mellanie Adris : 010-943 4095(Keuskupan Agung Kota Kinabalu)
  3. Jacob Gosibin : 014-856 0052(Keuskupan Keningau)
  4. Vanessa William : 014-353 1804(Keuskupan Sandakan)