KERANA TERPESONA DENGAN JUBAH PADERI

Artikel oleh : Melissa Floly

Tambunan: Pada 25 Mac 2023, seorang lagi paderi baru telah ditahbis, iaitu Rev Fr. Appolonius Yakis, (34) yang merupakan anak jati Tambunan. Pentahbisan Imamat ini diadakan di Gereja Holy Cross, Toboh Tambunan. Ritus pentahbisan dipimpin oleh Uskup Cornelius bersama Vikaris Jeneral Keuskupan Keningau, Msgr Gilbert Lasius, para paderi keuskupan Keningau dan paderi CSE.

Uskup Cornelius dalam ucapannya, menaikkan kesyukuran atas  pentahbisan Fr. Appolonius dan berterima kasih atas kerelaannya untuk melayani umat di keuskupan ini yang memerlukan pelayan-pelayan yang komited. Ketua keuskupan Keningau itu juga berpesan agar, paderi baru terus memelihara relasi yang dekat dengan Yesus sepanjang pelayananya kerana, panggilan merupakan sebuah rahmat, yang boleh bertumbuh atau sebaliknya, kalau kita mahu ianya bertumbuh, kita perlu menghayati dan disegarkan selalu melalui doa dan sakramen-sakramen, ujarnya lagi.

Uskup Cornelius juga mengucapkan penghargaanya kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga paderi baru yang menyokong dan mendoakannya sepanjang perjalanan menyahut panggilan, juga buat tenaga pengajar di STIKAS St. Yohanes Salib, Bandol, Indonesia. yang telah membimbing Fr Appolonius dalam pembentukannya selama 6 tahun.

Uskup Cornelius juga mengalu-alukan kedatangan Fr Appolonius yang akan melayani di Katedral St Francis Xavier, Keningau. “Jadilah seperi Yesus, Dia datang bukan untuk dilayani tapi untuk melayani”, pesan prelatus itu sebelum mengakhiri ucapannya.

Rev. Fr Rudolp Joannes, paderi paroki St Theresa dan Holy Cross Toboh, Tambunan  mengucapkan syabas dan syukur atas penganjuran sambutan ini. Klerus itu juga mengimbas kembali, semasa pertama kali mengajukan idea untuk menghantar para seminarian melanjutkan pembentukan ke STIKAS, Bandol yang mana cadangan tersebut diterima baik oleh Uskup Cornelius dan akhirnya, usaha ini telah melahirkan satu lagi paderi baru yang diraihkan iaitu Fr. Appolonius Yakis. “Semoga apa yang kita saksikan hari ini dapat membuka mata para muda mudi untuk tampil berani menyahut panggilan Tuhan menjadi paderi.” tambah paderi itu.

“Terpesona melihat keindahan jubah paderi, telah menjentik hati seorang anak kecil untuk menyahut panggilanNya”. Berkongsi tentang pengalaman awal panggilan, ketika masih kanak-kanak, Fr Appolonius begitu tertarik dengan busana paderi yang dilihatnya setiap kali mengikuti Misa Kudus dan mula menyimpan hasrat untuk memakainya suatu hari nanti. Semakin meningkat dewasa, keinginan untuk menyahut panggilan semakin terasa, bahkan setiap kali doa Panggilan dibacakan, paderi itu merasakan dorongan yang kuat untuk menyahut panggilan Tuhan ini, apalagi selepas menyedari akan keperluan tenaga yang semakin meningkat dalam pelayanan para paderi ketika itu.

Memilih tema pentahbisannya dari Injil 2 Korintus 12:9: “Rahmat-Ku cukup bagimu, sebab kuasa-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan”,  Fr. Appolonius mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan membimbingnya dari awal pembentukan di Catholic Diocesan Centre, Kota Kinabalu, dan di Rumah Formasi, St Peter College, Kota Kinabalu sehinggalah ke STIKAS, Bandol.“saya mohon bimbingan dan doa dari umat agar saya dapat melayani dengan sungguh demi kemuliaan Tuhan dan kesatuan Gereja” ujarnya mengakhiri ucapan. Fr.Appolonius Yakis merupakan anak bongsu dari 6 orang adik beradik. Dilahirkan pada 27 Oktober 1989 di Hospital Tambunan. Menerima Pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan, St.David Toboh, Tambunan dan sekolah menengah di St.Martin, Tambunan. Mempungai pengalaman pekerjaan di TNGC Club House, Kota Kinabalu dan FMS Sdn Bhd sebelum memasuki Catholic Diocesan Centre, Kota Kinabalu pada tahun 2014. Meneruskan pembentukan di Tahun Inisiasi, St.Peter College Kota Kinabalu pada tahun 2015, dan pada tahun 2016 menyambung pembentukan STIKAS, Santo Yohanes Salib, Kalimantan Barat.Ditahbis menjadi Dikon pada 7 Oktober 2022, dan menjadi paderi pertama bagi Keuskupan Keningau yang berjaya ditahbis melalui pembentukan di STIKAS.

Sharing is caring!