KITA PERLU DISEDARKAN

HARI MINGGU PALMA (B)

Bc. Mrk. 11:1-10

Bc.1. Yes.50:4-7                     Bc.2. Flp.2:6-11          Bc.3. Mrk.14:1 – 15:47

Di seluruh dunia pada hari minggu ini, umat kristian merayakan misteri cinta kasih
Kristus terhadap kita semua. “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang memberikan nyawanya untuk sahabat-sahabatnya” (Yoh 15:13). Pada minggu ini menyatakan kebenaran kata-kata tersebut. Bahawa Dia telah mengenakan dosa-dosa kita dan dosa dunia seluruhnya ke atas diri-Nya sendiri dan menebuskannya dengan darah-Nya yang mahal itu.

Kita Perlu Disedarkan

 

Ketika kita merayakan “misteri penyelamatan kita yang hebat” ini, kita juga disedarkan dengan sikap manusia yang mudah berubah-ubah. Pada waktu Minggu Palma, orang ramai berteriak-teriak, “Hosana! Diberkatilah Dia yang datang dalam nama Tuhan” (Yoh 12:13). Tetapi tidak lama kemudian, iaitu pada hari Jumaat Agung, orang-orang yang sama itu berteriak, “Salibkanlah Dia!” (Mk 15:13-14).

            Salah satu contoh gambaran yang jelas tentang sikap manusia yang mudah berubah-ubah ini adalah sikap Petrus sendiri. Ketika Yesus memberi tahu para murid-Nya bahawa, “Anak manusia harus menanggung banyak penderitaan… lalu dibunuh dan bangkit sesudah tiga hari” (Mk 8:31). Tetapi Yesus memarahi Petrus, “Enyahlah iblis, sebab engkau bukan memikirkan apa yang difikirkan Allah, melainkan apa yang difikirkan manusia” (Mk. 8:33).

            Sesudah malam perjamuan terakhir selesai, dengan penuh kesedihan Yesus mengatakan bahawa mereka semua akan tercerai berai apabila melihat-Nya dikhianati dan ditangkap oleh pihak yang berkuasa. Namun tanpa berfikir panjang, Petrus bangkit langsung berkata dengan penuh kepastian dan bersemangat, “Biarpun mereka semua tergoncang imannya, aku tidak” (Mk.14:29). Apabila Yesus mengatakan bahawa dia akan menyangkal-Nya, dengan tegas Petrus menjawab, “Sekalipun aku harus mati bersama-sama Engkau aku takkan menyangkal Engkau” (Mt. 14:31). Lagi-lagi Petrus dengan sikapnya yang terlalu ego itu.

            Di sini kita dapat melihat Petrus, walaupun pada suatu masa dia pernah mengakui bahawa Yesus itu adalah Sang Mesias, namun akhirnya tidak sanggup menerima kenyataan bahawa Yesus harus mengharungi proses kesempurnaan-Nya untuk penyelamatan manusia.

            Apabila apa yang dikatakan oleh Yesus itu mulai terjadi, Petrus langsung menolak Yesus kerana dia masih berpegang pada pemikirannya yang lama. Tetapi apabila dia mendengar ayam jantan berkokok, dia menyesal lalu menangis. Petrus yang sudah berjanji untuk tetap setia pada Yesus itu, pasti merasa sungguh dipermalukan oleh sikapnya sendiri yang menyangkal Yesus itu. Mujurlah dia dapat menghubungkan kokokan ayam jantan tersebut dengan pernolakan terhadap Yesus, yang akhirnya menyedarkan dia bahawa untuk mengikuti, mengasihi, dan setia kepada-Nya, bukanlah atas kekuatannya sendiri. Kesemuanya ini adalah anugerah daripada Tuhan sendiri. Akhirnya Petrus menyedari juga bahawa selain Tuhan, dia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa erti. Betul juga perumpamaan yang sering kita dengar: “Sudah terantuk baru tergadah,” sangat sesuai untuk kita renungkan bersama dengan kepribadian Petrus dan juga peribadi kita sendiri.

            Jika kita renungkan betul-betul, kokokan ayam jantan tersebut sebenarnya merupakan kokokan penyelamatan bagi Petrus. Sama seperti Petrus, kita sendiri pun mempunyai sejarah pelbagai penyangkalan terhadap Yesus baik dahulu, sekarang dan pastinya yang akan datang. Tidak seperti Petrus sebelum ayam tersebut berkokok, kita menerima Yesus yang sudah disalibkan dan sudah bangkit pula. Namun kita kurang menyedari bahawa menerima Yesus bererti kita harus menghidupi sabda-Nya. Sebaliknya kita hidup seakan-akan Yesus itu kurang penting dan bukannya merupakan pusat kehidupan kita. Namun, kita berharap, mudah-mudahan penolakan serta dosa-dosa yang kita lakukan dapat menyedarkan kita daripada realiti kehidupan yang sedang kita jalani dan kembali kepada-Nya.

            Untuk menjadikan semua ini bakal terjadi, maka kita perlu belajar mendengar “kokokan ayam jantan” seperti yang dilakukan oleh Petrus. Bahawa, mengikuti Yesus, bererti mematikan diri sendiri dan hidup di dalam-Nya. Kita perlu sentiasa belajar bahawa segala bentuk penolakan kita terhadap Yesus serta pelbagai dosa-dosa yang kita lakukan, apabila betul-betul kita mengakuinya dan bertaubat, maka ‘kokokan ayam jantan’ di dalam kehidupan kita akan menjadi suatu penyucian dan pembaharuan yang mana akan menunjukkan kita ke kehidupan yang baru, suatu kehidupan dengan dan di dalam Yesus.

            Seperti Petrus dan orang-orang yang pada mulanya berteriak “Hosana” dan kemudian berteriak “Salibkan Dia” itu, bukankah kita pun selalu menolak Yesus dengan pelbagai gaya hidup harian kita? Misalnya, jika kita tidak mematuhi undang-undang umum, maka itu tanda kita menyangkal Yesus. Demikian juga suami isteri yang saling menipu, ibu bapa yang tidak mempedulikan anak-anak mereka kerana lebih pentingkan diri dan aktiviti-aktiviti sosial mereka. Atau jatuh cinta dengan orang yang tidak seagama, rela menukar agama dengan alasan, “Saya sudah ditakdirkan kahwin dengan dia.” Apakah apabila kita mengalami pelbagai perkara yang menyedihkan membuat kita putus asa, sakit, gagal dan 1001 macam perkara yang menyedihkan kita tidak melupakan Tuhan?

            Semoga bermula pada hari ini dan seterusnya, sementara kita merenungi kisah sengasara kematian dan kebangkitan Yesus, marilah kita membaharui komitmen kita untuk tetap setia pada-Nya walaupun terpaksa bergelut untuk mematikan keinginan diri kita supaya Yesus menjadi nombor satu di dalam kehidupan kita. Akhirnya, marilah kita dengan penuh rendah hati berlutut serta memeriksa segala kesilapan yang membut kita menolak Yesus, menerima sakramen pertobatan serta mohon anugerah kesetiaan terhadap-Nya. (JL)

 

Allah Bapa Yang Maharahim, dengan gembira kami telah menerima Putera-Mu di
tengah-tengah kami sebagai santapan rohani bagi kami. Kami mohon kuatkanlah kami dalam memikul salib kami masing-masing dan terus mengikuti jejak-Nya menempuh jalan penderitaan menuju kebangkitan yang mulia. Sebab Dialah Tuhan dan Pengantara kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa.

Sharing is caring!