PEMBUKAAN BULAN ROSARI

KENINGAU :  Bulan Oktober merupakan bulan mendoakan doa Rosari mengikut tradisi Gereja Katolik pada setiap tahun. Pada 1 Oktober, perayaan Misa sempena dengan pembukaan Bulan Rosari telah diadakan di Katedral St. Francis Xavier (KSFX). 1 Oktober juga merupakan Pesta St. Theresia Kanak-kanak Yesus yang merupakan penaung bagi misi gereja.

Sebelum Misa Kudus, umat berdoa Rosari bersama YM Uskup Cornelius Piong di Grotto KSFX.

Dalam mendoakan doa Rosari, intensi utama adalah seperti yang dinyatakan oleh Bapa Suci Francis dalam mengajak semua umat Katolik seluruh dunia supaya berdoa, berpuasa dan melakukan reparation (pelunasan dosa) ataupun “sogit” untuk menebus dosa-dosa yang sangat menyakiti gereja.

Antara yang boleh dilakukan untuk melaksanakan “sogit” itu adalah selain daripada berpuasa, menghadiri juga Saat Teduh dan Adorasi serta melakukan amal bakti seperti menderma untuk pemurnian  dosa yang menimpa.

“Seperti yang diminta oleh Bapa Suci dan Uskup-Uskup seluruh Malaysia  untuk membawa intensi Bapa Uskup supaya gereja sejagat dan gereja kita sendiri mengalami perlindungan dan pemurnian. Dalam kesempatan ini, saya mengajak saudara saudari supaya hidup dalam kekudusan. Kesatuan dengan Yesus jangan kita abaikan kerana kesatuan dengan Tuhan merupakan sumber kekuatan, kesetiaan dan kekudusan kita. Kerana dengan itu kita dapat terus hidup dan berjalan bersama dalam perlindunganNya disertai dengan  doa Bonda Maria, ibuNya,” Uskup dalam homilinya.

Prelatus itu juga mengajak umat untuk terus mendoakan Bapa Suci agar beliau sentiasa tabah, kuat dan dilindungi daripada kejahatan. 

Sharing is caring!