Artikel oleh : Kimberly
Sandakan – Hari yang di nanti-nantikan oleh semua belia Keuskupan Sandakan telah tiba. Pada 16 Mac 2024, seramai 200 orang belia di seluruh Keuskupan Sandakan berkampung di Katedral St. Mary untuk menyambut ketibaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria yang dirindui selama ini dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Acara dimulai dengan acara dewan pada jam 4:15pm dengan lagu puji-pujian dan diikuti dengan sesi ice breaking yang diketuai oleh Parish Youth Apostolate (PYA) Sandakan. Setelah selesai sahaja acara dewan para peserta dan menganjur diberi waktu untuk mempersiapkan diri untuk menyertai perarakan Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria ke Gereja.
Perarakan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria diiringi dengan tarian tradisi umat Keuskupan Sandakan yang berbilang kaum, iaitu tarian Hedung dari St. Mark Sandakan, tarian tradisi Dusun Labuk dari St. Martin, Telupid dan paluan Chinese Tradisional Drums dari St. Mary Sandakan.
Acara seterusnya adalah acara yang telah dinanti-nantikan oleh seluruh belia dan juga umat Keuskupan Sandakan kerana perarakan Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria pada tahun ini sedikit berbeza, yang mana tahun sebelumnya Salib Belia dan Ikon bergerak dari paroki ke paroki, namun kali ini hanya bergerak dari katedral ke katedral 3 keuskupan di Sabah.
Keuskupan Agung Kota Kinabalu yang diwakili oleh Rev. Fr. Isidore Gilbert, Penasihat Rohani Belia Keuskupan Agung Kota Kinabalu, secara rasmi menyerahkan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria kepada Keuskupan Sandakan yang diwakili oleh Sr. Noemi Mejia FSIC, Koordinator Belia Keuskupan Sandakan dengan disaksikan oleh Bapa Uskup Julius Gitom , Rev. Fr. Dafrinn Diwol, Penasihat Rohani Belia Keuskupan Sandakan, para Religius, para belia diseluruh Keuskupan Sandakan dan para umat.
Bapa Uskup Julius Gitom dalam homilinya, mengatakan bahawa kedatangan Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria sangat bersesuaian dengan pembacaan hari ini kerana pembacaan hari ini membicarakan tentang kematian dan kehidupan . Salib adalah lambang kehidupan bagi kita yang percaya kepadaNya oleh itu sekali lagi kita diingatkan untuk dekat dengan Tuhan sumber kehidupan .
Sekiranya kamu merasa kehidupan kamu terikat sama seperti Lazarus yang terikat dengan kain kafan maka ingatlah bahawa hanya Yesus yang dapat membebaskan kita seperti injil pada hari ini “Bukalah pengikatnya dan biarlah dia pergi dengan bebas”.
Maka dengan demikian sekiranya dalam musim pra paskah ini kamu merasa diri kamu terikat datanglah kepada Yesus dengan penuh keyakinan memohon agar kita dibebaskan terutama sekali dari dosa-dosa kita.
Apabila kita telah dibebaskan maka kita juga dituntut sama seperti Bonda Maria untuk membawa khabar baik kepada orang tentang betapa mulianya Tuhan membebaskan kita daripada dosa-dosa kita . Marilah kita berdoa agar sentiasa terbuka kepada rahmat pembebasan Tuhan sendiri khusunya pada musin pra paska ini agar kita benar-benar diperbaharui dalam iman kita dan berani menjadi pengikut-pengikut Yesus yang berani bersaksi sama seperti Bonda Maria.
Sesi berikutnya adalah sesi perkongsian dari wakil kedua-dua Keuskupan, dimana mereka mengongsikan pengalaman dan perasaan mereka bersama dengan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria. Disebabkan pandemik yang melanda sebelum ini, Salib Belia dan Ikon Bonda Maria terhenti. Kerinduan mereka memberi semangat yang berkobar-kobar walaupun banyak cabaran yang dihadapi. Salib Belia membawa rahmat ‘KEPERCAYAAN’ dan ‘SOKONGAN’ diantara sesama, sebab tanpa kepercayaan dan sokongan pasti program Penyerahan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria tidak akan terjadi .
Semoga keberadaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria di Keuskupan ini akan mengkuatkan lagi Iman para belia.