KENINGAU : Mula beroperasi selama dua tahun, Audio Kupi Rohani kini telah menyambut ulang tahunnya yang kedua. Misa Kudus sempena dengan Ulang Tahun Kupi Rohani Ke-2 telah diadakan pada 5 Oktober 2018 di Pusat Ziarah Kudus Nulu Sosopon (PZKKNS).

Misa yang disempurnakan oleh Uskup Datuk Cornelius Piong dibantu oleh Rev. Fr. Rudolp yang merupakan pengasas Audio Kupi Rohani.

Misa dihadiri oleh penyampai dan pendengar Kupi Rohani serta umat sekitar Paroki Keningau dan Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

“Tuhan yang kita kenal adalah Tuhan yang berkomunikasi. Tuhan punya banyak cara untuk berhubung dengan umatNya iaitu melalui Nabi-nabi dan PuterNya sendiri. Tuhan ingin umatNya mendengar terutama sekali firmanNya yang menyelamatkan,” Ujar Uskup.

Uskup berpesan agar menjadikan Firman Tuhan sebagai pedoman hidup masing-masing dan berbuah melalui firmanNya. Dengan adanya Kupi Rohani, suara dan pesan Tuhan setiap hari dapat didengari melalui penyampai yang telah dipakai Tuhan untuk menjadi saluran kehadiranNya. Bukan hanya mendatangkan kebaikan kepada penyampai, tetapi juga membuahkan buah yang baik kepada pendengar iaitu buah pertobatan.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar menggunakan saluran media massa dengan baik dan berfaedah, dengan mengambil contoh menyebarkan maklumat penginjilan audio kupi rohani untuk didengari oleh semua umat walau di mana berada.

 Semoga Audio Kupi Rohani ini dapat diteruskan sesuai dengan Misi Pastoral “Berjalan bersama dalam Kesetiaan, Kesatuan dan Kekudusan Yesus Kristus.”

Rev. Fr. Rudolph Joannes, Pengasas Audio Kupi Rohani dalam ucapannya

Fr. Rudolp menyatakan kegembiraan dan kesyukurannya kerana dengan adanya audio Kupi Rohani ini, mampu menjangkau umat di seluruh Keuskupan terutamanya sekali kawasan stesen luar yang jarang dilawati paderi.

Perjalanan selama dua tahun telah banyak mengembangkan penyebaran audio Kupi Rohani. Sebuah aplikasi telefon pintar iaitu “Kupi Rohani – Audio” telah dilaksanakan dan sedang melalui penambahbaikan. Melalui aplikasi ini, bacaan injil serta renungan setiap hari melalui penyampai seperti Uskup, para paderi, religius, katekis serta umat awam mudah diakses. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Playstore bagi pengguna telefon pintar Android. DD

Jualan baju Kupi Rohani untuk pencarian dana
Umat mengabadikan kenangan bersama Uskup dan Fr. Rudolph