LE TALENTA NIGHT: 110 ORANG BELIA ST. PATRICK MEMBAKUT TERLIBAT

Membakut : Le Talenta Night peringkat paroki Membakut telah diadakan. 6 kumpulan koir yang melibatkan 110 orang belia naungan paroki St. Patrick Mambakut telah menyertai pertandingan ini. Pertandingan ini telah diadakan pada 19 Ogos 2017 bertempat di Dewan St.Patrick. Dimeriahkan lagi dengan kehadiran umat yang datang memberikan sokongan.

FB_IMG_1503541603757

FB_IMG_1503541615987

FB_IMG_1503541622938

FB_IMG_1503541597408

FB_IMG_1503541534328Le Talenta Night merupakan satu pertandingan koir anjuran Kerasulan Belia Katolik (KBK) St. Patrick. Dimana bakat penciptaan lirik dan melodi lagu dipertandingkan. Kumpulan koir ini diadili dari segi tempo yang diadili oleh saudara Becker Ray Benedict, dari paroki St. Peter Bundu Kuala Penyu, vokal diadili oleh saudari Diana Aegidius dari paroki St.Valentine Beaufort dan persembahan diadili oleh saudari Joanne Maria Koijin dari paroki St.Yohanes Sipitang. Pengadil-pengadil jemputan ini merupakan orang-orang yang berpengalaman luas dalam pengadilan koir dan pertandingan nyanyian.

FB_IMG_1503541577854

FB_IMG_1503538156954

FB_IMG_1503538193593

Terdapat 2 kategori dalam penciptaan lirik dan melodi lagu. Lirik lagu yang bertemakan pra paska dan bertemakan sambutan Jubli Perak Keuskupan Keningau 2018. Penciptaan lagu ini diadili sendiri oleh Rev. Fr. Ronnie Luni, paderi penguasa paroki St.Patrick Membakut.

Disamping beliau merasmikan pertandingan, beliau berpesan dan berharap agar golongan belia menggunakan bakat yang ada sebaik-baiknya. Menurut beliau, anjuran Le Talenta Night adalah satu platform yang baik untuk para belia melibatkan diri dalam pelayanan Tuhan melalui bakat seni yang mereka miliki.FB_IMG_1503538221407

FB_IMG_1503541585382

Kumpulan koir yang menggabungkan empat KKD berjaya menewaskan 5 lagi kumpulan koir untuk dinobatkan sebagai Johan Le Talenta Night Paroki St.Patrick Membakut 2017. Paduan suara belia-belia gabungan KKD St.Monica Bawan, KKD St.Martha Takapan, KKD Ganah, KKD St.Edward Ambinahaton/Kabuluan ternyata telah berjaya menarik perhatian para pengadil dan juga penonton yang hadir. Kemenangan tersebut lebih manis lagi apabila salah seorang ahli kumpulan tersebut Loreta Deborah menyapu bersih dua hadiah iaitu Lirik Terbaik Tema Pra-Paska dan Tema Jubli Perak. Pemenang ini akan mewakili paroki St.Patrick ke Pesta Koir Keuskupan Keningau yang akan diadakan di Dewan Gereja St.Peter, Bundu, Kuala Penyu pada 13-15 Oktober 2017.FB_IMG_1503538015661

Kumpulan koir KBK St. Philip Sinoko pula membawa pulang dua hadiah iaitu sebagai naib johan dan juga Persembahan Terbaik. Kumpulan koir gabungan KKD St.John Of The Cross Bandau, KKD St. Thomas dan KKD Bunda Maria Limadang dan KKD Kristus Raja Tahak telah meraih tempat ketiga.

FB_IMG_1503541558996

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan koir belia veteran (CYC) dan juga persembahan tarian sumazau. Lebih daripada 30 cabutan tiket bertuah turut diadakan bagi memeriahkan lagi pertandingan. Program pada malam tersebut selesai pada jam 10 malam dengan doa penutup yang dipimpin oleh Rev.Fr.Ronnie Luni. –KOMSOS St.Patrick Membakut

MAJLIS SAMBUTAN KEDATANGAN REV. FR. RONNIE LUNI SEBAGAI PADERI PAROKI ST. PATRICK MEMBAKUT

Membakut – Lebih kurang 100 orang umat Katolik paroki St.Patrick Membakut hadir dalam majlis sederhana menyambut kedatangan Fr. Ronnie Luni selaku paderi paroki baru menggantikan Fr. Paul Mikin yang telah ditukarkan ke paroki Beaufort – Sipitang. Majlis ini telah diadakan pada 26 Februari yang lalu, pada jam 4.30 petang.  Saudara Osmund Osmin Benati selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) merangkap pengerusi penganjur mengucapkan selamat datang dan selamat melayani kepada Fr. Ronnie dan beliau berharap agar umat sentiasa dapat memberi kerjasama dan berganding bahu, bergerak bersama Fr. Ronnie demi kemajuan paroki Membakut.

