PERAYAAN MINGGU ALKITAB PERINGKAT PAROKI KSFX

KENINGAU : Pada 14 Julai 2018, seramai 150 umat telah hadir dalam program kemuncak perayaan Minggu Alkitab peringkat Paroki KSFX.  Bertempat di KUK St. Blasius Magatang. Sempena sambutan itu, diadakan beberapa aktiviti iaitu pertandingan mewarta sabda, syarahan, mewarna Tahap 1, melukis dan mewarna Tahap 2, dan pertandingan Kuiz Alkitab. Para Peserta pertandingan merupakan wakil dari setiap Zon di sekitar Paroki KSFX.

Program dimulakan dengan Ibadat Pentaktahan Alkitab yang disempurnakan oleh Kat. Fredolin Umis selaku pengerusi komiti Alkitab Paroki KSFX.

Ibadat dimulakan dengan perarakan masuk Alkitab Suci

Program dimulakan dengan Ibadat Pentaktahan Alkitab

 

“Persiapan sebelum aktiviti pertandingan Minggu Alkitab adalah satu proses yang dapat membantu mentransformasikan kita. Membantu para belia untuk mengalami satu tranformasi bukan hanya kerana bertanding, tetapi berkesempatan untuk berkomunikasi dengan Tuhan melalui firmanNya.

Kita harap persiapan ini dapat dikongsikan dalam kuiz Alkitab dan kita akan mendengar usaha-usaha dalam mengongsikan Firman Tuhan. Soalan yang akan dikemukakan adalah persoalan yang membuat kita merenungkan Firman Tuhan. Jadi kita harap aktiviti ini  bukan semata-mata sebagai pertandingan tetapi lebih kepada bersaksi tentang Firman Tuhan seperti yang dikatakan oleh Yesaya ‘Utuslah Aku (Yes 6:8)’. Kita telah dipanggil, dipilih serta diutus menyertai aktiviti ini.

Dalam bacaan Injil memang perlu satu transformasi bukan saja belia tetapi juga kepada keluarga yang merupakan sasaran kepada kejahatan. Situasi dunia sekarang banyak mengambil kesempatan untuk menjatuhkan keluarga, umat dan para pelayan dalam gereja. Hanya Firman Tuhan yang mampu menentang kejahatan dan inilah kuasa yang boleh mentransformasikan kita.” Demikianlah homili Kat. Fredolin.

Turut serta dalam program Minggu Alkitab ini, Rev. Dikon David bersama Sem. Appolonius Yakis, Wences Podtung, timbalan pengerusi Komisi Kerasulan Alkitab Keuskupan merangkap pengerusi Komiti Kerasulan Alkitab Paroki Holy Cros Toboh (HCT),Tony serta Sabina Andrew, AJKT Komiti Kerasulan Alkitab HCT, Tambunan. Para pengerusi Zon dan KUK sekitar Paroki KSFX.

Aktiviti paling menarik dan mencabar adalah pertandingan Kuiz Alkitab yang melibatkan 10 kumpulan. Setiap kumpulan terdiri dari tiga orang yang berusia sekitar 16-40 tahun. Bersandarkan tema Hari Minggu Alkitab oleh Komisi Alkitab Serantau iaitu “Orang Muda, Iman Dan Renungan Mendalam Terhadap Panggilan,” fokus utama penglibatan Kuiz Alkitab adalah pelajar sekolah menengah, universiti dan pasangan yang baru berkahwin. Tujuan utama Kuiz Alkitab ini adalah untuk menggalakkan umat khususnya orang muda untuk membaca Alkitab, memberi peluang kepada umat bersaksi tentang iman dan menguji tahap kesedaran dan pengetahuan akan iman Katolik golongan muda.

Penyampaian hadiah kepada para peserta

Melalui Kuiz ini, peserta dicabar untuk meluangkan masa untuk membaca dan menelaah Alkitab iaitu Kitab Bilangan dari Perjanjian Lama dan Kitab Kisah Para Rasul dalam Perjanjian baru. Selain itu, peserta juga perlu mengetahui perkembangan semasa dan sistem pentadbiran Gereja Katolik.

Romandus Philip, Pengerusi Zon juga mewakili tuan rumah mengungkapkan kesyukuran kepada Tuhan biarpun bukan mudah melakukan persiapan namun dengan usaha, komitmen dan doa yang berterusan, akhirnya semua berjalan dengan lancar dan sesuai dengan perancangan.

Beliau megucapkan terima kasih kepada semua Tim pelaksana, KWK, serta umat yang datang menyokong terutama dari KUK St. Blasius Magatang yang sentiasa terbuka menerima tawaran menjadi tuan rumah dalam penganjuran banyak aktiviti paroki. Menutup ucapannya, beliau mengatakan bahawa aktiviti Minggu Alkitab sangatlah bermanfaat kerana dapat menyedarkan umat  untuk sentiasa belajar untuk memantapkan iman.

Kat. Fredolin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan aktiviti sambutan Minggu Alkitab dan mengucapkan tahniah kepada tuan rumah kerana telah berjaya melaksanakan penganjuran dengan jayanya. Beliau berharap agar penyertaan dalam program Minggu Alkitab dapat membantu penghayatan mereka terhadap Firman Tuhan dan dapat membantu umat merenung masa depan terutama iman yang perlu ditransformasikan. RX

Pertandingan Mewarna Kanak-kanak

 

Peserta bersama Juri Pertandingan Kuiz Alkitab

Tridum Persiapan Sambutan Kemuncak Minggu Alkitab

 

Sharing is caring!