PEMBERKATAN GEREJA ST.PETRUS PENOPOK

pemberkatan gereja membakut 1

Membakut – Pemberkatan gereja St.Petrus Penopok telah diadakan pada 8 Januari 2017 yang lalu. Gereja ini merupakan salah satu daripada 6 stasi luar paroki St.Patrick Membakut dan boleh memuatkan kira-kira 50 orang umat pada satu-satu masa. Mandat pelaksanaan pemberkatan telah diberikan oleh Bapa Uskup Rev.Datuk Cornelius Piong kepada paderi paroki, Rev.Fr.Paul Mikin. Pemberkatan ini telah dilakukan sebelum misa kudus berlangsung , tepat jam 11.30 pagi.

Didalam ucapan nya, pengerusi Komuniti Umat Katolik (KUK) gereja St.Petrus merangkap pengerusi pelaksana pembinaan gereja baru ini , saudara Jepinin Gompisos menggunakan terima kasih diatas kehadiran semua umat yg datang menyaksikan upacara pemberkatan tersebut, lebih-lebih lagi kepada pengerusi KUK bagi stasi luar yang berdekatan kerana banyak membantu dari segi persiapan upacara pemberkatan ini.

pemberkatan gereja membakut 2

Pengerusi Majlis Pastoral Paroki St.Patrick Membakut, saudara Osmund Osmin Benati didalam ucapan nya, mengucapkan terima kasih kepada mantan ahli jawatankuasa MPP penggal lalu yg diketuai oleh Saudara Mathews Oming kerana telah berusaha mencari dana dan memantau pembinaan gereja baru ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Puan Yura Masusih yang telah mendermakan sebidang tanah beliau kepada gereja sebagai tapak gereja yang baru. Selain itu, saudara Osmund juga berterima kasih kepada Pengerusi MPP Paroki St.Peter Bundu Kuala Penyu, saudara Simon Masusih dan individu perseorangan yang telah banyak memberi sumbangan berupa bahan-bahan pembinaan mahupun wang ringgit selama pembinaan gereja baru ini berlangsung.

Rev.Fr.Paul Mikin didalam ucapan nya pula berkata, gereja merupakan symbol kesatuan umat. Beliau berharap agar dengan adanya gereja baru ini, umat di Penopok mahupun dari kampung-kampung berdekatan yang datang bersembahyang disini akan lebih bersatu didalam iman mereka dan dapat menjaga gereja baru ini dengan sebaiknya demi pembangunan iman umat katolik di kampung tersebut.

Misa Kudus diakhiri dengan upacara menandatangani perjanjian penyerahan tanah tapak gereja diantara Pn.Yura Masusih dan pihak gereja yang diwakili oleh Fr.Paul Mikin serta disaksikan oleh AJKT MPP dan juga umat.

Selepas misa kudus pemberkatan, Fr.Paul Mikin bersama-sama dengan AJKT MPP serta pengerusi-pengerusi KUK dan KKD serta semua umat dijemput bersama untuk makan tengahari di rumah Pn.Yura Masusih serta di dewan kampung Penopok dan seterusnya fellowship ringkas dimana cabutan tiket bertuah diadakan sebagai kemuncak acara majlis pada hari tersebut. Acara berakhir pada jam 5 petang.

