KITA DICIPTA TUHAN UNTUK MELAYANI

Hari Minggu Biasa Ke 25 ( B )

Keb.2:12,17-20      Yak.3:16 – 4:3      Mrk.9:30-37

anthonyAnthony De Mello, seorang penulis renungan yang terkenal, pernah menulis sebuah renungan yang bertajuk, “Anda diciptakan untuk melayani.”

Saya melihat ada seorang gadis cilik di tepi jalan, kedinginan, mengigil dan kelaparan. Saya menjadi marah pada Tuhan dan berkata, “Tuhan, mengapa Engkau membiarkan perkara ini berlaku kepada gadis cilik ini? Mengapa Engkau tidak berbuat sesuatu?”

Pada malam itu juga saya mendengar suara kecil jauh di dalam lubuk hati saya yang berkata, “Saya sudah berbuat sesuatu untuk itu, dengan menciptakan engkau. Apa yang telah engkau perbuat terhadap hal itu pula?

Sedar atau tidak, kita sebenarnya dicipta Tuhan untuk melayani, bukan lebih-lebih untuk dilayani atau menyuruh orang lain melakukan sesuatu agar keadaan menjadi baik. Pengantar Injil pada hari ini berbunyi: “Allah memanggil kita untuk memperoleh kemuliaan Tuhan kita Yesus Kristus” (2Tes 2:14), hanya dengan syarat, jika kita mahu melayani seperti Dia dan bukan untuk dilayani.

Sejak dahulu hingga sekarang, memang banyak orang lebih suka dilayani daripada melayani. Orang lebih suka berada di muka umum dengan menampakkan kelebihan-kelebihan dan kejayaannya. Memang banyak orang suka mengumpulkan harta benda dan wang ringgit yang banyak untuk didermakan kepada badan-badan kebajikan yang terdaftar supaya nama mereka terpampang di muka depan surat-surat khabar utama serta mengukir nama mereka di papan-papan perasmian bangunan yang mendapat derma daripada mereka. Ada juga orang-orang yang ingin terkenal melalui buku-buku yang dikarangnya serta meraih pelbagai ijazah. Ada juga mahu terkenal dengan cara menjadi penceramah bebas baik di dalam Gereja mahupun di luar Gereja. Malah ada juga yang mencipta lagu dan menerbitkan banyak album lagu-lagu yang dinyanyikannya sendiri. Kesemuanya ini tidak mempunyai nilai di mata Tuhan jika ianya hanya dilaksanakan berlandaskan kepentingan diri sendiri serta meraih keuntungan dan hanya untuk kemegahan sendiri.

Sikap-sikap duniawi, seperti inipun sebenarnya pernah dialami sendiri oleh para murid Yesus seperti yang terdapat dalam Injil hari ini. Mereka bertengkar kerana berebut-rebut tempat tertinggi sebab mereka menyangka Yesus datang ke dunia ini untuk membentuk sebuah kerajaan duniawi. Maka tidak hairanlah kebanyakan ahli-ahli politik di masa kini pun, saling berebut-rebut untuk mendapat tempat tertinggi di dalam kerajaan dengan apa cara sekalipun demi mencapai cita-cita mereka. Semua perkara-perkara ini berlaku mungkin sikap keegoan manusia yang agak keterlaluan sehingga membawa mala petaka pada diri sendiri pula.

Konon suatu ketika, seekor munsang bertemu seekor ayam jantan. Dasar munsang, dia ingin memakan ayam tersebut dengan cara yang licik. “Hai ayam jantan, perdengarkanlah saya suaramu yang merdu itu.” Oleh kerana bangga kerana dipuji maka berkokoklah si ayam jantan yang ego itu. Pada saat itulah sang munsang menerkamnya lalu melarikannya ke dalam hutan. Orang-orang kampung yang melihat lalu berteriak, “Hoi munsang lepaskan ayam kami.” Ayam jantang yang mulai sedar bahawa dia ditipu, lalu berkata, “Hei munsang, katakanlah kepada orang kampung itu, ‘ayam ini saya punya’ dengan suara yang nyaring.” Sang munsang yang bodoh itu lalu berteriak sekuat tenagannya, “Hai orang kampung, ini ayam sayaaaaaaaaaaaa!” Ayam terlepas dari mulutnya, lalu terbang menyelamatkan dirinya. Munsang marah pada dirinya sendiri lalu menghempas-hempaskan mulutnya dipokok kayu hingga berdarah, “Bodoh, saya memang bodoh, jika tidak malam ini saya makan ayam.”

