JANGAN TAKUT TUHAN BESERTA KITA

Renungan Malam Krismas

Yes 9:1-6; Tit 2:11-14; Luk 2:1-14

Perasaan takut merupakan cabaran hidup kita sepanjang masa. Kita takut gagal, kita takut tidak diterima oleh sesama, kita takut masa depan yang tidak menentu dan tentu sekali kita takut mati. Tetapi pada malam ini kita disuntik dengan semangat berani. Sebab salah satu kunci keajaiban krismas adalah seruan, “Jangan takut,” yang diucapkan oleh malaikat kepada para gembala. “Jangan takut, sebab sesungguhnya aku memberitakan kepadamu kesukaan besar untuk seluruh bangsa: Hari ini telah lahir bagimu Juruselamat, iaitu Kristus, Tuhan, di Kota Daud” (Lk 2:10-11).

afraid

Perkataan ‘jangan takut,” juga pernah diucapkan oleh malaikat kepada Maria apabila maliakat tersebut menyampaikan berita bahawa dia akan menjadi bunda Yesus. Demikian juga kepada Yusuf, perkataan yang sama telah diucapkan oleh malaikat agar Yusuf menerima Maria sebagai isterinya.

Pesan Tuhan pada hari ini jelas mahu agar kita semua, “jangan takut.” Sebab kemungkinan ketika ini kita menghadapi masalah yang besar; kesihatan tidak baik, perhubungan dengan sesama sudah renggang, ekonomi merosot, cita-cita tidak tercapai, namun pesan krismas untuk kita semua tetap, “Jangan takut, aku memberitakan kepadamu kesukaan besar, Juruselamat telah lahir bagimu.” Dengan kata lain, hendaknya kita tidak pernah berputus asa dan kehilangan semangat krismas, sebab hanya melalui kepercayaan kita terhadap Sang Juruselamat, kita dapat mengatasi segala kesusahan dan ketakutan.

Kemungkinan Yesus tidak akan membebaskan kita dari kematian, kerugian atau segala masalah duniawi, namun Dia akan sentiasa memberi kita semangat untuk menemukan hidup yang baru, kesempatan-kesempatan yang baru atau memasuki suatu hubungan yang baru dan yang menyegarkan.

baby jesusMasih ada maksud lain di mana ungkapan, “Jangan takut” yang mungkin tersirat di dalam pesan krismas kepada kita semua. Bahawa kemungkinan ketika ini kita menghadapi suatu pilihan hidup yang harus kita putuskan. Mungkin itu dari segi pekerjaan, melanjutkan pelajaran atau suatu cabaran yang kita hadapi dalam keluarga, dalam kerja atau dalam komuniti di paroki kita. Atau juga suatu bidang baru yang tidak berani kita cuba terokai atau ceburi.

Sama seperti para gembala dalam Injil tadi, kita hendaknya menolak perasaan takut dan menaruh penuh kepercayaan kepada Tuhan untuk mengambil keputusan yang penting sehingga kita berani mengharungi apa sahaja cabaran hidup.

Tidak ada suatupun di dunia ini perlu kita takuti. Sebab Tuhan telah berjanji untuk tetap menyertai kita dalam segala cabaran hidup kita yang nyata di setiap detik kehidupan kita. Selamat menyambut hari krismas 2007 dengan penuh semangat keberanian dan kepercayaan terhadap Tuhan. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1.Bagi anda secara peribadi, apakah makna dan maksud Krismas tahun ini bagi kehidupan anda sendiri, keluarga dan komuniti di mana anda berada?

2.“Tuhan beserta kita,” demikian apa yang dikatakan dalam Injil tadi. Persoalannya, bagaimanakah kita mengetahui ada Tuhan di tengah-tengah kita. Bagaimanakah seharusnya kita memperlakukan terhadap sesama agar kita tidak terlepas pandang terhadap kehadiran Tuhan itu?

Sharing is caring!