REKOLEKSI KAROLING PAROKI ST.PATRICK MEMBAKUT

img_0513

Pada 03 Disember 2016 yang lalu, Komiti Kerasulan Belia Katolik Paroki St. Patrick Membakut telah mengadakan rekoleksi karoling bertempat di Paroki St. Patrick Membakut. Seramai 220 orang peserta telah menyertai program ini yang terdiri dari kalangan belia-beliawanis dan turut serta juga beberapa ibubapa yang datang dari sekitar KKD dan KUK. Program yang diketuai oleh saudari Elcy Justin selaku koordinator bermula seawal pagi jam 7.00 dengan sesi pendaftaran dan sesi seterusnya dengan puji-pujian dan suai-kenal antara sesama peserta. Sesi pertama yang bertema “Apakah itu Adven dan Krismas” disampaikan oleh Rev. Fr. Harry Dorisoh. Dalam sesi tersebut, beliau menerangkan masa adven merupakan masa untuk merenung kembali peribadi masing-masing, memperbaharui iman dan bertobat. Beliau menerangkan maksud perkataan adven yang berasal dari kata”Adventus” dalam bahasa Latin ialah bermaksud “Penantian” dimana umat Kristian memperingati kembali penantian kedatangan Juruselamat dunia melalui kelahiran Yesus Kristus dan juga masa untuk umat berjaga-jaga dan mempersiapkan diri dengan kedatangan Tuhan Yesus ke dunia buat kali kedua pada akhir zaman. Beliau juga menerangkan maksud Krismas dan bagaimana bermulanya perayaan Krismas atau sambutan kelahiran Yesus yang dirayakan pada setiap bulan disember iaitu melalui peristiwa Khabar gembira dari Malaikat Gabriel kepada sang perawan Maria pada bln mac menurut Kitab Suci. Perkataan Krismas iaitu berasal dari perkataan “Christ”(Kristus) dan “Mass”(Misa) itu menerangkan bahawa peribadi Tuhan Yesus Kristus merupakan inti dan tujuan utama yang dirayakan dalam Misa Kudus melalui peristiwa kelahiran-Nya ke dunia untuk karya penyelamatan manusia dari dosa. Selain itu, Rev. Fr. Harry Dorisoh juga telah memberi latihan vokal dimana para peserta dibahagi kepada 4 kumpulan untuk setiap bahagian suara iaitu soprano, alto, tener dan bass. Para peserta dapat mempelajari bagaimana teknik untuk melontarkan suara dengan cara pernafasan dan sebutan yang betul. Beliau menegaskan untuk menjadi seorang koir yang mantap haruslah bersiap sedia dan menyanyikan setiap lagu pujian dengan penuh semangat dan penghayatan sehingga umat yang mendengarnya dapat merasakan kehadiran Tuhan Yesus melalui lagu-lagu yang dinyanyikan. Sesi kedua pula ialah sesi brainstorming yang disampaikan oleh saudari Elcy Justin. Dalam sesi ini para peserta dibahagi kepada kumpulan-kumpulan kecil dan mereka diminta untuk mengongsikan pengalaman mereka sepanjang perjalanan mereka di dalam pewartaan khabar gembira di tempat masing-masing. Setiap kumpulan dibimbing oleh 2 orang fasilitator. Selepas sesi ini, para peserta mempersiapkan diri untuk merayakan Perayaan Ekaristi dan seterusnya menerima pengutusan. Perayaan Ekaristi dipimpin oleh Rev. Fr. Harry Dorisoh. Selepas Perayaan Ekaristi, program diteruskan dengan makan tengahari dan rehat. Masa rehat ini, para peserta mengambil masa untuk bergambar beramai-ramai. Sesi yang seterusnya ialah sesi ‘bengkel’ yang dikendalikan oleh saudari Edith Clara George bersama belia senior dan veteran. Dalam bengkel ini, para peserta dibahagi kepada 6 kumpulan dan sepanjang bengkel ini mereka dibimbing untuk menyanyikan lagu-lagu baru adven dan lagu Krismas yang sedia ada dengan melodi yang betul. Selain itu, para pemain gitaris juga dapat mempelajari rentak musik dan kod bagi setiap lagu yang ada. Para peserta kemudiannya mempersembahkan lagu-lagu yang telah dipelajari mengikut kumpulan masing-masing. Turut berkesempatan membuat persembahan ialah dari belia senior dan veteran sebagai pemberi/suntikan semangat kepada peserta. Di akhir program ini, para peserta diberi penerangan mengenai tatacara pewartaan khabar gembira dan seterusnya penyampaian panduan tatacara tersebut oleh sdri. Elcy Justin kepada setiap pengerusi belia KKD dan KUK. Dalam pesanan Pengerusi Komiti Kerasulan Belia Katolik Paroki St. Patrick Membakut iaitu sdri Edith Clara George mengingatkan kepada para peserta agar dapat menjaga disiplin dan berpakaian kemas sepanjang lawatan. Beliau menerangkan bahawa setiap peserta yang telah menerima pengutusan dalam rekoleksi ini diberi tanggungjawap untuk memimpin dalam lawatan khabar gembira di tempat masing-masing, dan bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk bersama dalam rekoleksi ini masih boleh menyertai lawatan tersebut sebagai ahli koir. Beliau juga menegaskan tentang tujuan utama di dalam lawatan tersebut adalah untuk mewartakan khabar gembira tentang Tuhan Yesus dan bukannya kepada santa claus. Para peserta juga diingatkan untuk sentiasa membawa dalam doa sepanjang perjalanan lawatan agar sentiasa dilindungi Tuhan. Program diakhiri dengan bacaan injil dan doa belia St. Patrick Membakut yang dipimpin oleh sdra. Roger Polmin (Tim Koordinator ) brsama sdri Elcy Justin (koordintor). -by Janevvey Stephen