Pesan Injil pada hari ini sangat mudah dan sederhana. Yesus mengharapkan agar kita berusaha secara sedar, tahu dan mahu untuk tidak mementingkan diri sendiri, tidak terlalu mengharapkan pangkat dan kedudukan. Walaupun seseorang itu berkuasa, terkenal dan disegani, namun jika dia berjiwa sederhana, rendah hati, maka dia akan sentiasa ingat bahawa segala yang dimilikinya itu adalah dari Allah, sebab, “Makin besar engkau, makin patut kau rendahkan dirimu supaya kau dapat karunia di hadapan Tuhan” (1Sir 3:18). Sikap yang terpuji ini boleh kita miliki hanya jika kita sanggup menolak pengaruh sikap dengki dan cemburu yang keterlaluan di dalam hidup kita.

serveYesus berkata, “Orang yang mahu menjadi nombor satu, ia harus menjadi yang terakhir dan harus menjadi pelayan semua orang” (Mk 9:35). Dengan kata lain, kehebatan kita dinilai oleh Tuhan melalui pelayanan kita terhadap sesama dan komuniti kita tanpa mengharapkan pangkat, pendapatan yang lumayan atau keberuntungan di masa akan datang.

Salah satu peluang yang ada pada kita adalah menggunakan bakat-bakat yang kita miliki untuk membantu sesama kita melalui pelayanan kasih. Selain wang ringgit dan harta milik, kita sebenarnya mempunyai banyak sumber yang kita miliki untuk dikongsikan pada sesama kita. Misalnya kita mempunyai kemahiran teknologi maklumat, kepimpinan dalam masyarakat dan Gereja, mahir dalam perdagangan, kewangan dan macam-macam lagi. Ini hanyalah sekadar beberapa contoh yang boleh kita kongsikan bagi kepentingan sesama dalam komuniti kita. Sebab, apabila seseorang itu menggunakan bakat-bakat yang dimilikinya demi pelayanan sesamanya, percayalah dia akan mengalami suatu kepuasan yang tak terkatakan sebab dia akan menjadi seperti Yesus yang datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani.

Sebagai renungan kita seterusnya, konon ada seorang pemuda mengeluh kepada malaikat pelindungnya begini: “Melayani, melayani, melayani. Saya sudah puas dan penat melayani dari dahulu hingga sekarang. Bolehkah saya rehat melayani sesama saya sekarang?” Malaikat menjawab, “Tuhan dari dahulu hingga sekarang terus melayani, melayani dan melayanimu. Bagaimana kalau Tuhan berhenti melayanimu sekarang…? Fikir-fikirkanlah. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

  1. Orang yang bagaimana menurut Yesus adalah orang yang terhebat dan terunggul, lebih-lebih lagi jika dia itu seorang pemimpin?
  2. Apakah perbezaan kehebatan dan keunggulan seorang pemimpin duniawi dengan pemimpin kristiani?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Mungkin selama ini kita selalu berkata, “Mengapa, mengapa, mengapa Tuhan?” Tetapi cubalah ubah sikap kita agar lebih positif dengan mengatakan “Mengapa tidak?” apabila kita menghadapi pelbagai masalah kehidupan, sehingga masalah menjadi kesempatan baik untuk kita melakukan sesuatu untuk sesama demi kemuliaan Tuhan.

Sharing is caring!