KENINGAU : Pada 2 Disember lepas, Pesta Santo Penaung Paroki dan Keuskupan, Sto Francis Xavier telah draihkan. Perayaan ini sangat bermakna kerana hari minggu tersebut juga merupakan Advent pertama bagi seluruh umat katolik. Sambutan meriah ini sekaligus turut menerima ketibaan Ikon Keluarga Kudus oleh umat di zon St. Anthony Apin-Apin .
Dalam amanatnya melalui Homili, Rev Bonaventure Unting membawa umat untuk merenungi, menghayati dan mencontohi perjuangan Sto Francis yang sanggup meninggalkan kekayaan serta kesenangan duniawi bagi pelayanan. Beliau merupakan Santo pelindung bagi para pengikut Kristus yang melaksanakan Pelayanan misi penyelamatan dunia di mana sahaja.
Beliau merupakan seorang mubaligh perintis gereja Katolik Rome yang dilahirkan di Navvare, Spanyol. Xavier merupakan seorang daripada pelajar Sto Ignatius Loyola dan salah satu daripada kalangan tujuh pengasas Persatuan Yesus (Jesuit).
Xavier merintis misi Gereja Katolik ke rantau Asia, terutama di wilayah empayar Portugis dan berpengaruh di dalam penyebaran serta pelestarian ajaran Katolik di Goa, India.
Sumbangannya sebagai seorang mubaligh diakui terutamanya peranannya sebagai seorang pengelola dan perintis. Terdapat banyak gereja dan sekolah yang dinamakan sempena Francis Xavier di seluruh dunia. Di Malaysia, beberapa Gereja dinamakan sempena namanya di Petaling Jaya, Melaka dan Pulau Pinang. Beberapa buah sekolah juga dinamakan sempena nama beliau seperti St Xavier’s Institution di Pulau Pinang dan Sekolah St. Francis Xavier di Keningau sendiri.
Menyentuh tentang Ziarah Ikon Keluarga Kudus yang telah bermula sejak 7 November lalu, kesempatan rahmat ini harus diambil oleh setiap keluarga untuk hadir berdoa bersama dan menghayati peranan Keluarga Kudus dalam keluarga masing-masing.
Tentunya bukan mudah untuk mempertahankan institusi kekeluargaan pada zaman yang serba mencabar ini namun kehadiran Tuhan dalam keluarga akan memampukan kita untuk mengharunginya bersama-sama.
Ikon suci tersebut mengelilingi seluruh Paroki KSFX dan sambutan kemuncaknya adalah pada 30hDisember Di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon, sempena perayaan Hari Keluarga Kudus dari Nazareth.
Puan Stella S. Kinsik selaku pengerusi MPP melahirkan rasa syukur kepada Tuhan atas penyertaan Nya bagi segala aktiviti yang telah dilaksanakan. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua umat yang hadir khususnya kepada Tuan Rumah yang dipengerusikan oleh En Marcus Lundang serta segenap AJK serta umat zon berkenaan. Zon Minawo diumumkan sebagai tuan rumah bagi Perayaan Hari Sto Penaung ini pada tahun hadapan. Nancy Nelly Joneh