MISA KUDUS PENUTUPAN PINTU SUCI BERBELAS KASIH GEREJA ST PATRICK MEMBAKUT

15032300_1242844019095859_2799572907374873449_n

Membakut – Walaupun telah diumumkan Misa Kudus bermula jam 5 petang, namun umat telah mula membanjiri perkarangan Gereja St. Patrick Membakut sekitar jam 2 petang lagi. Lebih 2000 umat yang datang bukan sahaja dari paroki-paroki di Keuskupan Keningau malah terdapat juga ratusan umat yang dari Keuskupan Kota Kinabalu khususnya umat dari daerah Papar dan Penampang. Umat yang datang dari dekat dan jauh ini sanggup berdiri berjam-jam malah tidak mempedulikan hujan yang turun kerana mahu memasuki buat kali terakhir dan menyaksikan upacara Penutupan Pintu Suci Berbelas Kasih  Gereja St. Patrick Membakut.

15036380_1242839002429694_5825917234706168366_n

Tepat jam 5 petang, walaupun hujan masih turun renyai-renyai Uskup Datuk Cornelius Piong bersama para paderi berarak dari Rumah Paderi dengan iringan nyanyian Litani Para Kudus dan berhenti di hadapan gereja. Kemudian, Msgr. Gilbert Engan mewartakan Injil sebelum memimpin doa khas untuk memasuki Pintu Suci Berbelas Kasih buat kali yang terakhir. Setelah beliau membuka Pintu Suci tersebut, semua umat dipersilakan masuk bergilir-gilir. Lebihkurang 30 minit barulah umat selesai memasuki Pintu Suci lalu diikuti oleh para paderi dan Uskup Datuk Cornelius di belakang sekali.
15073542_1242839269096334_2661365785143362899_n

Setelah Uskup mengadakan upacara pembukaan Misa Kudus, beliau dan beberapa orang paderi membantunya memberkati umat dengan percikan air berkat di dalam dan luar gereja. Selepas itu, beliau dibantu oleh Msgr. Gilbert menyempurnakan upacara Penutupan Pintu Suci Berbelas Kasih Gereja St. Patrick Membakut dengan menutup dan mengunci pintu tersebut seterusnya kunci diserahkan kepada Pengerusi MPP St. Parick Membakut. Serentak dengan upacara menutup Pintu Suci, Rev. Fr. Paul Mikin selaku Rektor Paroki melaungkan “Pintu Dibuka” bagi membolehkan pintu besar gereja dibuka seperti biasa. Selesai semuanya, Misa Kudus dijalankan seperti biasa.

15000645_1242851665761761_3311663760648473913_o

Di dalam homilinya, Uskup memberitahu umat bahawa walaupun Pintu Suci Berbelas Kasih telah ditutup tetapi belas kasihan Tuhan tidak pernah tertutup kepada umatnya dan belas kasihnya tidak akan memilih walau siapapun kita asal sahaja kita benar-benar mahu meminta belas kasihan daripadaNya. Uskup mengajak umat untuk sama-sama maju dengan kesatuan yang kuat bersama Tuhan agar dapat sama-sama merealisasikan visi dan misi Keuskupan Keningau mahu dibentuk supaya komited dan efektif melayani di dalam kerajaanNya.
Beliau menekankan bahawa sebagai seorang Katolik yang telah dibaptis maka perjalanan iman kita adalah berlandaskan 3 perkara iaitu: Mahu mengenal Tuhan, mahu mengasihi Tuhan dan mahu melayani Tuhan. Menurut beliau, kemungkinan sebelum ini sebagai manusia yang mempunyai pengetahuan yang cetek tentang Tuhan maka kita menyangka bahawa Tuhan itu suka menghukum dan menghakimi. Justeru, kata beliau; kita sangat bersyukur kerana pada Tahun Berbelas Kasih ini sedikit sebanyak kita telah diberi peluang untuk lebih mengenal Tuhan yang sesungguhnya sangat berbelas kasihan kepada semua manusia tanpa mengira pangkat dan kedudukan asal sahaja kita sungguh-sungguh mahu datang kepadaNya kerana Tuhan kita adalah Allah yang sungguh berbelas kasihan. Uskup mengambil contoh sepertimana perumpamaan di dalam Injil yang mengisahkan tentang “anak yang hilang”.

