SEJARAH DAN PERKEMBANGAN KEUSKUPAN KENINGAU

1. SEJARAH PENUBUHAN KEUSKUPAN KENINGAU

Pada 31 Mei 1976 menandakan satu era penting bagi Gereja tempatan di negeri Sabah apabila “Vicariate” Jesselton diiktiraf menjadi Keuskupan  Kota Kinabalu dan  Uskup Simon Fung menjadi Uskupnya yang pertama.

Pada 6 Mei 1993,  kawasan Keuskupan  Kota Kinabalu dihadkan kepada pantai Timur dan Barat sahaja. Sementara kawasan pedalaman di bawah jagaan Keuskupan  baru iaitu Keuskupan  Keningau yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.

Sejarah Keuskupan Keningau bermula pada tahun 1989 iaitu setelah dua tahun Uskup John Lee ditahbiskan menjadi uskup. Pada masa itu beliau merasa sangat perlu untuk mempunyai pentadbiran dan penjagaan pastoral yang lebih berkesan dan rapi. Ini disebabkan  kawasan Keuskupan Kota Kinabalu terlalu luas dan sukar dikendalikan oleh seorang Uskup.  Luas kawasan negeri Sabah ialah 73,620 km persegi.  Jumlah  penduduk negeri Sabah hampir dua juta.  Bentuk muka bumi Sabah yang bergunung-ganang dan berbukit-bukau menjadi halangan kepada lawatan pastoral yang lebih berkesan. Maka kawasan pantai timur iaitu Sandakan, Lahad Datu dan Tawau tertinggal dari segi pembangunan iman.  Masih banyak kawasan yang belum diterokai untuk mewartakan Khabar Gembira. Situasi ini turut dialami oleh daerah Kudat.

Setelah Uskup John Lee berbincang dengan Wakil Apostolik, Yang Mulia Alberto Tricarico, segala kertas kerja yang perlu  mulai disediakan  dan dokumen tersebut siap pada awal tahun 1990.  Semasa perjalanan beliau ke Roma untuk lawatan “Ad Limina” yang pertama kali, dokumen itu diserahkan kepada Yang Mulia Uskup Agung Alberto Tricarico untuk tindakan selanjutnya.

Pada 2 Februari 1993,  Sri Paus Yohanes Paulus II telah mengumumkan secara rasmi di Roma, perlantikan seorang Uskup bagi Keuskupan Keningau. Penubuhan Keuskupan Keningau dan pentahbisan Uskupnya yang pertama, Monsignor Cornelius Piong, dijalankan serentak  oleh wakil Sri Paus,  Uskup Agung Alberto Tricarico pada 6 Mei 1993, di Gereja St. Francis Xavier, Keningau.

Keuskupan ini merangkumi Paroki-Paroki di Bahagian Pedalaman iaitu:  St. Francis Xavier Keningau, Holy Cross Toboh, St. Theresa Tambunan, St. Anthony Tenom, St. Valentine Beaufort, St. Patrick Membakut, St. Peter Bundu Kuala Penyu, Mission Sook dan St. Yohanes Sipitang.  Pada 3 Mei 1998 Mission Kemabong telah diiktiraf sebagai Majlis Pastoral Mission sewaktu perayaan Ulang tahun Keuskupan yang ke lima di Paroki St. Anthony, Tenom yang menambah jumlah 8 buah Paroki dan 2 buah Mission.

Penubuhan Keuskupan Keningau  menandakan kematangan Umat Allah di Bahagian Pedalaman, berdikari dalam mentadbir sebuah Gereja Tempatan yang dipimpin oleh Uskupnya sendiri.  Dengan demikian, Keuskupan Keningau dianggap sebagai sebuah Gereja Tempatan seperti Gereja-Gereja mandiri yang terdapat di Kuching, Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta, Manila, Thailand atau Roma.  Masing-masing mempunyai sejarah dan keadaan yang berbeza di mana  Perancangan Pastoral adalah unik.

