Keningau – Pada 11 Julai yang lalu, rombongan umat dari Paroki St Martin, Telupid telah mengadakan kunjungan ke Pusat Pembentukan Pastoral Keuskupan Keningau (PPPKK). Rombongan ini seramai 40 peserta dan diketuai oleh Paderi Paroki St Martin, Telupid iaitu Rev Fr Jasery Gabuk. Tujuan kunjungan pada kali ini adalah untuk mengenal, mengetahui dan tujuan mengapa Pusat Pembentukan Pastoral didirikan.
Pada kesempatan itu, Encik John Lainsin selaku staf membawa para peserta untuk melihat bangunan Pusat Pembentukan Pastoral sekaligus memberi informasi yang diperlukan. Setelah itu mereka dibawa masuk ke dewan untuk mendengar taklimat berkaitan dengan tujuan Pusat Pastoral ini dibangun.
Encik John Lainsin menceritakan bahawa pada awal mula berdirinya Pusat Pastoral ini, banyak sekali peserta yang dikirim oleh Keuskupan masing-masing untuk mendapat pembentukan berkaitan dengan kursus-kursus yang telah ditawarkan. Memang pada awal mula, kewangan menjadi masalah namun semua ini dapat diatasi dengan bantuan dari Keuskupan yang selalu memperhatikan keperluan yang diperlukan.
Di Pusat Pembentukan Pastoral inilah para peserta dibentuk dan diajarkan materi-materi yang diperlukan untuk memenuhi pra-syarat untuk suatu tugas yang akan diemban nanti. Disini para peserta dibina untuk menjadi seorang Katekis yang tangguh dan mampu menjadi tangan-tangan bagi para paderi, seorang lektor dipersiapkan untuk dapat membawakan Firman Tuhan dengan sebaik mungkin dan para peserta yang mengikuti kursus Pelbagai Macam Doa juga dipersiapakan agar mereka dapat melayani umat yang memerlukan bantuan pelayanan.
Setelah selesai taklimat dari Encik John Lainsin, Rev Fr Jasery Gabuk mengucapkan terima kasih kerana telah sudi menerima kehadiran mereka. Kedatangan mereka ke tempat ini, adalah untuk lawatan sambil belajar dan sedikit sebanyak telah memperolehi informasi berkaitan dengan kursus-kursus yang ditawarkan. Beliau berharap agar semakin banyak umat yang mahu mengikuti kursus-kursus yang telah ada untuk dapat melayani umat-Nya dengan lebih baik lagi.
Sebelum meninggalkan Pusat Pembentukan Pastoral, Rev Fr Jasery Gabuk mengambil kesempatan bergambar dengan rombongan dan staf PPPKK. Pengerusi MPP KSFX, Pn. Stella Kinsik mewakili Katedral KSFX mengucapkan terima kasih untuk lawatan sambil belajar ini dan berharap dapat berjumpa lagi di lain masa.