RL1

Dalam ucapan ringkasnya, Fr. Ronnie menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua umat yang hadir merayakan kedatangan beliau ke Paroki St. Patrick Membakut terutama sekali kedua ibu bapa dan ahli keluarga beliau yang turut hadir bersama didalam majlis tersebut. Fr. Ronnie turut mengongsikan pengalaman beliau serba sedikit ketika melayani di Paroki Sook dan ketika melanjutkan pengajian ke EAPI di Filipina dalam kursus Leadership and Management for Mission.

RL2

Selain itu, Fr. Ronnie juga menyatakan harapan beliau tentang Rumah Retret Keuskupan keningau, Purun Kuala Penyu memandangkan beliau telah dilantik untuk mengetuai pengurusan rumah retret tersebut bermula tahun ini. Beliau berharap agar rumah retret tersebut bukan sahaja dikenali apabila adanya seminar mahupun majlis besar-besaran tetapi juga sebagai pusat pembangunan iman bagi  umat dari empat paroki berdekatan iaitu dari Paroki  St. Patrick Membakut, Paroki St. Peter Bundu Kuala Penyu, Paroki St. Valentine Beaufort dan juga Paroki St. Yohanes Pembaptis Sipitang.

RL3

Majlis pada petang tersebut diteruskan dengan doa makan dan seterusnya upacara pemotongan kek selamat datang kepada Fr. Ronnie. Umat bersama Fr. Ronnie kemudiannya menjamu selera dengan makan malam yang disediakan secara potluck oleh semua KKD di paroki ini sambil menyaksikan persembahan tarian daripada belia St. Patrick Membakut, tarian daripada kumpulan ibu-ibu St. Patrick Membakut dan nyanyian karaoke daripada Fr. Ronnie dan umat-umat yang hadir pada malam tersebut.

Majlis tersebut selesai pada  jam 9 malam diakhiri dengan doa malam dan berkat daripada Fr. Ronnie – KOMSOS St Patrick Membakut.

MAJLIS PERPISAHAN REV. FR. PAUL MIKIN

membakut

Membakut – Sebuah majlis perpisahan sederhana telah diadakan oleh umat-umat paroki St. Patrick Membakut untuk Rev. Fr. Paul Mikin yang telah melayani selama enam tahun di paroki St. Patrick Membakut. Majlis ini telah diadakan pada 29 Januari yang lalu, bermula pada jam 7 malam, bertempat di dewan gereja St. Patrick Membakut dan telah dihadiri kira-kira 100 orang umat dari pusat paroki dan stasi luar paroki Membakut. Didalam majlis ini, sebanyak 13 buah Komuniti Kristian Dasar (KKD) dan 4 buah Komuniti Umat Katolik (KUK) didalam paroki Membakut telah bergabung tenaga menyediakan makanan secara potluck dan kek perpisahan untuk Rev .Fr. Paul Mikin.

Didalam ucapannya, Fr. Paul Mikin telah mengucapkan terima kasih kepada semua umat di seluruh paroki yang selama ini telah menyokong pelayanan beliau selama enam tahun di Membakut. Beliau berkata, paroki Membakut hanya akan membangun dari segi iman dan kerohanian sekiranya umat sentiasa mahu membuka hati untuk menerima Kristus, dan saling memberi sokongan diantara satu sama lain. Menurut Fr. Paul lagi, beliau bersyukur kerana selama melayani di paroki itu, umat telah menunjukkan perkembangan yang positif terhadap perkembangan iman dan kerohanian didalam komuniti masing-masing.

Majlis tersebut diakhiri dengan persembahan nyanyian daripada Rev. Fr. Paul dan disusuli dengan doa penutup pada pukul 10 malam.

Rev. Fr. Paul akan mula melayani di paroki Beaufort-Sipitang bersama Msgr. Gilbertus Engan bermula pada 1 Febuari 2017 dan tempat beliau akan diambil alih oleh Rev. Fr. Ronnie Luni sebagai paderi penguasa yang baru bagi paroki St.Patrick, Membakut.

REKOLEKSI KOMSOS, ST PATRICK MEMBAKUT

Rekoleksi KOMSOS 1

Kinarut – Komiti Komunikasi Sosial (KOMSOS) paroki St.Patrick Membakut telah mengadakan rekoleksi pertama bagi Tahun 2017 sebagai persiapan 13 orang ahlinya untuk menghadapi cabaran pelayanan KOMSOS bagi tahun 2017. Rekoleksi ini telah diadakan pada 21-22/1/2017 yang lalu bertempat di St.Gabriel Annex, Monfort, Kinarut.

Rekoleksi ini telah dimulakan dengan misa kudus yang di pimpin oleh Rev.Fr.Harry Dorisoh di chapel gereja St.Patrick Membakut. Didalam homilinya, Fr.Harry mengingatkan semua ahli KOMSOS untuk sentiasa bertahan didalam menghadapi cabaran, serta peka dengan keperluan umat disekeliling mereka. Beliau juga mengingatkan bahawa merendahkan hati adalah asas yang perlu didalam pelayanan, serta perlu membuka hati kepada Tuhan sepanjang masa.