2. Usaha Pastoral Keuskupan yang Baru

2.1       PUKAT ke 1

Jika ditinjau kembali sejak penubuhannya, Keuskupan Keningau bergerak secara dinamik.  Perhimpunan Umat Katolik Keuskupan yang pertama (PUKAT I) pada 13 September 1993 di Katedral St. Francis Xavier Keningau, merupakan perhimpunan untuk menerima “Penginjilan Bermula Di Dalam Keluarga” – tema sebagai permulaan serta panduan perjalanan dan perkembangan Keuskupan.  Tema ini telah dilancarkan pada 27 – 30 Ogos 1993 dalam persidangan PAX di mana Keuskupan Keningau telah turut serta. Dalam PUKAT I tema ini diterima.  Antara lain tema ini menekankan: 1) Hidup berkomuniti antara keluarga-keluarga – iman perjalanan bersama, 2) Hidup berpandu pada Firman Tuhan – dibaca, direnung dan dihayati dan 3) Hidup berpusat pada Ekaristi (Kis. 2:41-47).  Buat sementara waktu, PUKAT I mengambil  tema tersebut sebagai panduan sehingga Keuskupan Keningau memperoleh wawasannya sendiri.

2.2       PUKAT ke 2

Memandangkan keadaan Keuskupan Keningau, di mana bilangan Paderi dan Religius yang tidak mencukupi dan cabaran-cabaran yang dihadapi,  mentadbir Keuskupan itu bukanlah mudah.  Bapa Uskup berusaha mencari jalan yang terbaik untuk melayani di dalam Keuskupan ini.  Oleh itu, beliau membuat konsultasi dengan para Paderi dan Religius serta umat tentang model Gereja yang diinginkan.  Oleh yang demikian, adalah perlu untuk mengadakan suatu perhimpunan yang diwakili oleh semua paderi, wakil religius, Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari dari setiap badan Majlis Pastoral Paroki, Kerasulan Wanita, Belia dan wakil Katekis.  Perhimpunan kali ini mengandungi tiga sifat penting:

–         suatu pertemuan di antara Uskup, para Paderi, Religius dan Umat Awam,

–         suatu masa untuk berdoa dan menilai,

–         suatu pengalaman berkomuniti sebagai sebuah Gereja Tempatan.

Perhimpunan ini dinamakan Perhimpunan Umat Katolik yang Kedua (PUKAT ke 2) Keuskupan Keningau, bertempat di Dewan Paroki Holy Cross Toboh, Tambunan pada 12 – 14 Mac 1994.  Bersama-sama Uskup, para Paderi,  Religius dan Umat Awam, Gereja berusaha mengetahui, mengenal pasti dan menentukan corak perjalanan:

1. Apakah keadaan sekeliling kita pada masa kini?

2. Ke mana arah tuju kita?

3. Bagaimanakah kita dapat mencapai tujuan kita?

Fr. Manuel Guazon dari SAIDI Filipina telah menjadi fasilitator di sepanjang perhimpunan tersebut. Perhimpunan ini disertai oleh 130 perwakilan dari seluruh Keuskupan.  Dengan bantuan beliau semua perwakilan telah berusaha melalui bengkel-bengkel untuk:

1. Membuat kajian dan meneliti keadaan sekeliling dari segi sosiobudaya, politik, ekonomi, kerohanian dan pastoral – apakah ancaman-ancaman dan peluang-peluang yang ada pada kita sekarang?

2.Membuat penilaian terhadap keadaan Keuskupan kita, apakah kekuatan-kekuatan dan kelemahan-kelemahan yang ada pada kita sekarang?

3. Mencari dan menentukan Wawasan dan Misi Keuskupan kita.

Hasil daripada bengkel tersebut, keutamaan-keutamaan Pastoral dan Pelaksanaan Perancangan telah dirumuskan.

2.3       Seminar Perancangan Pastoral

Sebagai susulan untuk mengemaskinikan dan memperkukuhkan lagi segala perancangan pastoral PUKAT II, Seminar Perancangan Pastoral telah diadakan di Rumah  Keuskupan Keningau, Tambunan pada 2 – 5 Mac 1995.  Semua Paderi, wakil Religius, AJK tertinggi Majlis Pastoral Paroki, Kerasulan Wanita, Belia dan wakil Katekis dari setiap Paroki telah menyertainya. Rev. Fr. Manuel Guazon sekali lagi menjadi fasilitator dalam seminar ini.

