Renungan Hari Minggu Biasa Ke 27 ( B )
Kej. 2:18-24 Ibr. 2:9-11 Mrk.10:2-16
Adalah konon seorang isteri yang merasa tertekan meminta nasihat daripada seorang pembimbing perkahwinan, “Saya membenci suamiku,” katanya. “Dia membuat hidupku seperti di dalam neraka. Saya ingin bercerai dan membuat segala sesuatu sesukar mungkin untuknya.”
Pembimbing itu menasihatinya, “Mulailah menghujaninya dengan puji-pujian dan turutilah segala kemahuannya. Kemudian apabila ia menyedari betapa ia memerlukan kehadiranmu, datang semula bertemu dengan saya untuk menguruskan perceraianmu.”
Enam bulan kemudian, sang pembimbing bertemu dengan wanita tersebut dan bertanya, “Bilakah engkau menguruskan perceraianmu?” “Kau gilakah?” jawab wanita tersebut dengan nada yang marah, “Kami sekarang hidup bahagia!”
Menurut satu kajian belum lama dahulu, satu daripada tujuh pasangan perkahwinan di Malaysia, berakhir dengan perceraian. Punca perceraian tersebut bolehlah dianggap remeh temeh iaitu disebabkan kurang persefahaman, suami tidak bertanggung jawab dan gangguan daripada pihak yang ketiga.
Betapa pun hebatnya kejayaan seseorang manusia, tidak setanding dengan kejayaan seseorang yang hidup bahagia dengan keluarganya. Memang tidak dinafikan sekarang ini kita berada di tengah-tengah budaya berperang, budaya bunuh dan sasaran utamanya adalah keluarga.
Apabila orang-orang Farisi mencubai Yesus dengan bertanya apakah perceraian itu diperbolehkan, Yesus mengambil kesempatan tersebut untuk menegaskan nilai-nilai luhur suatu perkahwinan. Bahawa orang yang berkahwin bukan lagi dua tapi menjadi satu. Maksudnya, perkahwinan itu merupakan suatu komitmen untuk tetap setia baik dalam suka mahupun duka. Yesus menegaskan pula bahawa apa yang disatukan oleh Allah, tidak boleh diceraikan oleh manusia. Maka itulah sebabnya perkahwinan poligami, iaitu kahwin lebih daripada satu tidak diperbolehkan.
Setiap perkahwinan pasti mempunyai pelbagai masalah. Misalnya perselisihan faham, tidak puas hati, merasa tidak dipedulikan. Pada waktu seperti itulah biasanya pasangan mulai berfantasi betapa baiknya jika dia berkahwin dengan orang lain atau hidup membujang sahaja daripada terikat dan terperangkap di dalam suatu hubungan yang kekal tetapi menyakitkan.
Walaupun menghadapi pelbagai masalah, sebenarnya ianya merupakan suatu berkat bahawa kita diuji untuk tidak memilih jalan yang mudah, tetapi mencari jalan penyelesaian yang kreatif. Maka dengan demikian perkahwinan itu akan menjadi suatu sekolah cinta kasih yang mendalam di mana kita mempelajari siapa kita sebenarnya di dalam perhubungan suami isteri itu, keperluan mengampuni dan diampuni serta sikap lebih memahami daripada difahami, menghargai daripada dihargai.
Sedar bahawa perkahwinan itu tidak selalu menjanjikan kebahagiaan jika kita tidak mengusahakannya, maka lima resepi perkahwinan berikut ini baik untuk direnungkan dan diamalkan agar ungkapan ‘cerai’ tidak muncul di dalam minda kita:
- Setiap pasangan perlu mengambil masa untuk bersama setiap hari. Suatu masa hanya untuk mereka berdua saling meluahkan perasaan secara telus.
- Pasangan juga perlu belajar untuk mengambil masa bersendirian untuk memperkembangkan bakat-bakat, hobi sendiri.
- Pasangan perlu belajar bagaimana menyelesaikan sesuatu masalah. Masalah dalam perkahwinan pasti muncul sewaktu-waktu yang boleh meretakkan hubungan mereka. Maka pendekatan yang bersifat rasional dan bertolak ansur perlu diamalkan. Memang boleh berselisih faham tapi jangan sampai memudaratkan perhubungan.
