HARI MINGGU BIASA KE – 12 ( A )
Bc.1.Yer.20:10-13 Bc.2. Rom.5:12-15 Bc.3. Mat 10:26-33
Umat sekalian dalam Kristus! Tujuan hidup kita ialah hidup bahagia bersama Tuhan, baik di dunia ini mahupun di akhirat kelak. Tuhan memanggil kita kepada kebahagiaan itu dan menghindarkan ketakutan; Ia menunjukkan jalan dan Ia memberikan kepada kita daya upaya supaya tetap berani berjuang untuk mencapai tujuan itu. Marilah kita selalu mengucap syukur atas karunia iman yang teguh, dan memohon agar kita semakin hidup sesuai dengan iman itu.
JANGAN TAKUT!
Jangan takut …. Tidak ada apa yang perlu ditakuti!
Yesus dengan tegas memberitahu murid-murid-Nya supaya tidak takut. Yesus tahu bahawa murid-murid-Nya akan menghadapi penganiayaan yang akan menggoncangkan iman mereka. Bahkan mereka akan dihukum mati kerana mempertahankan iman mereka… Kerana itu, Yesus ingin memberitahu mereka supaya tidak diselimuti dengan ketakutan dan berhenti takut untuk mewartakan khabar baik dari atas atap rumah, walau sekali pun berhadapan dengan bahaya.
Pada hari ini, ramai umat Kristian yang dianiaya dan dibunuh kerana taat setia mempertahankan iman sebagai pengikut Kristus. Kita percaya bahawa mereka rela dianiaya dan dibunuh dengan cara yang mengerikan kerana mereka yakin akan janji Yesus, “Janganlah kamu takut kepada mereka yang dapat membunuh tubuh, tetapi yang tidak berkuasa membunuh jiwa: takutlah terutama kepada Dia, yang berkuasa membinasakan baik jiwa mahupun tubuh di dalam neraka.” Jadi, jangan takut kerana Tuhan berpihak kepada kita.
Bagi kita yang mungkin tidak menghadapi cabaran iman seburuk itu, kita juga diajak oleh Yesus supaya berpegang kepada kata-kata-Nya “Jangan takut…” dalam masa kita menghadapi berbagai-bagai cabaran hidup. Tiap-tiap kita apapun status dan keadaan kita, kita tetap berharga di mata Tuhan. Kalau rambut yang terkecil dalam anggota badan kita masih terhitung sebagai yang berharga dan kalau burung pipit mendapat makan tanpa jerih payah, apa lagi kita manusia yang diciptakan menurut rupa dan gambarnya amatlah berharga dan dilindungi dari segala apa yang menakutkan.
Jangan kita jadi lemah sehingga kita menggadai iman kita. Jika kita menggadai tubuh kita kerana iman itu adalah tindakan yang sangat mulia. Namun jika kita jatuh kita akan kehilangan Tubuh dan Jiwa kita kerana Yesus memberi amaran bahawa “Setiap orang yang mengakui Aku di depan manusia, Aku juga akan mengakuinya di depan Bapa-Ku di syurga. Tetapi sesiapa yang menyangkal Aku di depan manusia, Aku juga akan menyangkalnya di depan Bapa-Ku yang di syurga.” Amat dasyat akibatnya jika kita dengan sedar menyangkal Tuhan.
“Kita berhadapan dengan banyak cabaran dalam hidup kita; kemiskinan, tekanan, penganiayaan, ketidakadilan, kesulitan untuk bertaubat, kesulitan untuk setia dalam hidup kekudusan dan banyak lagi yang lain. Namun jika kita terbuka kepada Yesus dan membenarkan Dia menjadi pusat hidup kita, dan jika kita kongsikan sukacita dan penderitaan kita dengan-nya maka kita akan mengalami sukacita dan damai sejahtera kerana hanya Dia sahajalah yang dapat menganugerahkan itu kepada kita kerana kasih-Nya tidak berkesudahan” (Pope Francis).
Semoga kesulitan hidup kita ini tidak mengambil tempat sukacita dan damai yang sudah tertanam dalam diri kita melalui kuasa Roh Kudus yang telah dianugerahkan kepada kita melalui Sakramen Penguatan. Marilah kita ajak Yesus dalam hidup kita supaya kita dapat berjalan bersama dengan Dia tanpa sebarang ketakutan.
Ya Allah, kami telah disegarkan dengan santapan Tubuh Kristus yang kudus dan mulia.
Penuhilah kami dengan kerahiman-Mu agar misteri yang berulang kali kami rayakan ini menjadi jaminan penebusan kami. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa. Amin.