artikel oleh: Caroline Liew
Tatal, Keningau – Radio Online Katolik Keuskupan Keningau KEKITAANFM menyambut Ulangtahun ke -2 pada 02 October lalu dengan Program Rekoleksi, Misa Kudus dan Majlis Kesyukuran yang dihadiri oleh Uskup Cornelius Piong,Rev.Fr Roney Mailap,Rev.Fr Alberto Ireneus, Fr.Clement Abel serta semua kakitangan KekitaanFM bertempat di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal (RRKKT).
Seramai 25 kakitangan KekitaanFM yang hadir iaitu para penyampai radio dan krew berkumpul di Tatal seawal jam 3 PM untuk menyertai rekoleksi yang dikendalikan oleh Fr.Roney Mailap. Dalam sesi, semua kakitangan diajak untuk merenungi bagaimana perjalanan sepanjang 2 tahun sebagai anggota KekitaanFM serta merenung kembali tujuan utama pelayanan. Fr.Roney menyeru kepada semua kakitangan agar sentiasa memohon sokongan dan menghidupkan Yesus Kristus dalam peribadi semasa bersiaran di KekitaanFM serta menjelaskan bahawa Media paling utama dalam penginjilan adalah diri kita sendiri sebagai penyampai dan suara Allah.
Dalam Misa Kudus yang bermula pada Jam 5.30 PM, Bapa Uskup Cornelius Piong sebagai selebran dalam homilinya mengungkapkan rasa syukur kepada Tuhan atas penyertaan dan sokonganNya terhadap kekitaanFM yang kini telah mencapai ulangtahun yang ke-2 sebagai saluran berkomunikasi dengan umat sejak pandemik berlaku. Prelatus mengingatkan untuk sentiasa menjaga relasi dengan Tuhan agar iman sentiasa diteguhkan, lebih dapat mengasihi dan melayani Tuhan. Bapa Uskup mendorong agar kita membangkitkan kuasa Roh Kudus yang ada pada diri kerana Ia dapat menolong, mengajar dan mengingatkan kita sesuai dengan kehendak Tuhan khususnya dalam pelayanan sebagai satu komuniti di KekitaanFM.
Atas pimpinan Roh Kudus, KekitaanFM yang semakin dikenali kini mempunyai lebih 16 ribu pengikut di laman Facebook. Dalam sesi ucapan, saudara Didiroy Joneh selaku Pengerusi KOMSOS Keuskupan Keningau menyatakan bahawa terwujudnya KekitaanFM adalah atas inspirasi dan anugerah Roh Kudus. Beliau menyatakan KekitaanFM adalah komuniti yang masih membangun dan memerlukan usaha bersama sebagai satu komuniti yang saling peka dan sentiasa saling bantu-membantu dan memohon umat untuk terus mendoakan pelayanan KekitaanFM. Radio Online KekitaanFM yang telah dilancarkan pada 03 October 2020 kini telah menghasilkan seramai lebih 25 kakitangan yang melayani sebagai Penyampai Radio dan Krew dengan latarbelakang dan keunikan masing-masing dari sekitar Keuskupan Keningau. Dalam majlis kesyukuran secara sederhana selepas Misa Kudus selesai para kakitangan KekitaanFM meneruskan kebersamaan dengan acara makan bersama, penyampaian sijil penghargaan komitmen pelayanan, pertukaran hadiah serta mendengar pengkongsian pengalaman daripada beberapa penyampai radio Kekitaan FM.