- Peribadi pasangan datang daripada latar belakang yang berlainan, maka selalu menghadapi keperluan yang bertentangan pula. Belajar untuk bertolak ansur pasti dapat banyak membantu dalam memenuhi keperluan sendiri dan keperluan pasangan.
- Jangan lupa mengambil masa bersama secara konsisten dalam membaca Kitab Suci dan berdoa bersama serta saling mendoakan. Dengan berbuat demikian, maka Allah akan menjadi bahagian penting dalam kehidupan pasangan tersebut dan merupakan sumber kekuatan dan ketahanan hubungan perkahwinan pasangan.
Cara lain lagi untuk mewujudkan keintiman suami isteri dan anak-anak adalah membuat hari Ahad sebagai hari bebas tanpa kerunsingan dan tidak dikejar masa untuk bersama ke gereja dan aktiviti keluarga. Dengan berbuat demikian maka kehidupan suami isteri dan anak-anak akan lebih mesra sehingga segalanya kelihatan dalam bentuk perspektif yang jelas.
Ada orang mengatakan bahawa perkahwinan itu bagaikan zip. Ada terdapat dua deret gigi pada setiap zip. Gigi-gigi itu masuk ke satu sama lain dengan rapinya. Tetapi kita tidak akan pernah dapat menutup zip kecuali kita menggunakan kepada zip tersebut yang menutup gigi-gigi itu bersama dengan menguncinya.
Dalam perkahwinan hal yang sama terjadi. Dua orang mungkin boleh menjadi erat seperti dua sisi zip, tetapi jika mereka menjauhkan Tuhan dari kehidupan dan perkahwinan mereka, maka mereka sepeti sebuah zip tanpa kepalanya. Maka Uskup Cornelius Piong biasa berkata, “Untuk perkahwinan yang selamat, diperlukan tiga pihak: Lelaki, wanita dan Tuhan,” apabila beliau menyentuh tentang perkahwinan, sambil menyempurnakannya dengan kata-kata Yesus, “Sebab di luar Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa” (Yoh 15:5).
Mengasihi pasangan secara mendalam pula sungguh memerlukan tahap kerendahan hati yang luar biasa. Luar biasa kerana berani berkata, “Maafkan saya!” lebih luar biasa lagi jika kita sanggup berkata dengan ikhlas, “Aku maafkan engkau?…” ditambah lagi dengan kata-kata bernada romantik… “Let by gones be by gone forever…”, setiap kali kata-kata “maafkan dan dimaafkan” diungkapkan oleh para pasangan.
Ajaran kristian tentang perkahwinan bagaikan ubat pahit yang harus ditelan. Namun kesetiaan perkahwinan mempunyai nilai yang indah. Kesetiaan dapat mengalahkan segala kesulitan dalam kehidupan bersuami isteri sebab para pasangan sentiasa diingatkan akan janji-janji mereka dahulu ketika melafazkan janji perkahwinan di hadapan Tuhan, disaksikan oleh Paderi dan handai taulan: “Aku mengasihimu baik dalam masa suka mahupun duka, sihat mahupun waktu sakit…, masih ingatkah engkau…?”
Hendaknya perkataan CERAI dibuang dari kamus kehidupan pasangan suami isteri. Amalkan kata “Aku cinta padamu baik dalam masa suka mahupun duka…” Bila? Hari ini juga supaya bibit-bibit kesetiaan itu bertumbuh sebab, “Kesetiaan lebih penting daripada kejayaan,” kata Ibu Teresa. Dan tentunya di dalam perkahwinan pun demikian juga… kesetiaan lebih penting daripada kejayaan…! (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:
- Apakah yang anda fahami mengenai kata-kata Yesus ini: “..apa yang dipersatukan Allah tidak boleh diceraikan manusia” (Mk 10:9)?
- Menurut pengalaman anda, apakah cara-cara yang terbaik untuk menjaga kekekalan sesebuah perkahwinan itu agar sentiasa segar, dipenuhi dengan cinta kasih dan sikap bertolak ansur?
Cadangan aktiviti minggu ini:
Buatlah rancangan jangka panjang untuk melancung dengan pasangan. Untuk jangka pendik pula, cubalah tetapkan masa untuk piknik atau melakukan aktiviti yang melibatkan anda sekeluarga sahaja.