Tujuan seminar ini adalah meneruskan proses  Perancangan Pastoral yang sudah dimulakan dalam PUKAT ke 2.  Lima perkara telah  dibincangkan bersama:

1. Mengkaji semula pernyataan Wawasan, Misi dan  Keutamaan-keutamaan Keuskupan

2. Mencadangkan arah tindakan untuk setiap keutamaan

3. Membentuk Matlamat dan Objektif-objektif

4. Merangka Struktur Organisasi Keuskupan

5. Menjelaskan proses mendefinisikan peranan dan fungsi setiap organisasi dalam Keuskupan.

Seminar itu berjalan dengan semangat doa, “discernment” dan persaudaraan.  Pada akhir seminar itu, perkara yang menyentuh hati adalah bagaimana kita harus berani merealisasikan impian  dengan membuat perubahan dan merancang sesuatu yang besar bagi Keuskupan kita.  Menurut Fr. Manuel Guazon  “Seseorang yang tidak mempunyai impian adalah orang yang tidak mempunyai pengharapan.”

2.4       Kursus Kepimpinan Dalam Gereja Partisipatif

Salah satu tindakan awal untuk mempunyai pentadbiran yang efektif ialah dengan mempunyai pemimpin yang mahu mengambil bahagian dan terlibat di dalam perkembangan Gereja.  Maka kursus kepimpinan dalam Gereja partisipatif oleh Fr. Ignatius L. Madya Utama dari EAPI Filipina telah diadakan pada 16 – 30 Ogos 1995 di Rumah Keuskupan Keningau, Tambunan.

Dalam kursus ini, dua buah dokumen Gereja iaitu LUMEN GENTIUM dan FABC-V Bandung, Indonesia banyak sekali disentuh, terutama sekali tugas perutusan Gereja untuk mewartakan Injil di Asia masa kini.  Kita harus menjadi Gereja yang relevan dalam situasi Asia pada ketika ini.  Gereja di Asia pada masa kini harus menjadi Gereja yang bersifat terbuka dan bukannya bersifat tertutup.

 2.5       PUKAT ke 3

Keuskupan Keningau terus mengorak langkah demi langkah.  Pada 1 – 3 Jun 1996,  PUKAT ke 3 diadakan di Dewan  Paroki Holy Cross Toboh, Tambunan. Keuskupan Keningau memakai nama PUKAT setiap kali ianya mengadakan Sinode Keuskupan.  Sekali lagi  Fr. Manuel Guazon dari SAIDI Filipina menjadi fasilitator di sepanjang perhimpunan ini.

Tujuan PUKAT adalah untuk kebajikan seluruh umat kerana ianya “membantu uskup demi kesejahteraan seluruh komuniti Keuskupan” (Kan. 460).  PUKAT bertujuan bertindak sebagai pembawa pembaharuan kerohanian dan jasmani berpandukan kepada WAWASAN, MISI dan MATLAMAT Keuskupan.

Di dalam orientasi umum Fr. Manuel menjelaskan bahawa kehadiran semua perwakilan Paroki termasuk beliau sendiri adalah untuk:  MENGETAHUI, MEMAHAMI, MENGHARGAI dan MEMILIKI.  PUKAT ke 3 adalah juga masa untuk saling mengenal dan berinteraksi di antara satu sama lain; belajar dan berdoa bersama serta membangun komuniti.  Beliau juga mengatakan bahawa gambaran kebersamaan Kita Umat Allah Keuskupan Keningau jelas kelihatan melalui makan, minum, menari, ketawa dan lain-lain aktiviti bersama.

Di sepanjang perhimpunan ini sembilan kertas kerja telah dibentangkan: 1) Sejarah Keuskupan Keningau yang disampaikan oleh Fr. Gilbert Engan;   2) Wawasan dan Misi oleh Bapa Uskup Cornelius Piong;   3) Masalah dan Keperluan Utama oleh Fr. Bede Anthonius;   4) Perancangan Pastoral Keuskupan oleh Fr. Bede Anthonius;  5) Struktur Organisasi (Carta Organisasi) oleh Abel Soyoon;   6) Definisi  Peranan dan Fungsi berbagai-bagai jawatan serta badan-badan dalam Keuskupan oleh Fr. Boniface Kimsin;    7) Kalender Pelaksanaan oleh Fredoline Umis;   8) Penilaian oleh Fr. Manuel Guazon dan  9) Perancangan Pastoral Paroki oleh Fr. Manuel Guazon.  Moderator PUKAT III ialah saudari Donna Undoh.

