BERKAT PEMBERIAN DEMI KEBAIKAN SESAMA

Renungan Hari Minggu Biasa Ke 25 ( C )

Am.8:4-7      1Tim. 2:1-8      Luk. 16:1-13

 

Nabi Amos dalam bacaan pertama hari ini mengecam perilaku ketidak-adilan dan penindasan terhadap orang-orang miskin yang dilakukan orang-orang  pada zaman itu.  Banyak orang mencari “kesempatan dalam kesempitan”. Licik mempergunakan masa-masa sukar dan mengeksploitasi orang-orang miskin untuk mencari keuntungan.

Dalam Injil hari ini perumpamaan yang Yesus berikan tentang seorang pengurus wang kepada seorang kaya mengajak kita untuk bertindak bijak dalam menggunakan harta kekayaan dan lebih menumpukan kepada harta sejati di syurga. Adalah dikisahkan, pengurus wang ini telah menyalahgunakan harta kekayaan majikannya yang mengakibatkan dia akan dibuang kerja.  Sementara dia belum diberhentikan, pengurus wang yang cerdik ini dengan cepat membuat perancangan untuk masa depannya.  Pengurus wang yang licik ini memanggil semua pemiutang majikannya dan memberi mereka surat hutang baru dengan mengurangi setengah atau limapuluh peratus dari hutang sebelumnya.  Dengan kelicikannya maka masa depannya terjamin.  Apabila dia tidak lagi bekerja masih ada orang yang akan membantunya dan tentu tidak disisihkan kerana persahabatan sudah terjalin.  Dia menggunakan wang untuk membeli persahabatan.

Perbuatan pengurus wang ini dipuji oleh majikannya.    Malah Yesus juga tertarik dengan kepintaran pengurus wang yang melihat jauh ke depan. Namun Yesus mengecam pengurus wang itu yang mendapatkan apa yang dia mahu dengan cara tidak jujur.  Yesus berkata: “Sebab anak-anak dunia ini lebih cerdik terhadap sesamanya daripada anak-anak terang.”  Mereka yang tidak mengenal Tuhan, di saat-saat terancam boleh bertindak bijak dengan cara apa sekalipun walaupun dengan penipuan. Sementara sebaliknya, anak-anak terang iaitu mereka yang mengenal Tuhan seharusnya lebih bijak dalam menggunakan harta kekayaan. Harta yang kita ada adalah harta yang dipercayakan Allah kepada kita. Justeru itu, kita dituntut bermurah hati membagi-bagikan berkat kelimpahan yang ada untuk kepentingan bersama terutama kepada yang miskin.

Membangun kehidupan kita bersama orang lain dengan berdasarkan wang dan material adalah sebuah kesia-siaan. “Ikatlah persahabatan dengan mempergunakan mammon yang tidak jujur, supaya jika mammon itu tidak dapat menolong lagi, kamu diterima di dalam kemah abadi.”   Yesus meneruskan dengan berkata: “Sesiapa yang setia dalam perkara-perkara kecil, ia setia juga dalam perkara-perkara besar.”  Kejujuran dalam perkara kecil adalah dituntut dalam setiap peribadi. Begitu pula dalam hal-hal mengelola setiap benda-benda didunia ini yang mempunyai nilainya tersendiri.  Tidak ada satupun benda yang kita tidak boleh gunakan untuk sesama dan kemuliaan Allah. Betapa kecilpun nilainya ketika ini, akan menentukan ganjaran syurgawi di masa akan datang.

Sekali lagi Yesus menuntut komitmen yang sepenuhnya dari kita sebagai pengikutNya apabila Dia berkata: “Seorang hamba tidak dapat mengabdi kepada dua tuan…. Kamu tidak boleh mengabdi kepada Allah dan kepada Mamon.”  Janganlah kita menjadi hamba wang tetapi mengamalkan kemurahan hati dan belas kasihan dengan selalu memikirkan kehidupan yang abadi.

Sebagai orang percaya, kita harus memilih Allah untuk menjadi tuan dalam hidup kita.  Sebab Allahlah sumber pemberi berkat dan segala apa yang kita miliki adalah berkat pemberian yang dipercayakan kepada kita untuk digunakan demi kebaikan sesama.

SOALAN RENUNGAN

  1. Apakah yang Yesus maksudkan apabila Dia berkata: “Sesiapa yang setia dalam perkara-perkara kecil, ia setia juga dalam perkara-perkara besar”?
  2. Bagaimanakah cara anda mengimbangi antara keperluan rohani dan keperluan hidup sehari-hari?

Sharing is caring!