PASISIMPUNGAN KOIR VETERAN

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Sook-Belum pun bahang Pesta Koir Belia beransur pudar, Paroki Gereja Roh Kudus Sook pula menjadi destinasi seterusnya untuk menghangatkan sebuah penganjuran yang bersifat koir di Keuskupan Keningau.

“Pasisimpungan Koir Veteran 2022,” atau Perkumpulan Koir Veteran 2022 adalah nama penganjuran kali ini. Kata “Pasisimpungan” berasal dari bahasa Murut, dan diterjemahkan sebagai “Perkumpulan” dalam bahasa Melayu, menandakan bahawa penganjuran bukan sahaja sebuah pertandingan, tetapi lebih dari itu  sebagai wadah kesatuan semua paroki di Keuskupan Keningau.

Perkumpulan kali ini diadakan di Dewan Paroki Roh Kudus Sook pada 23 Oktober yang lalu. Semua 9 paroki dan 1 mission menyertai pertandingan kali ini. Para peserta dan penonton mula membanjiri dewan sebelum jam 7.00pm lagi. Kelibat para paderi dari setiap paroki juga kelihatan.

Semasa sesi ucapan, vicar general  Keuskupan Keningau yang baru, Msgr.Gilbert Lasius mengatakan bahawa penganjuran ini adalah sangat baik, kerana ia bukan sahaja boleh memperbanyakkan lagu-lagu liturgi tetapi juga menambahbaikkan lirik-liriknya untuk dimuatkan di Pozoo Do Kinoingan .Klerus itu juga menegaskan 2 kriteria yang perlu ada dalam sebuah lagu iaitu ia bersifat doa dan sesuai dengan iman kita. 2 kriteria ini akan membawa pendengar untuk dapat menghayati lebih mendalam tentang Misteri Penyelamatan Allah dan ajakan untuk hidup dalam kekudusan. “Oleh itu adalah lebih baik setiap ciptaan lagu kita, diteliti dan diperiksa oleh para paderi agar ia mempunyai rasional teologi yang baik,”tutup klerus itu.

Puan Nirwanah John Dunggi, pengerusi MPP Paroki Sook pula mengatakan kepada semua yang peserta yang bertanding agar sentiasa berfikiran positif untuk mengekalkan kesatuan diantara paroki walauapapun keputusan pertandingan nanti. Beliau juga mengalu-alukan kedatangan ketua MOT, Sdra.Andrian Robert, Ketua LOT, Sdra.Henry, Paderi Paroki Sook, Fr.Boniface Kimsin, dan semua yang hadir. “Ucapan terima kasih setinggi-tingginya kepada Fr.Paul Mikin, kerana idea dan inisiatif yang dimulakannya sehingga penganjuran ini dapat direalisasikan,” puji pengerusi MPP itu lagi.

Pada pertandingan edisi pertama ini, Paroki St.Theresa, Tambunan telah menjadi pemenang dan mengondol Piala Kejuaraan, Piala Pusingan, Sijil dan wang tunai rm2500. Tempat kedua  pula jatuh kepada tuan rumah, Paroki Roh Kudus, Sook dan Paroki St.Valentine Beaufort tempat yang ketiga. Lirik terbaik pula dimenangi oleh Paroki St.Peter Bundu, Kuala Penyu dengan lagu, “Roh Kudus turun ke atas para Rasul”. Berdasarkan kejayaan penganjuran kali ini, ia akan diteruskan lagi pada masa hadapan iaitu sekali dalam 2 tahun, dan Paroki Holy Cross, Toboh, Tambunan akan menjadi destinasi perkumpulan seterusnya.

Sharing is caring!