Di dalam laporan kelompok mengenai Frasa yang menyentuh di dalam Wawasan dan Misi adalah perkataan “BERJALAN BERSAMA’.  Dengan adanya Wawasan dan Misi, Keuskupan mempunyai arah untuk dituju.  Wawasan dan Misi diumpamakan seperti bintang di Bethelem, penerang dan petunjuk tujuan hidup Umat Allah Keuskupan Keningau.  Ia adalah sumber  ilham untuk kita berjalan bersama sebagai Umat Allah serta pemberi semangat perpaduan.  Umat Allah Keuskupan Keningau harus berjalan bersama seperti perkongsian intim suami isteri. Ia memang suatu perkara yang susah untuk dilaksanakan  tetapi kita harus berusaha agar dapat berjalan bersama dengan tidak seorangpun yang tertinggal di belakang.  Dalam perjalanan Umat Allah Keuskupan ini, Uskup adalah selaku gembalanya.

Dalam sesi perancangan pastoral Paroki, setiap Paroki juga merancang untuk membuat PUKAT Paroki apabila kembali ke Paroki masing-masing.  Pada upacara penutupan perhimpunan ini, saudara Fredoline Umis selaku Pengerusi Penganjur memberi dorongan kepada semua perwakilan yang akan membuat Perancangan Pastoral PUKAT Paroki, supaya melaksanakannya mengikut masa yang sesuai dengan keadaan tempat masing-masing.  Sementara itu Uskup Cornelius di dalam ucapannya mengumumkan penggantian nama Majlis Paroki kepada Majlis Pastoral Paroki dengan singkatannya MPP.  PUKAT akan diadakan sekali dalam dua tahun.  Paroki sebagai tuan rumah belum lagi ditentukan tetapi konsep bergilir-gilir sebagai tuan rumah dari Paroki ke Paroki diteruskan.  Beliau juga menjelaskan bahawa Gereja yang bersifat KOMUNITI perlu mempunyai misi sosial dan penyelamatan yang menyeluruh.  Dalam khutbahnya, beliau menyatakan bahawa kerelaan para perwakilan berkorban selama tiga hari dalam perhimpunan ini adalah suatu tanda kasih terhadap Keuskupan.  Dengan itu beliau menyeru agar pesanan St. Paulus kepada Umat di Filipi (Flp 2:1-4) dijadikan pegangan untuk meneruskan perjalanan bersama.  Kasih harus mendorong kita untuk bersama-sama membangunkan Keuskupan.

Fr. Manuel Guazon juga menyampaikan pesan beliau bahawa Pukat ke 3 bukan hanya melaksanakan Perancangan Pastoral tetapi juga harus mampu berusaha melaksana, mempelajari, menghargai dan bergembira bersama.  Menurut beliau, “Proses lebih penting daripada hasil.”  Beliau menyedari bahawa pengalamannya melalui PUKAT ke 2 dan ke 3 telah membantunya menjadi matang dalam pengalaman melayani, terutama sekali di Negeri Sabah ini.   Jika kita mempunyai Wawasan dan Misi, bererti kita mempunyai identiti tersendiri sebagai sebuah Keuskupan.  Perhimpunan PUKAT ke 3 ini mencatat sebuah sejarah bagi Keuskupan Keningau yang akan terus berjalan bersama dalam Yesus Kristus.

2.6.      PUKAT ke 4

2.6.1    EVALUASI PERANCANGAN PASTORAL KEUSKUPAN KENINGAU pada 4 – 7   September 1998  di Pusat Pastoral Keuskupan (PPK).

PUKAT IV dikhususkan untuk menilai Perancangan Pastoral I (1995-2000).