15036380_1242839002429694_5825917234706168366_n

Uskup menyeru umat agar setiap hari mengambil masa untuk berdoa, mengambil masa membaca dan merenung firman Tuhan, mengambil masa untuk aktif melayani di gereja bersama komuniti supaya kehadiran Tuhan itu sentiasa dapat dialami. Sepertimana harapan Sri Paus Francis sempena Tahun Berbelas Kasihan ini, bapa uskup juga mengharapkan perkara yang sama agar setelah kita diresapi semangat berbelas kasihan maka kita semua hendaknya dengan rela membawa dan mengamalkan cintakasih Allah itu kepada sesama kita dan menjadi rela sebagai mata, tangan dan telinga belas kasihan Allah dalam keluarga, komuniti dan masyarakat kita.
Selesai Misa Kudus, Uskup dan para paderi serta umat  menonton “slideshow” yang disediakan oleh Rev. Fr. Dr. Charles Chiew berkaitan dengan Tahun Berbelas Kasih yang telah dijalani selama setahun oleh umat di Keuskupan Keningau. Uskup dan para paderi mengambil tempat di altari setelah selesai menonton “slideshow” seterusnya bersama umat mendengar Msgr. Gilbert mengimbas semula program-program yang telah dan akan dijalankan di Keuskupan Keningau sebagai persiapan menyambut Jubli Perak Penubuhannya pada tahun 2018; Kepimpinan Bersifat Hamba(2014), Keluarga: Anak-anak(2015), Keluarga: Belia(2016), Keluarga: Ibubapa dan Warga Emas(2017) dan Keluarga: KKD, Paroki dan Keuskupan(2018).

15056376_1242844312429163_5403715745104943776_n

Sebelum pemberkatan umat dan sesi bergambar, Uskup datuk Cornelius Piong melancarkan Logo dan “bunting banner” Tahun Keluarga: Ibubapa dan Warga Emas Peringkat Keuskupan Keningau yang akan dilaksanakan bermula Disember tahun ini hingga Mei 2017 dan menyerahkan “Booklet” serta “bunting banner” Tahun Keluarga: Ibubapa dan Warga Emas kepada semua paroki dan MPM Keuskupan Keningau.

Selesai acara di dalam gereja, Uskup dan para paderi serta umat berkumpul di Dewan Paroki untuk menikmati makan malam sebagai tanda kesyukuran. – Marcus Angang

REKOLEKSI KOMITI KOMSOS ST. PATRICK, MEMBAKUT

FB_IMG_1468753320924

Seramai 12 orang ahli Komiti Komunikasi Sosial (KOMSOS) dari Paroki St.Patrick, Membakut telah menyertai rekoleksi pertama mereka pada 16.07.2016. Sesi yang berkonsepkan luar kelas (outdoor) telah diadakan di Sulap Tokou, Kimanis.

Rekoleksi yang dikendalikan oleh Saudara Dennis Patrick tersebut antara lain membincangkan peranan ahli KOMSOS dalam melaksanakan pelayanan mereka bukan hanya untuk paroki mereka tetapi juga secara universal. Para peserta juga dibawa bersama-sama memahami dan mendalami pesanan Paus Fransiskus bersempena dengan Hari Komunikasi Sosial Sedunia 2016.

Cintakasih itu sendiri adalah komunikasi yang membawa kepada keterbukaan dan perkongsian. Tidak akan ada cintakasih tanpa komunikasi.

SEMINAR KEBANGUNAN ROHANI KATOLIK, ST. PATRICK MEMBAKUT

DSC_8534nowm

Membakut – Kelompok Inti Pembaharuan Karismatik Katolik (KIPKK) St.Patrick Membakut dan Sub Pedalaman Bawah Keuskupan Keningau telah menganjurkan seminar Kebangunan Rohani Katolik (KRK) pada 24 hingga 26 Jun 2016 yang lalu. Seminar ini telah diadakan gereja St. Patrick Membakut.

DSC_8677nowm

Seminar tiga hari ini telah menarik seramai 220 orang peserta dari paroki St.Patrick Membakut serta paroki-paroki berdekatan seperti paroki St.Valentine Beaufort, St. Yohanes Sipitang dan paroki st. Peter Bundu, Kuala Penyu. Program ini bertujuan untuk membangunkan kembali dan mengukuhkan iman setiap peserta yang hadir.

