SEMINAR KEBANGUNAN ROHANI KATOLIK, ST. PATRICK MEMBAKUT

DSC_8534nowm

Membakut – Kelompok Inti Pembaharuan Karismatik Katolik (KIPKK) St.Patrick Membakut dan Sub Pedalaman Bawah Keuskupan Keningau telah menganjurkan seminar Kebangunan Rohani Katolik (KRK) pada 24 hingga 26 Jun 2016 yang lalu. Seminar ini telah diadakan gereja St. Patrick Membakut.

DSC_8677nowm

Seminar tiga hari ini telah menarik seramai 220 orang peserta dari paroki St.Patrick Membakut serta paroki-paroki berdekatan seperti paroki St.Valentine Beaufort, St. Yohanes Sipitang dan paroki st. Peter Bundu, Kuala Penyu. Program ini bertujuan untuk membangunkan kembali dan mengukuhkan iman setiap peserta yang hadir.

Seminar ini telah dimulakan dengan misa kudus yang dipimpin oleh Msgr Gilbertus Engan dan seterusnya diikuti dengan sesi pertama bertajuk “Yesus satu-satunya penyelamat” yang disampaikan oleh Msgr Gilbertus sendiri dan aktiviti seminar pada hari pertama diakhiri dengan adorasi sakramen Mahakudus yang dipimpin oleh saudari Beatrise Namesius dan Saudara Jackson Juin.

IMG_8419

IMG_8429

Pada hari kedua, para peserta dibawa menyelami tujuan hidup kristiani melalui sesi  “Iman tanpa perbuatan adalah mati” yang disampaikan oleh saudara Jackson Juin. Didalam sesi ini, semua peserta diajak untuk hidup dalam iman yang teguh, dan memaparkan iman terhadap Kristus melalui perbuatan yang nyata kerana walaupun semua orang Katolik mempunyai iman, tetapi tahap keimanan seseorang itulah yang membezakan setiap individu dan sekiranya iman tidak dinyatakan melalui perbuatan, ia adalah sia-sia. Pada sesi ketiga pula, saudari Hilda George telah menyampaikan sesi bertajuk “Tujuan akhir hidup kita”. Melalui sesi ini, peserta diajak untuk merenung tujuan hidup seorang Katolik bukanlah untuk mengejar harta duniawi tetapi untuk memuliakan Allah. Ini kerana, harta duniawi dapat membuatkan seseorang lupa diri dan tidak dapat merendahkan diri secara ikhlas.

IMG_8415

Didalam sesi keempat yang disampaikan oleh saudari Beatrise Namesius yang bertajuk “ Manusia yang terluka” pula, peserta diingatkan bahawa manusia diciptakan menurut gambar Allah, dan kesemua penderitaan yang membuatkan manusia terluka bukanlah kerana Allah melukai tetapi kerana kelemahan manusia itu sendiri.  Sesi diteruskan dengan acara memikul salib dimana peserta berpeluang merasai dan menghayati penderitaan Kristus ketika memikul salib ke bukit Golgota. Didalam sesi ini, peserta diberi peluang memikul salib yang disediakan sebagai simbolik penderitaan Kristus. Hari kedua program diakhiri dengan sesi pembasuhan kaki dimana peserta diajak untuk mengampuni orang-orang yang telah menyakiti hati mereka dan merendahkan diri dengan membasuh kaki rakan peserta yang lain sebagai simbol pengampunan.

IMG_8416

Pada hari terakhir program pula, selepas upacara memasuki Pintu Suci Belas kasihan dan Misa Kudus hari minggu yang dimpin oleh Fr.Paul Mikin, sesi “Hidup dipenuhi kuasa Roh Kudus” yang disampaikan oleh Saudara Gilbert Ondoi mengajak peserta untuk meninggalkan jalan hidup yang lama, meminta kepada Allah Bapa, Roh Kudus yang akan menjadi penolong hidup selama-lamanya. Sesi itu kemudiannya teruskan dengan sesi pencurahan Roh Kudus yang dipimpin oleh Tim KIPKK gabungan dan kemudiannya diakhiri dengan sesi perkonsian daripada peserta.

Kebanyakan peserta yang tampil untuk memberi kesaksian menyatakan bahawa, keseluruhan sesi didalam seminar ini telah membuka minda mereka untuk sentiasa menguatkan iman kerana hanya dengan iman sahaja, seseorang dapat merasai sukacita penyelamatan. Mereka juga menyatakan bahawa dengan merenung penderitaan Kristus, iman mereka serta merta dikuatkan dan bersedia berhadapan dengan cabaran baru di dunia luar.

Didalam ucapan penutupnya, saudari Senly Charistina Sintoh mengambil peluang tersebut untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peserta dan semua individu serta komiti yang terlibat menjayakan seminar tersebut. Beliau juga berharap agar seminar seperti ini akan dapat diadakan lagi pada masa-masa akan datang supaya iman semua umat khususnya di paroki St.Patrick Membakut dapat sentiasa disegarkan. Ucapan beliau diakhiri dengan ungkapan “Bersatu Kita Berdoa, Bercerai Kita Bersaksi.”

Sharing is caring!