FOKUS/OBJEK PENILAIAN PUKAT ke 4 (5 tahun Perancangan Pastoral Keuskupan) adalah:

  • Melibatkan UMAT ALLAH di Keuskupan Keningau, di bawah penggembalaan dan pimpinan Uskup, para paderi, religius dan pemimpin awam.
  • Perancangan ini bertujuan untuk membentuk Umat Allah yang komited dan efektif dalam pelayanan Kerajaan Allah. Pada masa yang sama  ia merupakan usaha untuk memenuhi keperluan-keperluan utama Keuskupan iaitu:

1. Pembentukan Iman yang berterusan

2. Promosi panggilan

3. Pentadbiran yang efektif

4. Pembangunan (insan) sumber manusia

5. Sumber material yang mencukupi

 Kelima-lima keperluan utama ini dinilai secara sumatif dalam PUKAT ke 4, sementara kesemua OM (Objektif-objektif yang membolehkan) dinilai secara  formatif.

2.6.2.   TUJUAN PENILAIAN (Berhubung dengan malumat atau data yang diperlukan)

Penilaian ini dilakukan bukan hanya untuk mengetahui tetapi juga bertujuan untuk mendorong agar tindakan-tindakan dapat diambil. Dengan kata lain, tujuan penilaian lebih berorientasikan tindakan. Maklumat di atas, sekali lagi dibincangkan dalam kelompok-kelompok supaya pernyataan-pernyataan maklumat itu diolah kembali menjadi pernyataan bertujuan dan bersifat tindakan.  Berikut adalah rumusan laporan:

1. Untuk memastikan supaya komitmen dan keberkesanan dalam pelaksanaan perancangan pastoral  dan untuk menggalakkan kepimpinan dengan teladan yang baik.

2. Untuk memotivasikan umat supaya melibatkan diri dengan aktif dalam program-program dan kegiatan-kegiatan pastoral.

3. Untuk menyelaras dengan lebih baik pelaksanaan program dan aktiviti pastoral.

4. Untuk menentukan sumber kewangan, perbelanjaan yang betul dan memberi peruntukan kewangan sesuai dengan keperluan.

5. Untuk meningkatkan jaringan komunikasi dan aliran informasi dalam Keuskupan. (Dari pihak pentadbir kepada umat dan dari umat kepada pentadbir)

6.Untuk meningkatkan rasa kekitaan.

7. Untuk mengkaji dan meningkatkan semangat kerjasama di antara paderi, religius dan pemimpin awam.

8. Untuk mengkaji dan merangka semula struktur organisasi Keuskupan.

9. Untuk mendorong dan menyokong dalam menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab dan menghidupkan semangat dedikasi demi meningkatkan  komitmen.

10. Untuk memastikan penjagaan yang betul terhadap harta benda Keuskupan.

 2.7.    PUKAT ke 5:  Perancangan Pastoral Keuskupan Ke 2,  2001-2005  KEUSKUPAN

          KENINGAU pada 14-16 September 2001 Pusat Pastoral Keuskupan (PPK)

2.7.1.      PUKAT Paroki

Tujuan sebenar PUKAT Paroki ialah untuk mengumpul semua maklumat tentang keberkesanan, ketidakberkesanan, pencapaian dan kegagalan perlaksanaan Perancangan Pastoral Keuskupan Keningau di peringkat Paroki, Mission dan Keuskupan.  Di samping itu juga mungkin ada cadangan-cadangan baru atau pendekatan baru untuk mengaktifkan lagi Perancangan Pastoral tersebut.

Setiap OM dinilai dengan menggunakan soalan-soalan sejauh mana ia telah dilaksanakan. Setelah selesai mengumpul semua maklumat yang penting serta cadangan-cadangan baru, maka team fasilitator Pukat Paroki telah bekerja keras untuk menggabungkannya. Semua maklumat tersebut dibentangkan dalam PUKAT ke 5.  Program PUKAT ke 5 telah disediakan oleh ‘team’, dan semua sesi dikendalikan oleh beberapa orang fasilitator khas.

2.7.2.   Draf terakhir Perancangan Pastoral Keuskupan Keningau II (2001-2005)

Sementara menunggu draf tersebut disahkan dalam mesyuarat TPK, beberapa idea timbul dari beberapa ahli ‘team’ fasilitator. Jika dilihat dalam semua OM yang sudah dibentuk, didapati tidak ada yang dikhususkan untuk keluarga. Oleh kerana pada tahun 2002 adalah tahun keluarga maka satu OM lagi telah ditambah khusus untuk keluarga.  Ini menjadikan jumlah OM sebanyak 6. Berikut adalah draf Perancangan Pastoral Keuskupan Keningau yang baru.  Sedikit pengubahsuaian telah dibuat dalam pernyataan DPO supaya lebih jelas dan disesuaikan dengan perkembangan Keuskupan. Pernyataan wawasan juga disingkatkan supaya mudah diingat dan dihafal.