Rekoleksi KOMSOS 2

Selepas misa kudus, semua ahli Komsos begerak menuju ke St.Gabriel Annex, Monfort Boy’s School Kinarut untuk meneruskan rekoleksi. Disini, semua ahli Komsos berpeluang mendalami pengetahuan tentang Alkitab sebagai dokumen dan media penting yang menghubungkan manusia dengan Tuhan melalui sesi yang telah difasilitatorkan oleh Saudara George Bell Lawadin. Didalam sesi pertama, saudara Bell telah berkongsi tentang Teologi Komunikasi, Panorama Perjanjian dan Alkitab sebagai dokumen selama 3000 tahun. Manakala, didalam sesi kedua iaitu menggunakan dan menseimbangkan karunia Roh Kudus sebagai asas pelayanan pula,  beliau telah mengajak semua ahli Komsos untuk menggunakan bakat semulajadi serta karunia Roh Kudus yang diterima sewaktu pembaptisan utk memaksimumkan pelayanan. Ini kerana, hanya dengan keseimbangan inilah ahli Komsos tidak akan cepat berpunya asa, dan menjadi lebih kreatif didalam menyampaikan Firman Tuhan melalui pelayanan mereka.

Sesi terakhir didalam rekoleksi tersebut adalah merupakan sesi perkongsian peribadi setiap ahli komiti. Peluang tersebut digunakan oleh setiap ahli untuk perkongsian pengalaman pelayanan didalam Komsos selama tahun 2016. Kebanyakannya ahli mengakui bahawa tahun 2017 pasti akan membawa cabaran pelayanan yang lebih hebat dan setiap ahli perlu sentiasa berani dan bersedia.

PERAYAAN TAHUN KELUARGA

Perayaan Tahun Keluarga 1

Membakut – Perayaan Tahun Keluarga: ibubapa dan warga emas di Paroki St.Patrick Membakut diteruskan lagi dengan sambutan di KKD St.Edward Ambinahaton-Kabuluan, paroki St.Patrick Membakut. Sambutan di KKD ini telah diadakan pada 26 Januari 2017 yang baru lalu. Sambutan ini telah dimulakan dengan misa kudus pembukaan oleh Rev.Fr.Paul Mikin, rektor paroki st.Patrick Membakut. Perayaan sederhana tersebut kemudiannya disusuli dengan ucapan Pengerusi KKD St.Edward Ambinahaton-Kabuluan, Pn.Patricia Bai dan kemudiannya ucapan daripada Fr.Paul Mikin. Didalam ucapan nya, Pn.Patricia menyatakan bahawa selain daripada objektif keuskupan untuk merayakan ibubapa dan warga emas, perayaan ini memberi peluang kepada anak-anak dan ahli keluarga untuk menyampaikan ucapan terima kasih dan bersyukur diatas pengorbanan ibu bapa dan warga emas yang selama ini mengerah tenaga untuk menjaga keluarga masing-masing. Beliau juga menyeru semua belia dan anak-anak agar menjadikan ibu bapa dan warga emas didalam keluarga mereka sebagai idola mereka didalam menentukan halatuju masa harapan mereka.  Rev.Fr. Paul pula berkata, pengorbanan dan kasih sayang mereka tidak akan dapat diukur dengan wang ringgit atau dengan ukuran apa pun juga. Oleh itu, ahli keluarga dengan sokongan KKD perlu mengambil peluang didalam perayaan ini untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada ibu bapa dan warga emas melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Perayaan Tahun Keluarga 2

Selepas ucapan beliau, Fr.Paul bersama ajk KKD kemudiannya makan bersama umat sambil mendengar lagu-lagu karaoke yang di persembahan oleh golongan warga emas KKD St.Edward.

Umat kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan koir gabungan belia dan kanak-kanak KKD St.Edward. Acara kemuncak pada malam tersebut adalah penyampaian warkah ucapan terima kasih kepada 13 orang warga emas di KKD St.Edward, dan upacara memotong kek untuk semua warga emas yang diraikan. Didalam acara ini juga, disampaikan warkah khas ucapan terima kasih kepada mendiang Katekis Edward Basintal yang selama hidupnya telah mengabdikan diri melayani umat di Kg.Bawan, Membakut dimana KKD St.Edward Ambinahaton-Kabuluan terletak. Warkah yang dinamakan sebagai Warkah Penjaga Iman ini diserahkan kepada Saudara Paul Basintal, anak kepada mendiang Katekis Edward sebagai wakil keluarga. Acara terakhir pada malam tersebut adalah upacara memotong kek bagi semua umat KKD St.Edward yang lahir pada bulan Januari. Acara pada malam tersebut diakhiri dengan doa malam dan ucapan selamat jalan daripada umat KKD kepada Rev. Fr.Paul Mikin yang akan berpindah dan meneruskan pelayanan beliau di paroki Beaufort-Sipitang pada bulan Febuari ini.