Seminar ini telah dimulakan dengan misa kudus yang dipimpin oleh Msgr Gilbertus Engan dan seterusnya diikuti dengan sesi pertama bertajuk “Yesus satu-satunya penyelamat” yang disampaikan oleh Msgr Gilbertus sendiri dan aktiviti seminar pada hari pertama diakhiri dengan adorasi sakramen Mahakudus yang dipimpin oleh saudari Beatrise Namesius dan Saudara Jackson Juin.

IMG_8419

IMG_8429

Pada hari kedua, para peserta dibawa menyelami tujuan hidup kristiani melalui sesi  “Iman tanpa perbuatan adalah mati” yang disampaikan oleh saudara Jackson Juin. Didalam sesi ini, semua peserta diajak untuk hidup dalam iman yang teguh, dan memaparkan iman terhadap Kristus melalui perbuatan yang nyata kerana walaupun semua orang Katolik mempunyai iman, tetapi tahap keimanan seseorang itulah yang membezakan setiap individu dan sekiranya iman tidak dinyatakan melalui perbuatan, ia adalah sia-sia. Pada sesi ketiga pula, saudari Hilda George telah menyampaikan sesi bertajuk “Tujuan akhir hidup kita”. Melalui sesi ini, peserta diajak untuk merenung tujuan hidup seorang Katolik bukanlah untuk mengejar harta duniawi tetapi untuk memuliakan Allah. Ini kerana, harta duniawi dapat membuatkan seseorang lupa diri dan tidak dapat merendahkan diri secara ikhlas.

IMG_8415

Didalam sesi keempat yang disampaikan oleh saudari Beatrise Namesius yang bertajuk “ Manusia yang terluka” pula, peserta diingatkan bahawa manusia diciptakan menurut gambar Allah, dan kesemua penderitaan yang membuatkan manusia terluka bukanlah kerana Allah melukai tetapi kerana kelemahan manusia itu sendiri.  Sesi diteruskan dengan acara memikul salib dimana peserta berpeluang merasai dan menghayati penderitaan Kristus ketika memikul salib ke bukit Golgota. Didalam sesi ini, peserta diberi peluang memikul salib yang disediakan sebagai simbolik penderitaan Kristus. Hari kedua program diakhiri dengan sesi pembasuhan kaki dimana peserta diajak untuk mengampuni orang-orang yang telah menyakiti hati mereka dan merendahkan diri dengan membasuh kaki rakan peserta yang lain sebagai simbol pengampunan.

IMG_8416

Pada hari terakhir program pula, selepas upacara memasuki Pintu Suci Belas kasihan dan Misa Kudus hari minggu yang dimpin oleh Fr.Paul Mikin, sesi “Hidup dipenuhi kuasa Roh Kudus” yang disampaikan oleh Saudara Gilbert Ondoi mengajak peserta untuk meninggalkan jalan hidup yang lama, meminta kepada Allah Bapa, Roh Kudus yang akan menjadi penolong hidup selama-lamanya. Sesi itu kemudiannya teruskan dengan sesi pencurahan Roh Kudus yang dipimpin oleh Tim KIPKK gabungan dan kemudiannya diakhiri dengan sesi perkonsian daripada peserta.

Kebanyakan peserta yang tampil untuk memberi kesaksian menyatakan bahawa, keseluruhan sesi didalam seminar ini telah membuka minda mereka untuk sentiasa menguatkan iman kerana hanya dengan iman sahaja, seseorang dapat merasai sukacita penyelamatan. Mereka juga menyatakan bahawa dengan merenung penderitaan Kristus, iman mereka serta merta dikuatkan dan bersedia berhadapan dengan cabaran baru di dunia luar.

Didalam ucapan penutupnya, saudari Senly Charistina Sintoh mengambil peluang tersebut untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peserta dan semua individu serta komiti yang terlibat menjayakan seminar tersebut. Beliau juga berharap agar seminar seperti ini akan dapat diadakan lagi pada masa-masa akan datang supaya iman semua umat khususnya di paroki St.Patrick Membakut dapat sentiasa disegarkan. Ucapan beliau diakhiri dengan ungkapan “Bersatu Kita Berdoa, Bercerai Kita Bersaksi.”