WAWASAN:  Umat Allah berjalan bersama dalam Yesus Kristus.

MISI:                Kita Umat Allah Keuskupan Keningau yang berjalan bersama dalam Yesus Kristus komited untuk:

  • Taat berdoa
  • Mengahayati Sabda Allah
  • Merayakan Sakramen-Sakramen
  • Hidup berkomuniti
  • Memperjuangkan keamanan, keadilan dan cinta kasih, serta keharmonian alam ciptaan Tuhan

MATLAMAT:   Membentuk komuniti Umat Allah yang komited dan efektif dalam pelayanan Kerajaan-Nya.

Dasar Pelaksanaan Objektif (DPO): Dalam jangka masa lima tahun (2001 – 2005) dengan dorongan Roh Kudus, di bawah naungan Santo Francis Xavier, kita Umat Allah (Uskup, paderi, religius dan awam) Keuskupan Keningau berjalan bersama membentuk diri kita menjadi Komuniti Umat Allah yang komited dan efektif dalam pelayanan kerajaan-Nya.

Ini dapat dicapai jika kita:

  • Membentuk Keluarga Katolik yang bahagia
  • Mempergiatkan pembentukan iman yang menyeluruh dan berterusan
  • Bertindak untuk mempromosikan panggilan
  • Membentuk suatu pentadbiran yang efektif
  • Menyediakan program pembangunan kakitangan sumber
  • Berusaha mendapatkan sumber material yang mencukupi

2.8       PUKAT ke 6  (24-26  Oktober 2OO3) Di Dewan KSFX, Keningau

Sebelum Perhimpunan PUKAT 6 dijalankan, rekoleksi bagi persiapan Jasmani, Rohani dan Intelek atau singkatannya JARI bagi para perwakilan telah diadakan di kedua-dua bahagian bawah dan atas di seluruh Keuskupan.  PUKAT 6 telah dihadiri oleh seramai 207 perwakilan dari seluruh Keuskupan Keningau (178 awam, 18 religius, 11 paderi dan Uskup Datuk Cornelius Piong sendiri). Tema perhimpunan tersebut ialah “BERMULA SEKALI LAGI DARI Kristus UNTUK MELAKSANAKAN PERANCANGAN PASTORAL KEUSKUPAN”.

2.8.1.   Dinamik PUKAT ke 6

Dinamik PUKAT ke 6 ini berkisar pada perkongsian pengalaman perlaksanaan Perancangan Pastoral Keuskupan, menilai bersama strategi-strategi Perancangan Pastoral Keuskupan yang dikemaskinikan dalam PUKAT 5 (14 – 15 September 2001).

PUKAT ke 6 menegaskan agar para paderi, religius dan awam melibatkan diri dalam pelaksanaan Perancangan Pastoral Keuskupan berpandukan kepada “Tiga Bintang” iaitu:

  • Kristus haruslah menjadi pusat segala aktiviti pastoral kita (Yoh 15:5).
  • Tujuan aktiviti-aktiviti pastoral ialah membangun dan menghidupkan Tubuh Kristus atau komuniti-komuniti kita (Mat.18:20).
  • Keterlibatan dan pelayanan kita melalui aktiviti-aktiviti pastoral haruslah dimotivasikan oleh keinginan mahu melayani Kristus agar misi-Nya dapat kita teruskan (Yoh 20: 19-22; Kol. 3:23).

Di akhir perhimpunan tersebut, suatu strategi pelaksanaan telah dirancang. Di mana tiga perkara penting harus diambil tindakan dengan segera:

  1. Study day – tentang Perancangan Pastoral Keuskupan untuk semua lapisan umat bermula dari paderi, religius dan seterusnya.
  2. Mendokumentasikan Perancangan Pastoral Keuskupan.
  3. ‘Family Hour’ – berdoa bersama dalam keluarga dan mengadakan perkongsian Firman Tuhan serta menganjurkan aktiviti-aktiviti bersama keluarga untuk mengeratkan cinta kasih dan kesatuan dalam keluarga.

Sharing is caring!