SURAT PASTORAL SEMPENA KRISMAS 2014 DAN TAHUN BARU 2015

Rev. Fathers, para religius, Seminarians dan Saudara-Saudari yang saya kasihi dalam Kristus.

Selamat merayakan Hari Krismas.

Kita sama-sama telah mempersiapkan diri kita, keluarga dan komuniti kita sepanjang masa Adven untuk merayakan hari kelahiran Yesus. Dengan program-program rohani seperti Sakramen Pertobatan, rekoleksi, Karoling, dll saya percaya kita dapat lebih memahami, mensyukuri dan menghayati maksud sebenar perayaan Krismas. Pendek kata, Yesuslah sumber, alasan dan tujuan perayaan Krismas.

Kita bersyukur kepada Tuhan kerana setiap tahun sebelum kita memasuki tahun baru kita diberi kesempatan dalam masa Adven dan Krismas untuk membaharui dan menetapkan kesatuan dan kesetiaan kita kepada Yesus. Dialah sumber kekuatan dan kebijaksanaan kita dalam mengharungi sepanjang tahun 2015 nanti. Bukankah Yesus adalah Emmanuel, Allah beserta kita? (Mat 1:23). Dia juga memberi jaminan bahawa Dia menyertai kita sampai akhir zaman (Mat 28:20).

Tahun 2015 memberi kita kesempatan untuk sama-sama terus mensyukuri dan mencintai keluarga kita dan pembentukan anak-anak kearah menjadi anggota-anggota komuniti umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya. Cita-cita membangun dan membentuk umat yang komited adalah tanggungjawab kita bersama, ibu bapa, pemimpin-pemimpin Gereja dan masyarakat. Komitmen yang berkualiti yang kita cita-citakan haruslah berdasarkan kepada apa yang dituntut oleh Yesus: “Sesiapa mengasihi Aku mentaati ajaran-Ku, (Yoh 14:23). Kita perlu menyedari dan memperjuangkan komitmen yang berkualiti “sepenuh hati, segenap jiwa, seluruh akal budi dan segala kekuatan” (Mrk 12:30). Selaku pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua umat jangan kita berkompromi dengan budaya tidak jujur. Akibatnya nanti umat akan hilang kepercayaan kepada kita, kita tidak memberi teladan yang baik, kita merosakkan pekerjaan Tuhan (Mat 12:30) serta menghalang cita-cita pastoral kita dari tercapai. Kita akan menuai apa yang kita tanam (Gal 6:7-9).

Sepanjang tahun 2015 telah diishtiharkan oleh Sri Paus Francis sebagai Tahun Hidup Bakti (Year of Consecrated Life). Umat Allah Keuskupan Keningau mahu turut serta menyambut Tahun Hidup Bakti sebagai ungkapan syukur dan kasih kita terhadap anggota-anggota Religius dan Institut Sekular. Kita akan masukkan Doa untuk mereka disamping doa-doa yang kita bawa bersama umat setiap hari Minggu. Ini bererti setiap Hari Minggu kita akan doakan bersama satu daripada doa-doa ini: DOa untuk Keluarga atau Doa untuk Panggilan atau Doa untuk Hidup Bakti.

Mulai bulan Januari 2015 semua Paroki dalam Keuskupan Keningau akan menjalankan proses pemilihan Pastoral bermula dari peringkat KKD sehingga terbentuk AJK MPP, MPM. Paderi-aderi di Paroki masing-masing perlu memberi katekesis serta berdoa bersama umat agar sepanjang proses pemilihan, umat memilih calon-calon yang mahu melayani dan memimpin:

  1. Bersatu dengan Yesus, kerana hanya apabila terjalinnya kesatuan yang akrab dengan Yesus seseorang mampu melayani dan memimpin dengan sikap dan kebijaksanaan yang datangnya dari Yesus (Yoh 15:4-5)).
  2. Bersama dengan Yesus, kerana hanya apabila seseorang itu mengaku bahawa dia melayani dan memimpin dalam pasukan Yesus, melayani kerajaan-Nya, maka seseorang itu akan melayani dan memimpin dengan semangat berpasukan dengan AJKnya. Dengan itu seseorang akan memperjuangkan kehendak Yesus dan Gereja-Nya.
  3. Sama seperti Yesus, kerana Yesus mengajar bahawa Dia tidak datang untuk dilayani tetapi untuk melayani (Mat 20:28). Inilah sikap yang perlu menguasai pelayanan dan kepemimpinan kita supaya kita sentiasa memihak dan menolong Yesus membangun kerajaan-Nya (Mat 12:30). Dengan itu umat dapat melihat, mendengar dan menyentuh Yesus melalui diri yang melayani dan memimpin.

Terima kasih kepada para Paderi, religius, Awam serta Umat Allah keseluruhannya atas dorongan Roh Kudus ke atas kita semua sepanjang tahun 2014. Marilah kita teruskan semangat ‘berjalan bersama dalam Yesus Kristus’, agar tercapai cita-cita kita “membangun komuniti Umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya”.

 

Selamat Hari Krismas 2014 dan Tahun Baru 2015

 

 

Kebahagiaan adalah Kekitaan

 

+Bishop Datuk Cornelius Piong

Sharing is caring!